Bagaimana Mencegah Denggi? Tips Untuk Melindungi Diri Anda

Lakukan 5 Cara Ini Untuk Pencegahan Demam Denggi - DoctorOnCall

Tahukah anda bahawa Malaysia juga mempunyai empat musim? Kita mengalami musim kemarau, musim durian, musim jerebu dan musim denggi! Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus, kemuncak kes adalah semasa musim monsun, namun penularan boleh berlaku sepanjang tahun. 

Demam denggi disebabkan oleh jangkitan mana-mana satu daripada empat virus denggi (DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4)1. Manusia boleh dijangkiti lebih daripada sekali dan jangkitan kedua boleh menjadi lebih serius1.

Malangnya, masih tiada penawar atau antivirus untuk jangkitan demam denggi2. Jadi, cara mencegah demam denggi yangterbaik adalah dengan melindungi diri anda dan orang yang anda sayangi daripada gigitan nyamuk2. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ambil untuk mengelakkan jangkitan denggi. 


Jangan Biarkan Kawasan Rumah Anda Menjadi Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes

Berikut adalah fakta menarik yang mungkin anda tidak ketahui: nyamuk Aedes bertelur di dalam air yang bertakung dan ia hanya mengambil masa beberapa hari untuk menetas dan berubah menjadi nyamuk yang terbentuk sepenuhnya3.

Oleh itu,salah satu cara mencegah pembiakan nyamuk denggi yang paling berkesan adalah dengan sentiasa memastikan kawasan di sekeliling anda diselenggara dengan baik, bersih, dan bebas daripada potensi menjadi habitat nyamuk Aedes. Nyamuk Aedes boleh menjangkiti anda ketika di dalam mahupun di luar rumah4. Apabila ia menggigit ahli keluarga yang dijangkiti ia boleh menyebarkannya kepada ahli keluarga yang lain5.

Anda boleh menghalang pembiakan nyamuk di sekitar rumah anda dengan1,6:

  • Memastikan longkang serta saliran atap bersih dan mempunyai aliran yang baik.
  • Menukar air dalam bekas takungan seperti minuman haiwan peliharaan dan alas pasu bunga sekurang-kurangnya sekali seminggu.
  • Mengeringkan atau membuang tin, baldi, bekas plastik, mainan, tayar atau barang lain yang boleh menakung air.
  • Menutup bekas yang menakung air atau dibuang.
  • Menutup tong hujan dengan penutup kalis nyamuk.
  • Bela ikan di dalam kolam.


Praktikkan Amalan Perlindungan Diri

Ingat, penyakit denggi tidak mendiskriminasi! Sesiapa pun boleh dijangkiti. Jadi, berusahalah sedaya upaya untuk menjaga diri anda!

Sebaik-baiknya, mengelakkan kawasan yang menjadi habitat nyamuk membantu dalam mencegah gigitan nyamuk. Inilah masalahnya: Nyamuk sukakan iklim tropika dan seluruh negara kita sangat sesuai menjadi habitatnya. Negara kita merupakan antara negara yang mencatatkan kes denggi tertinggi di Asia1.

Oleh itu, untuk melindungi diri anda boleh mempraktikkan langkah-langkah perlindungan mudah ini.


1. Gunakan penghalau nyamuk

Menggunakan ubat nyamuk dengan selamat dan betul boleh melindungi anda daripada gigitan nyamuk dengan bertindak sebagai "penghalang"7. Untuk perlindungan maksimum, ubat nyamuk topikal harus digunakan pada semua kulit yang terdedah kecuali mata dan mulut anda7. Apabila menggunakan sebarang produk racun serangga, sentiasa baca dan ikut arahan label dengan teliti. Gunakan sedikit pada kulit sebelum digunakan secara menyeluruh untuk mengetahui sekiranya anda alah terhadapnya7.


2. Pakai pakaian yang menutup kulit

Pakai pakaian yang melindungi kulit anda seperti baju dan seluar panjang serta pakaian berwarna cerah6. Anda juga boleh menggunakan pakaian atau kain yang telah dirawat dengan penghalau serangga2.

Para saintis telah mendapati bahawa sesetengah orang lebih menarik kepada nyamuk berbanding orang lain. Contohnya, pengambilan alkohol8 dan kehamilan9 boleh menyebabkan nyamuk lebih tertarik kepada anda.

Elakkan berada di luar rumah semasa waktu puncak nyamuk menggigit (senja hingga subuh)1 untuk mengelakkan gigitan nyamuk terutamanya jika anda mempunyai ciri-ciri yang menarik perhatian nyamuk.


3. Gunakan skrin penghalang serangga

Jika anda suka membuka tingkap rumah, gunakan skrin penghalang serangga2. Ia membolehkan udara mengalir melalui ruang anda tanpa membenarkan kemasukan nyamuk. Pastikan anda juga membaiki semua lubang-lubang2 yang boleh membenarkan kemasukan nyamuk ini ke dalam rumah anda termasuklah lubang kecil seperti bawah dan celahan pintu.


4. Pasang pendingin hawa

Penggunaan pendingin hawa boleh melindungi anda daripada gigitan nyamuk10. Nyamuk tidak gemarkan cuaca sejuk dan sebab itulah ia suka masuk ke dalam rumah apabila malam menjelma10. Jadi pada waktu sebegini, tutup pintu dan tingkap dengan rapat bagi mengelakkan kemasukan nyamuk.


5. Gunakan kelambu

Walaupun anda boleh mengawasi nyamuk apabila anda terjaga, anda mungkin tidak menyedarinya jika ia menggigit semasa anda tidur. Jika pintu dan tingkap anda tidak dilindungi oleh skrin serangga, gunakan kelambu apabila tidur11. Anda juga boleh menggunakan penutup atau kelambu pada kereta sorong bayi anda untuk mengelakkan daripada gigitan nyamuk semasa di luar rumah.


Tanam tumbuhan penghalau nyamuk

Memang benar! Terdapat tumbuhan yang mempunyai ciri penghalau nyamuk. Tumbuhan-tumbuhan ini telah dikaji berkesan dalam menjauhkan nyamuk dari kawasan rumah anda12Anda boleh menanamnyadi halaman atau balkoni rumah anda. 


Berikut ialah beberapa tumbuhan penghalau nyamuk yang boleh anda pertimbangkan untuk ditanam di rumah12:

  1. Serai Wangi
  2. Bunga Tahi Ayam
  3. Bunga Selasih
  4. Akar Wangi
  5. Aloe Vera /Lidah Buaya
  6. Floramaster
  7. Tongkat Ali
  8. Mahagoni/Mambu
  9. Jeremin


Pastikan kawasan kejiranan anda mempunyai rutin pengabusan yang aktif!

Jika majlis tempatan anda tidak menawarkan perkhidmatan pengabusan (fogging), anda boleh mengupah kontraktor persendirian untuk menjalankan rutin pengabusan di kawasan rumah anda. Aktiviti ini dapat menghapuskan nyamuk dewasa yang berpotensi membawa virus denggi di kawasan anda13.


Semburan kabus ini dapat membunuh nyamuk Aedes dengan berkesan dan melindungi penduduk daripada jangkitan demam denggi13, namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul agar tidak membahayakan penduduk dan haiwan di sekitarnya.

Pengabusan sebaiknya dilakukan dengan kerap dan waktu yang terbaik adalah ketika nyamuk paling aktif iaitu awal pagi atau lewat petang13.

Pastikan anda berada di dalam rumah dan menutup tingkap dan pintu dengan rapat ketika rutin pengabusan dilakukan. Sebaiknya, pastikan haiwan peliharaan anda juga berada di tempat yang selamat13.


Sentiasa berwaspada!

Jika anda digigit nyamuk, anda boleh gunakan losen calamine atau tuaman sejuk untuk mengurangkan kegatalan14. Jangan menggaru bahagian yang gatal kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kulit dan jangkitan14.

Kenali simptom demam denggi agar anda boleh merujuk kepada doktor dan mendapatkan rawatan segera sekiranya anda atau ahli keluarga disyaki menghidap demam denggi. Rawatan awal adalah kunci kepada pemulihan dan pengurangan risiko komplikasi.


Rujukan

1. World Health Organization. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/yuxuzn2t| Accessed on 24 August, 2022.

2. Centers for Disease Control and Prevention. Avoid Dengue by Preventing Mosquito Bites | https://tinyurl.com/auc9mezk| Accessed on 24 August 2022.

3. Centers for Disease Control and Prevention. Life cycle of Aedes Aegypti and ae. albopictus mosquitoes | https://tinyurl.com/4saavufn | Accessed on September 8, 2022

4. Centers for Disease Control and Prevention. Dengue Transmission | https://tinyurl.com/kc6p9346 |  Accessed  September 8, 2022

5.Centers for Disease Control and Prevention. Homecare for Dengue Patients | https://tinyurl.com/7t5e6era | Accessed September 8, 2022

6. Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Info Sihat. Demam Denggi | https://tinyurl.com/yc4nynnj | Accessed on 24 August, 2022.

7. National Environment Agency. Mosquito Repellents | https://tinyurl.com/bdzppn8w | Accessed on August 25, 2022

8. Shirai O., Tsuda T., Kitagawa S., Naitoh K., Seki T., Kamimura K., Morohashi M. Alcohol ingestion stimulates mosquito attraction. Journal of the American Mosquito Control Association | https://tinyurl.com/5acpwfv5 | Accessed on August 25, 2022

9. Dobson, R. (2000, June 10). Mosquitoes prefer pregnant women. BMJ (Clinical research ed.) | https://tinyurl.com/w2wj66rh | Accessed on August 25, 2022

10. Meyers, A. PestWeek. Does Air Conditioning Keep Mosquitoes Away? | https://tinyurl.com/54kbd9up | Accessed on 24 August, 2022.

11. PORTAL MyHEALTH. Demam Denggi | https://tinyurl.com/yvv42htd | Accessed on 24 August, 2022.

12. Kaedah alternatif - IDengue Versi 3.0 | https://tinyurl.com/3ey7fckw | Accessed on August 25, 2022

13. PestBusters. Aedes Fogging | https://tinyurl.com/52a3wdn2 | Accessed on 24 August, 2022.

14. Centers for Disease Control and Prevention. Mosquitoes Bite Symptoms and Treatment | https://tinyurl.com/4yb5dap4 | Accessed on 24 August, 2022.

C-ANPROM/MY/DENV/0075 SEPT 2022


Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian:

Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.