Informasi Untuk Ibu Hamil Sepanjang Tiga Trimester Sebelum Melahirkan Bayi

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: September 7, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya wanita 20-an dan baru sahaja disahkan mengandung anak pertama. Saya sangat teruja dan bimbang dalam pada masa yang sama. Saya telah banyak membaca berkaitan dengan kehamilan. Namun, sekarang saya ingin tahu secara am apa yang akan berlaku kepada saya dan bayi sepanjang tiga trimester yang akan datang. Diharap doktor dapat menerangkan sedikit sebanyak untuk pemahaman saya. Terima kasih.
Jawapan:
Salam sejahtera dan terima kasih atas soalan yang diajukan. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah atas kandungan anda. Semoga segalanya berjalan dengan lancar dan senang. Saya memahami keterujaan anda. Saya pasti anda telah banyak membaca Info hamil online dan pantang larang ibu mengandung. Untuk menjawab persoalan anda, saya akan menerangkan mengikut trimester kandungan. Untuk pengetahuan anda, trimester pertama adalah dari awal kehamilan sehingga umur janin 12 minggu. Trimester kedua adalah dari minggu ke-12 dan 1 hari sehingga minggu ke-26. Dan trimester ketiga adalah dari minggu ke-26 dan 1 hari sehingga seterusnya. Lebih penerangan melalui artikel di bawah.

Tubuh wanita mengalami banyak perubahan semasa 12 minggu pertama sewaktu hamil. Hal ini adalah kesan daripada perubahan hormon dalam tubuh yang mempengaruhi hampir setiap organ dalam badan. Kesan daripada itu, beberapa wanita mengalami simptom semasa mengandung seperti:

  • Penat
  • Sakit perut
  • Muntah
  • Perubahan emosi
  • Payudara menjadi lebih lembut
  • Pedih ulu hati
  • Kenaikan berat badan
  • Sakit kepala
  • Mengidam
  • Sensitif pada bau atau makanan tertentu
  • Sembelit

Tambahan lagi, sekiranya ini adalah kandungan pertama, gejala yang dialami serta kebimbangan untuk persediaan mengandung kali pertama akan memberi cabaran yang hebat buat wanita tersebut dan juga pasangannya. Para wanita yang bakal menjadi ibu mungkin perlu berehat lebih banyak atau makan dalam kuantiti yang lebih kecil. Walaubagaimanapun, tidak semua wanita akan mengalami gejala di atas.

Tips ibu mengandung anak pertama termasuklah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan buku merah jambu di klinik kesihatan sewaktu trimester pertama. Hal ini kerana bakal-bakal ibu juga akan melakukan beberapa ujian serta saringan darah untuk memastikan status kesihatan mereka terjamin sewaktu mereka hamil. Kesemua rekod tentang maklumat kesihatan wanita mengandung akan dicatat dalam buku merah jambu tersebut. Doktor juga akan membuat pertimbangan sama ada wanita mengandung itu memerlukan ubat bagi menjaga kesihatan mereka sewaktu tempoh kehamilan.

Perkembangan saiz janin berlaku dengan pantas pada trimester pertama. Tempoh ini adalah sangat penting kerana berlakunya penanaman janin ke dalam dinding rahim dan pembentukan organ-organ penting dalam tubuhnya. Oleh itu, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ketika tempoh trimester pertama, kesan buruk boleh berlaku. Para bakal ibu dinasihati agar berhati-hati dalam melakukan aktiviti atau mengambil ubat sepanjang tempoh ini. 

Jantung bayi akan mula berdegup pada trimester pertama. Para bakal ibu boleh mendengar degupan jantung bayi mereka menggunakan alat doppler seawal 7 minggu umur kandungan. Menjelang detik-detik akhir trimester pertama, organ seks bayi telah terbentuk. Oleh itu, jantina bayi boleh diketahui seawal 14 minggu umur kandungan. Namun, kebiasaannya pemeriksaan jantina akan dilakukan lebih lewat dari tempoh tersebut.


Teruja mendengar degupan si manja? Pastikan si manja anda sihat dengan nutrien yang secukupnya sepanjang kehamilan

Kebiasaannya trimester kehamilan kedua adalah tempoh yang menggembirakan buat para wanita. Hal ini kerana gejala-gejala yang kurang selesa dialami ketika awal kehamilan beransur pulih dan saiz perut belum terlalu besar untuk menyebabkan ketidakselesaan untuk mereka. Antara gejala yang dialami oleh wanita ketika tempoh ini adalah:

  • Perut dan payudara berkembang menjadi lebih besar - hal ini boleh menyebabkan garis-garis coklat kemerahan, hitam, perak atau ungu atau juga dikenali sebagai “stretch mark”.
  • Kontraksi Braxton Hicks- ianya adalah rasa kontraksi ringan dan tidak teratur atau kontraksi palsu. Akan tetapi, sekiranya rasa kontraksi menjadi kerap dan bertambah kuat, disarankan untuk ke hospital dengan segera kerana ianya boleh menjadi tanda persalinan prematur.
  • Perubahan di kulit. Perubahan hormon semasa kehamilan merangsang peningkatan sel melanin pada kulit anda. Ianya boleh mengakibatnya tompok-tompok coklat di wajah (melasma) serta garis gelap di perut (linea nigra). Perubahan kulit ini sering berlaku dan menjadi pudar semula selepas bersalin.
  • Masalah hidung tersumbat dan berdarah - hal ini disebabkan pengaliran darah yang lebih banyak dalam badan yang kemudiannya menyebabkan selaput lendir seperti di hidung membengkak dan berdarah dengan mudah.
  • Masalah gigi dan gusi - gusi akan menjadi lebih sensitif terhadap flos dan aktiviti memberus gigi sehingga menyebabkan pendarahan kecil.
  • Pening - Kehamilan menyebabkan perubahan pada pengaliran darah yang mungkin menyebabkan wanita hamil berasa pening. Elakkan perkara ini dengan minum banyak air dan elakkan berdiri lama serta bergerak perlahan-lahan ketika menukar posisi.
  • Kaki kejang - Perkara ini sering terjadi terutamanya pada waktu malam.
  • Keputihan di alat sulit - Perkara yang sering terjadi dalam kalangan wanita hamil. Namun, keputihan yang bertukar berbau dan warna, disertai dengan rasa sakit dan gatal di kawasan faraj, disarankan untuk berjumpa dengan doktor
  • Jangkitan saluran kencing - Sekiranya anda mengalami gejala seperti kerap membuang air kecil, sakit tajam ketika membuang air kecil, warna air kencing yang keruh, bau yang kuat, demam atau sakit belakang segera berjumpa dengan doktor. Jangkitan ini kerap berlaku ketika mengandung tetapi, sekiranya tidak dirawat, ianya boleh mengundang masalah yang lebih parah. 

Kekerapan temu janji dengan doktor pakar bergantung pada status kesihatan anda dan kandungan sama ada setiap 4 minggu sekali atau lebih kerap dari itu. Pemeriksaan fizikal seperti berat badan, tekanan darah serta abdomen akan dilakukan. Ujian air kencing juga merupakan pemeriksaan rutin bagi mengesan jangkitan pada saluran air kencing, gula atau protein.

Ketika tempoh ini, bakal ibu mula merasakan pergerakan bayi sekitar minggu ke 18-20 kandungan. Selain itu, jantina juga kebiasaannya akan diperiksa ketika trimester kedua ini sekiranya pasangan ingin tahu.

Masa untuk berjumpa dengan bayi kandungan anda semakin hampir! Sementara anda menghitung hari untuk menerima bayi anda, dia juga sedang sibuk membesar. Waktu trimester terakhir ini juga berlakunya bayi anda mula untuk membuka mata, menyepak perut ibu untuk merenggangkan anggota badannya dan berlatih bernafas. Rambut dan kuku bayi kandungan juga mula tumbuh. Para wanita disarankan untuk membuat persiapan dengan membeli barang keperluan semasa berada di hospital selepas anda melahirkan bayi. Hal ini untuk memudahkan persiapan anda ke hospital.

Sekiranya anda mengalami gejala seperti berikut, disarankan untuk anda segera ke hospital:

  • Pendarahan (bloody show)- disebabkan plag lendir dari serviks pecah
  • Air ketumban pecah - air ketumban biasanya jernih dan mengalir lebih banyak mengikut graviti (berbeza dengan air kencing)
  • Rasa sensasi buang air besar atau sakit perut yang yang semakin kuat dan semakin kerap 


Jangan lupa mendapatkan khidmat pakar sakit puan sementara seronok membuat persiapan menyambut bayi!

Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma 10.10 Health Fest: Baucar RM10!