Kenali Denggi Pada Kanak-Kanak & Bagaimana Melindungi Mereka

Mengenali Tanda Demam Denggi Pada Kanak-Kanak & Cara Mengatasinya | DoctorOnCall

Demam denggi boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Menurut Persatuan Kesihatan Sedunia, demam denggi boleh menyerupai demam selsema dan boleh berlaku kepada bayi, kanak-kanak dan juga dewasa1. Adakah demam denggi kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa? Apakah risiko demam denggi pada kanak-kanak? Mari ketahui lebih lanjut.

Tanda & Gejala Denggi Pada Kanak-Kanak

Awasi anak anda yang mengalami demam panas. Demam denggi pada kanak-kanak boleh menunjukkan gejala-gejala yang berikut1:

  • Demam panas yang mencecah sehingga 40°C
  • Anak anda mungkin akan mengadu sakit kepala yang teruk
  • Mengalami sakit di belakang mata
  • Kanak-kanak juga boleh mengalami sakit otot dan sendi ketika demam denggi
  • Mual dan muntah juga adalah salah satu gejala demam denggi pada kanak-kanak
  • Mereka juga boleh mendapat gejala bengkak kelenjar serta ruam kulit

Bagaimana Pengesahan Denggi Pada Kanak-kanak Dilakukan?

Seperti orang dewasa, diagnosis atau pengesahan demam denggi pada kanak-kanak dilakukan berdasarkan beberapa perkara. Perkara utama adalah berdasarkan sejarah kesihatan dan gejala yang dialami serta pemeriksaan fizikal termasuk tanda vital2. Jika seorang kanak-kanak disyaki mengalami demam denggi berdasarkan penilaian oleh doktor daripada perkara di atas, ujian makmal akan dilakukan untuk mengesahkan diagnosis2.

Bahaya Denggi Pada Kanak-Kanak & Faktor Risikonya

Persatuan Kesihatan Sedunia mencatatkan peningkatan kadar kematian denggi dari tahun 2000 ke tahun 20151. Kematian ini kebanyakannya melibatkan mereka dalam kumpulan usia yang lebih muda1

Selain itu, kanak-kanak juga berisiko mendapat sawan demam ketika fasa demam (febrile phase)3, iaitu fasa pertama penyakit denggi. 

Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia menyenaraikan beberapa tanda yang dikaitkan dengan demam denggi parah2:

  • Kelesuan
  • Sakit perut
  • Pendarahan
  • Pembesaran organ hati (hepatomegali)

Ia turut menyenaraikan faktor tambahan yang dikaitkan dengan denggi parah bagi kanak-kanak iaitu2:

  • Jantina perempuan
  • Usia kurang dari 5 tahun
  • Obesiti
  • Jangkitan kedua oleh virus denggi

Renjatan atau kejutan (sindrom kejutan denggi) adalah salah satu punca kematian bagi pesakit denggi3. Sindrom kejutan denggi (DSS) dikaitkan dengan bukti gangguan peredaran darah yang dimanifestasikan oleh tekanan nadi yang cepat, lemah, sempit atau rendah, keresahan, dan kulit yang sejuk dan lembap3. Sebuah kajian di India telah dilakukan bagi mengenal pasti faktor risiko denggi dengan renjatan bagi kanak-kanak. Kajian ini menunjukkan antara faktor risikonya adalah4:

  • Kanak-kanak berusia bawah 6 tahun
  • Mempunyai gejala pembesaran hati
  • Mengalami gejala sakit perut
  • Mengalami gejala kurang air kencing

Gejala-gejala ini perlu diawasi bagi kanak-kanak yang mengalami demam denggi agar komplikasi serius boleh dielakkan.

Bagaimana Merawat Denggi Kanak-Kanak Dan Cabarannya

Kanak-kanak yang menghidap demam denggi boleh dirawat di rumah atau memerlukan rawatan dan pemantauan di hospital bergantung kepada keadaan mereka.

Rawatan denggi biasanya berbentuk rawatan sokongan. Contohnya ubat tahan sakit dan pengurangan suhu demam, pemberian cecair yang cukup dan rawatan khas seperti terapi IV dan transfusi darah jika perlu2,5,6.

Antara perkara penting yang perlu diambil berat dalam penjagaan pesakit denggi terutamanya kanak-kanak adalah pengambilan cecair yang cukup bagi mengelakkan dehidrasi7. Dehidrasi boleh berlaku disebabkan gejala muntah dan demam akibat denggi7.

Berikut adalah tanda-tanda dehidrasi bagi kanak-kanak7:

  • Tanda dehidrasi sederhana
  • Kurang kencing (kurang dari 6 lampin sehari)
  • Mulut, bibir dan lidah kering
  • Tiada air mata ketika menangis
  • Ubun-ubun kepala tenggelam

Tanda dehidrasi yang teruk pada kanak-kanak

  • Mengantuk, tiada tenaga, meragam
  • Mata tenggelam
  • Tangan kaki sejuk dan pucat
  • Sangat kurang kencing (1-2 kali sahaja sehari)

Penjagaan kanak-kanak yang menghidap denggi boleh menjadi lebih mencabar kerana mereka mungkin sukar untuk makan dan minum dengan baik ketika sakit. Ini boleh menyukarkan ibu bapa atau penjaga memastikan pengambilan air yang cukup serta makanan untuk mereka kembali bertenaga. 

Oleh itu, pihak kementerian kesihatan telah menggariskan panduan agar kanak-kanak menghidap denggi yang dirawat di rumah (sebagai pesakit luar) perlu menjalani pemantauan di klinik setiap hari sehingga tamat fasa kritikal2. Selain itu, mereka akan dibekalkan dengan kad pemantauan serta panduan penjagaan di rumah2.

Cara Melindungi Anak Anda Daripada Denggi

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Lindungi anak anda daripada gigitan nyamuk aedes bagi mencegah jangkitan denggi. Berikut adalah perkara yang anda boleh lakukan8,9:

Pencegahan di kawasan rumah

  • Pastikan tiada air bertakung di kawasan rumah anda. Ia adalah tempat pembiakan nyamuk aedes
  • Buang bekas takungan air seperti besen, alas pasu, tayar lama dan lain-lain
  • Bersihkan rumah anda daripada sampah kerana plastik juga boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk

Perlindungan diri kanak-kanak ketika keluar rumah

  • Pakaikan anak anda dengan pakaian berlengan panjang dan berwarna cerah
  • Semburkan penghalau serangga yang selamat 
  • Elakkan anak-anak daripada bermain di luar ketika nyamuk aedes aktif iaitu pada waktu subuh dan senja
  • Pasang kelambu di katil anak anda ketika mereka tidur
  • Gunakan kelambu pada kereta sorong bayi ketika di luar rumah

Jika anak anda menunjukkan gejala-gejala denggi, sila berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan secepat mungkin.

Rujukan

World Health Organization. Dengue and severe dengue | https://tinyurl.com/mr4a9tah | Accessed on September 29, 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Clinical Practice Guidelines - Managament of Dengue In Children (Second Edition) | https://tinyurl.com/2jjrdu8d | Accessed on September 29, 2022

U.S. Department of Health and Human Services Centers for Disease Control And Prevention. Dengue and Dengue Hemorrhagic Fever. Information for Health Care Practitioners | https://tinyurl.com/w9uar2x3 | Accessed on September 29, 2022 

Pothapregada, S., Kamalakannan, B., & Thulasingham, M. (2015, November). Risk factors for shock in children with Dengue fever. Indian journal of critical care medicine : peer-reviewed, official publication of Indian Society of Critical Care Medicine | https://tinyurl.com/26fudpnz | Accessed on September 29, 2022 

MIMs. Dengue - Supportive Therapy. MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/umhvnvcw | September 29, 2022

MIMs. Dengue - Treatment . MIMs Malaysia | https://tinyurl.com/7ta75jrj | September 29, 2022

Centers for Disease Control and Prevention. (2019, October 31).Caring for a child or family member sick with Dengue | https://tinyurl.com/yckpuk52 | September 29, 2022 

Demam Denggi. InfoSihat | https://tinyurl.com/yjt9h78a | September 29, 2022 

Kaur, J. (2021, September 29). Demam Denggi. PORTAL MyHEALTH | https://tinyurl.com/3jtzvs35 | September 29, 2022 

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat Dalriada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan

C-ANPROM/MY/DENV/0097 NOV 2022