Bolehkah Denggi Dirawat? Adakah Rawatan Tradisional Menyembuhkan?

Cara Merawat Demam Denggi. 3 Langkah Penting Untuk Pulih - DoctorOnCall

Anda tentu pernah terdengar akan kematian akibat demam denggi. Adakah penyakit ini begitu berbahaya?

Demam denggi ialah penyakit bawaan nyamuk yang serius yang mana 4 bilion orang, atau hampir separuh daripada populasi dunia, tinggal di kawasan berisiko denggi1. Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan kes denggi yang tinggi2, dan Selangor mempunyai kadar kes tertinggi3. Adakah denggi boleh dirawat?

Tentu ramai yang tertanya-tanya, bagaimana cara mengatasi demam denggi? Apakah ubat yang boleh diberikan, dan adakah ia boleh disembuhkan?Bagaimana pula dengan rawatan tradisional? Mari kita lihat lebih lanjut tentang cara merawat demam denggi.


Bagaimana Untuk Mengetahui Jika Anda Menghidap Demam Denggi?

Anda atau keluarga anda menghidap demam panas dan lemah badan. Kawasan tempat tinggal anda mempunyai kes denggi yang tinggi. Tentu anda berasa risau. Jadi bagaimana untuk tahu jika anda menghidap denggi atau tidak?

Kebanyakan kes denggi adalah asimtomatik atau menunjukkan simptom yang ringan, sesetengah individu boleh mendapat denggi teruk yang mungkin kelihatan seperti gejala demam selesema. Denggi menyerang bayi, kanak-kanak hingga dewasa2.

Demam denggi biasanya disahkan oleh doktor melalui ujian makmal4. Ini dibuat berdasarkan penilaian terhadap sejarah dan keadaan pesakit dantanda-tanda demam denggi yang dialami iaitu, demam panas pada suhu yang tinggi (40 C) beserta sekurang-kurangnya 2 gejala berikut2:

  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit di belakang mata
  • Sakit otot dan sendi
  • Mual
  • Muntah
  • Bengkak kelenjar
  • Ruam


Apakah Rawatan Demam Denggi?

Tiada rawatan khusus untuk denggi5. Jadi, apakah yang boleh anda lakukan jika anda mempunyai simptom denggi?


1. Ubat-ubatan & Rawatan Sokongan

Setakat ini, tiada rawatan yang khusus sebagai cara mengatasi demam denggi5. Namun begitu sekiranya anda ke klinik atau hospital, selepas disahkan menghidap demam denggi rawatan akan diberikan mengikut keadaan anda.

Bagi demam denggi biasa, anda mungkin akan dibenarkan pulang ke rumah. Doktor mungkin akan membekalkan anda ubat tahan sakit dan ubat untuk mengurangkan demam6.


Sila pastikan anda mengambil ubat ini atas nasihat doktor kerana sesetengah ubat tahan sakit seperti aspirin boleh mencairkan darah dan memburukkan keadaan pesakit demam denggi berdarah6.

Sekiranya anda menghidap denggi yang serius contohnya denggi berdarah akibat tahap platlet dalam darah yang rendah, anda akan dimasukkan ke wad untuk rawatan dan pemantauan7

Antara rawatan yang mungkin diberikan selain ubat tahan sakit dan ubat demam termasuklah rawatan sokongan. Rawatan sokongan bagi pesakit demam denggi boleh diberikan dalam bentuk penghidratan melalui terapi intravena (iv)6, dan transfusi darah jika perlu6.


2. Makanan Berkhasiat dan Air Yang Cukup

Gejala-gejala denggi seperti mual, muntah boleh menyebabkan kehilangan air dan tenaga. Pesakit denggi harus mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat serta minum airdengan secukupnya bagi membantu pemulihan8.

Pengambilan air yang cukup bagi mengelakkan dehidrasi adalah amat penting ketika demam denggi. Pilihan sumber cecair boleh dipelbagaikan seperti jus buah dan minuman tenaga8.

Sekiranya pesakit tidak boleh minum air secara oral, ia perlu dirujuk ke hospital untuk terapi cecair secara intravena seperti yang dinyatakan di atas7.


3. Rehat

Pesakit denggi akan mengalami sakit badan, sendi, dan berasa lemah. Gejala demam juga boleh disertai dengan sakit kepala dan mata yang teruk2.

Oleh itu, pesakit demam denggi amat disarankan untuk mendapat rehat yang cukup bagi membantu pemulihan daripada jangkitan ini8. Elakkan tekanan sama ada secara fizikal atau mental yang boleh memburukkan keadaan anda.


Rawatan Tradisional. Adakah Berkesan?

Pernah dengar saranan rawatan tradisional demam denggi dengan herba seperti jus daun betik atau sup ketam? Adakah ia berkesan?

Terdapat kajian yang menunjukkan kegunaan jus/ekstrak daun betik9, namun peranan ekstrak betik dalam rawatan denggi perlu dikaji dengan lebih lanjut. Herba ini tidak disarankan untuk diambil tanpa nasihat dan pengawasan doktor10

Menu tertentu yang dikatakan sebagai makanan untuk demam denggi seperti sup ketam tidak dibuktikan berkesan, tetapi ia boleh diambil sebagai pengganti cecair bukannya sebagai rawatan utama denggi11.  


Mengetahui cara merawat dan pemulihan demam denggi denggi adalah penting. Rujuk ke klinik terdekat anda jika anda tidak pasti gejala yang dialami adalah disebabkan demam denggi atau penyakit lain. Selain itu, kenali tanda amaran demam denggi yang boleh membantu anda mengenalpasti jika pesakit perlu dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan. 

Kata orang tua, mencegah lebah baik daripada mengubati. Oleh itu, selain rawatan, pencegahan demam denggi seperti dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan perlindungan kendiri daripada gigitan nyamuk juga adalah penting. 


Rujukan

1. Centers for Disease Control and Prevention. Dengue | https://tinyurl.com/s3dyvc8t | Accessed on 25 August, 2022

2. World Health Organization. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/mrn4tucv | Accessed on 24 August, 2022.

3. iDengue_Versi 3.0 | https://tinyurl.com/2zp8wa4s | Accessed on 8 September, 2022

4. Centers for Disease Control and Prevention. Dengue Diagnosis | https://tinyurl.com/45ms2nrp | Accessed on 24 August, 2022.

5. Centers for Disease Control and Prevention. Treatment | https://tinyurl.com/3effbdwp | Accessed on 13 September, 2022

6. MIMS Malaysia. Dengue Treatment | https://tinyurl.com/3dt2ax8x | Accessed on 24 August, 2022.

7. MIMS Malaysia. Dengue Diagnosis | https://tinyurl.com/2dcte4wb | Accessed on 24 August, 2022.

8. MIMS Malaysia. Supportive Therapy | https://tinyurl.com/yx7dpbfu |Accessed on 24 August, 2022.

9. Soobitha Subenthiran, Tan Chwee Choon, Kee Chee Cheong, Ravindran Thayan, Mok Boon Teck, Prem Kumar Muniandy, Adlin Afzan, Noor Rain Abdullah and Zakiah Ismail. (2013). Carica papaya leaves juice significantly accelerates the rate of increase in platelet count among patients with dengue fever and dengue haemorrhagic fever. Institute for Medical Research, Malaysia | https://tinyurl.com/k6ta5kfp | Accessed on 8 September, 2022

10. Kementerian Kesihatan Malaysia. Langkah-Langkah Penyediaan Jus Daun Betik. Pusat Penyelidikan Perubatan Herba Institut Penyelidikan Perubatan, 1–2 | https://tinyurl.com/3v7bjs3w | Accessed on 24 August, 2022

11.Ismail, I. S., Hairon, S. M., Yaacob, N. M., Besari, A. M., & Abdullah, S. (2019, May). Usage of traditional and complementary medicine among dengue fever patients in the Northeast region of Peninsular Malaysia. The Malaysian journal of medical sciences: MJMS | https://tinyurl.com/4csufe5x | Accessed on 8 September, 2022

C-ANPROM/MY/DENV/0077 SEPT 2022


Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian:

Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.