Ketahui 23 Tempat Yang Diwartakan Sebagai Kawasan Larangan Merokok

23 Kawasan Larangan Merokok Yang Perlu Dipatuhi - DoctorOnCall


    Pada tanggal 1 Januari 2020 yang lalu, pihak kerajaan telah melancarkan penguatkuasaan penuh keatas larangan merokok di tempat makan terbuka dan 22 kawasan awam yang lain. Kawasan bebas dari asap rokok ini merupakan suatu anjakan paradigma yang sangat penting dalam mengurangkan pencemaran asap rokok di tempat awam, meningkatkan rasa kepedulian antara satu sama lain dan menegaskan tentang bahaya asap rokok pada kesihatan manusia. Ingin mengenali dengan lebih terperinci tentang peraturan larangan merokok tersebut? Kenapa ia sering menjadi suatu isi besar yang sangat sensitif? Dan mengetahui apakah persepsi diluar sfera masyarakat kita? Baca lebih lanjut artikel dibawah.

Kawasan-kawasan yang dilarang


    Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia telahpun menggariskan beberapa kawasan larangan merokok semenjak beberapa tahun yang lalu. Namun pada tahun 2019, senarai itu telah di kemas kini dan meletakkan satu kawasan larangan baru yang menarik perhatian ramai - yakni larangan merokok di tempat makan terbuka

    Sebelum kita merungkai dengan lebih dalam tentang kontroversi kawasan larangan yang baru itu, berikut adalah senarai kawasan larangan merokok yang terkini dan telah berkuat kuasa semenjak 1 Januari 2020:

1. Taman Awam

2. Kawasan Keagamaan

3. Taman Asuhan Kanak-kanak

4. Kawasan Premis Kerajaan

5. Kawasan-kawasan tertentu di Taman Negara & Taman Negeri

6. Lapangan Terbang

7. Pusat Hiburan atau Teater - kecuali Pub, Disko, Kelab Malam & Kasino

8. Hospital dan Klinik

9. Lif atau Tandas Awam

10. Kenderaan Awam dan Hentian Pengangkutan Awam

11. Kawasan Berhawa Dingin

12. Bas Sekolah

13. Kafe Internet

14. Perpustakaan

15. Kawasan Latihan Khidmat Negara

16. Stesen Minyak

17. Kawasan bagi Aktiviti Perhimpunan Tertutup - selain di dalam Bangunan Kediaman

18. Kompleks Sukan, Pusat Kecergasan atau Gymnasium

19. Institusi Pendidikan atau Institusi Pendidikan Tinggi

20. Kaunter Perkhidmatan di Dalam Bangunan

21. Kompleks Membeli Belah 

22. Tempat Mainan Kanak-kanak dan Taman Permainan

23. Tempat Makan Terbuka

    Khusus berkenaan dengan aturan larangan merokok di tempat makan terbuka - menurut garis panduan yang diwartakan oleh KKM - kawasan larangan tersebut merangkumi jarak tiga meter atau 10 kaki radius dari meja makan atau kawasan premis makan tersebut. 

Kenapa ia menjadi satu isu besar? 

    Pengumuman larangan merokok itu sememangnya telah menimbulkan kontroversi yang sangat popular. Pelbagai reaksi yang berbeza dari golongan perokok dan golongan masyarakat yang tidak merokok telah dilemparkan oleh netizen di media sosial. Umumnya golongan perokok merasakan hak individu mereka tercabar apatah lagi apabila ianya tidak menjadi sesuatu yang salah disisi undang-undang sebelum ini. Sebaliknya majoriti golongan bukan perokok menerima baik dengan perubahan itu, malahan ada yang merasakan akta tersebut seharusnya di kuatkuasakan berpuluh tahun lebih awal lagi. 

    Antara isu utama yang menjadi perhatian golongan perokok adalah, di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018  - yang berkuat kuasa penuh mulai 1 Januari 2020 - itu telah meletakkan kompaun yang begitu tinggi terhadap individu pelaku mahupun tuan premis yang gagal mematuhi undang-undang larangan merokok tersebut. Sabit kesalahan jika didapati bersalah, boleh dikenakan saman sebanyak RM250 hingga RM350 terhadap pelaku mahupun tuan premis.

    Isu ini juga pernah dibawa ke mahkamah oleh beberapa individu bagi mencabar kewajaran akta larangan merokok yang didakwa mencabul hak dan kebebasan individu. Mereka memohon agar golongan perokok diberi hak sama rata (seperti golongan bukan perokok) untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makan. Namun mahkamah telah menolak rayuan mereka setelah mempertimbangkan pelbagai faktor - antaranya termasuk hak orang awam dalam melindungi diri dari kemudaratan asap rokok. 

Peraturan baru demi kesihatan dan kesejahteraan bersama

    Dari aspek kesihatan, konsep pemikiran, ‘Saya punya hak untuk merokok kenapa orang lain nak halang’ dan ‘Saya tahu merokok membahayakan kesihatan diri kenapa orang lain yang risau’ tidak lagi absah sebagai hujah untuk meneruskan tabiat yang tidak sihat itu. Hal ini kerana, ironinya keburukan merokok tidak hanya memberi kesan pada si perokok namun mereka di sekitar yang turut menghirup asap rokok (secara tak sengaja) turut mendapat padah. Fenomena ini yang di namakan second hand smoker atau perokok pasif.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) second had smoke merupakan suatu fenomena yang membahayakan dan merugikan semua pihak. Malah berdasarkan kajian perubatan terkini, perokok pasif mempunyai kesan jangka panjang yang hampir sama dengan perokok tegar! Ini termasuk penyakit jantung, paru-paru dan kanser. Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ambil kuiz ini untuk mengetahuinya.

    Dari aspek sosial pula, kita semua pasti bersetuju dalam menyatakan bahawa asap rokok merimaskan, membebankan dan memberi aroma yang tidak nyaman sehingga membuatkan orang di sekeliling tidak selesa. Tambahan lagi asap rokok juga telah dikategorikan sebagai suatu pencemaran udara yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat. 


Sejauh mana masyarakat kita mematuhinya? 

    Walaupun keputusan mengkategorikan tempat makan terbuka sebagai salah satu kawasan larangan merokok, pada awalnya disambut baik oleh sebilangan besar masyarakat awam dan pihak berkuasa. Pandemik Covid-19 dan suasana pasca PKP telah meletakkan fokus tuan premis dan pihak berkuasa terhadap pemerkasaan SOP Pencegahan Penularan Wabak berbanding undang-undang larangan merokok. Ini menyebabkan tabiat merokok di premis makan kembali menular sehingga ia menganggu keselesaan pelanggan yang lain.

    Dalam pada itu, terdapat juga laporan dan aduan tentang golongan yang masih merokok di kawasan larangan yang lain tanpa segan silu. Ini menunjukkan bahawa masih terdapat individu di masyarakat kita yang hanya mementingkan diri sendiri. Manakan tidak? Mereka inilah yang akan menyalakan sebatang rokok tatkala anak kecil dan ibu mengandung ada berhampiran tanpa berfikir panjang. Walaupun ada yang sedia maklum akan bahawa perbuatan mereka menyebabkan orang lain tidak selesa dan membahayakan, mereka masih menutup sebelah mata.

    Maka dengan itu, ramai yang berpendapat hanya undang-undang yang diringi dengan penguatkuasaan yang ketat sahaja mampu mecegah tabiat yang tidak sihat ini. Walaupun hanya 23 kawasan yang dilarang (setakat ini), ianya masih memberi impak yang luas kepada kesejahteraan awam jika dipatuhi sepenuhnya.


Apa kata negara di luar sana?

    Negara-negara yang mempunyai akta larangan merokok yang ketat termasuk Australia, Arab Saudi, United Kingdom, Canada dan banyak lagi. Negara-negara ini juga turut mengenakan kompaun yang tinggi terhadap sesiapa yang tidak mematuhi dasar kawalan merokok masing-masing.

    Manakala negara yang mempunyai penguat kuasaan yang longgar terhadap gejala merokok di tempat awam pula termasuk Amerika Syarikat, China dan India. Dasar negara- negara ini terhadap tabiat merokok di tempat awam adalah amat bervariasi, berkisar di antara tiada undang-undang yang khas sehingga sekatan bebas merokok yang tidak jelas mahupun konsisten.


Kesimpulan

    Peraturan larangan merokok ini merupakan suatu langkah awal yang sangat penting dalam mentransformasikan komuniti yang lebih peka terhadap kesihatan individu dan kesejahteraan masyarakat sekeliling. Oleh kerana asap rokok itu juga sering membawa padah, diharapkan kita semua saling menghormati dan mematuhi 23 Kawasan Larangan Merokok ini demi menjamin masyarakat yang lebih sihat. Bak kata pepatah mencegah lebih baik dari merawat. Dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar untuk berhenti tabiat merokok.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

​​

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall