Adakah Semua Nyamuk Membawa Denggi? Kenali Nyamuk Aedes

Nyamuk Aedes. Awas! Kenali Nyamuk Pembawa Denggi - DoctorOnCall

Jika bercakap tentang denggi atau demam denggi, tentu kita akan terfikir tentang nyamuk. Ya, nyamuk adalah vektor atau medium penyebaran denggi. Tetapi, adakah semua nyamuk boleh menyebabkan denggi? Mari kenali nyamuk Aedes.


Apa Itu Nyamuk Aedes?

Nyamuk Aedes adalah sejenis nyamuk yang boleh menyebarkan virus kepada manusia. Ia bukan sahaja boleh menyebarkan denggi, tetapi juga beberapa jangkitan lain bergantung kepada jenisnya1.

Terdapat beberapa jenis nyamuk Aedes iaitu1,2:

  • Aedes aegypti
  • Aedes albopictus
  • Aedes polynesiensis
  • Aedes japonicus
  • Aedes atropalpus

2 jenis nyamuk Aedes yang biasanya menyebarkan denggi adalah nyamuk Aedes aegypti (paling utama) dan nyamuk Aedes albopticus.2 Kedua-dua nyamuk Aedes jenis ini juga boleh menyebarkan penyakit chikungunya.2 Nyamuk Aedes aegypti juga dikenal pasti turut menyebarkan virus zika dan demam kuning (yellow fever).2


Kenali Ciri-Ciri Nyamuk Aedes

Tentu anda tertanya-tanya. Semua nyamuk kelihatan sama sahaja. Jadi bagaimana mengenali yang mana satu nyamuk Aedes?

Anda boleh mengenal pasti nyamuk Aedes melalui beberapa ciri. Nyamuk Aedes dewasa mempunyai badan yang tirus1. Perut atau abdomen, kakinya dan juga toraks (bahagian yang menghubungkan kepala dan abdomen) berbelang putih dan hitam1.

Nyamuk Aedes betina dewasa pula mempunyai hujung abdomen yang tajam1. Mengapa perlu kenali nyamuk betina atau nyamuk jantan? Ini kerana, hanya nyamuk betina yang menghisap darah manusia untuk tujuan pembiakan3

Selain bentuk dan warna badan, cara lain adalah mengenali waktu nyamuk Aedes aktif. Nyamuk Aedes betina biasanya menghidap darah pada waktu siang1. Waktu puncak ia keluar mencari mangsa adalah pada waktu pagi dan waktu petang sebelum senja1.


Kitaran Hidup Nyamuk Aedes

Nyamuk Aedes betina bertelur di dalam air yang bertakung4. Sebab itulah anda disarankan untuk membuang tempat-tempat takungan air sebagai cara mencegah pembiakan nyamuk Aedes di kawasan tempat tinggal anda. Berikut adalah kitaran hidup nyamuk:

Telur: Telur nyamuk Aedes berwarna hitam1. Ia akan menetas menjadi larva dalam tempoh beberapa hari sehingga beberapa bulan apabila berada di dalam air5.

Larva: Larva mengambil masa sehingga 5 hari untuk menjadi pupa atau kepompong5.

Pupa: Pupa ini masih tinggal di dalam air dan menjadi nyamuk dewasa dalam tempoh 2-3 hari5.

Nyamuk Dewasa: Dalam tempoh 2 hari selepas keluar dari kepompong, nyamuk dewasa akan mengawan dan nyamuk betina kemudiannya akan mula mencari darah dan bertelur 3 hari selepas menghisap darah3. Kitaran ini kemudiannya berulang3.

Nyamuk dewasa biasanya boleh hidup dalam tempoh 2 minggu. Namun nyamuk betina boleh bertelur sehingga 3 kali sepanjang hayatnya3. Telur nyamuk ini juga sangat tahan kepada cuaca seperti kering atau suhu beku. Ia boleh bertahan sehingga beberapa bulan1.


Bagaimana Nyamuk Aedes Menyebarkan Denggi?

Virus denggi tidak boleh berjangkit secara terus di antara manusia4. Nyamuk Aedes adalah pembawanya. 

Apabila nyamuk betina menghisap darah individu yang dijangkiti virus denggi, ia akan dijangkiti oleh virus ini. Virus ini kemudian akan membiak di dalam tubuhnya4. Dalam tempoh seminggu nyamuk Aedes yang telah dijangkiti virus boleh menyebarkannya kepada individu sihat yang lain semasa menghisap darah4.

Nyamuk Aedes aegytpi boleh menghisap darah daripada beberapa individu dalam satu-satu masa4. Ini menyebabkan ia boleh menyebarkan virus denggi dengan cepat dan menjadi salah satu vektor denggi yang utama di kawasan endemik denggi4

Nyamuk Aedes ini juga suka tinggal berdekatan kediaman atau di sekitar kediaman manusia agar ia mudah mendapatkan sumber darah1,4. Oleh itu adalah penting untuk kita sentiasa membersihkan kawasan rumah dan persekitaran tempat tinggal daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk ini.


Mari Hapuskan Nyamuk Aedes

Cara mencegah pembiakan nyamuk Aedes adalah dengan memastikan rumah dan kawasan kediaman kita bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk. Berikut ialah langkah yang boleh anda ambil untuk membasmi mereka dari kawasan persekitaran anda6,7:

  • Pastikan rumah anda bersih dan bebas daripada air bertakung seperti tayar lama, pasu bunga dan besen.
  • Gunakan abate (untuk membunuh jentik-jentik) di dalam tempat menyimpan air.
  • Tutup bekas air seperti bekas tadahan hujan dan tangki pengumpulan air.
  • Tukar air minuman haiwan kesayangan anda dengan kerap.
  • Bela ikan di dalam kolam.
  • Pastikan kawasan perumahan anda mempunyai rutin pengabusan (fogging) berkala untuk membunuh nyamuk Aedes dewasa berpotensi mengandungi virus di kawasan tersebut8. Ini adalah penting terutamanya bagi kawasan yang mempunyai kes denggi yang tinggi.


Selain daripada menghapuskan tempat pembiakannya, lindungi diri anda daripada nyamuk Aedes dengan6,7:

  • Memakai pakaian dan seluar berlengan panjang serta berwarna cerah apabila keluar.
  • Gunakan kelambu semasa tidur.
  • Gunakan ubat nyamuk.
  • Pasang jaring nyamuk di tingkap anda.
  • Elakkan aktiviti luar pada waktu puncak nyamuk ini aktif (subuh dan senja).


Semua orang berisiko dijangkiti denggi. Oleh itu, mari lakukan yang terbaik untuk melindungi diri kita dan orang lain daripada denggi.


Rujukan

1. Rogers, K. Encyclopedia Britannica. Aedes | Description, Life Cycle, & Disease Transmission. | https://tinyurl.com/2twp6hcb | Accessed on 24 August, 2022.

2. European Centre for Disease Prevention and Control. Mosquito Factsheets. | https://tinyurl.com/452pwtxb | Accessed on 24 August, 2022.

3. National Environment Agency. Aedes Mosquito | https://tinyurl.com/2yu2b7s9 | Accessed on 24 August, 2022.

4. World Health Organization. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/ryx8net3 | Accessed on 24 August, 2022.

5. Centers for Disease Control and Prevention. Aedes aegypti and Ae. albopictus Mosquito Life Cycles | https://tinyurl.com/3f9v4a6s | Accessed on 24 August, 2022. 

6. Idengue. Langkah Pencegahan | https://tinyurl.com/2hdpands | Accessed on 25 August, 2022

7. InfoSihat. Demam Denggi | https://tinyurl.com/2p87sz58 | Accessed on 25 August, 2022

8. Kementerian Kesihatan Malaysia. Cawangan Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan Malaysia. Garis Panduan Semburan Kabus oleh Komuniti (COMFOG). 2005;1–26 |  https://tinyurl.com/25y278hs | Accessed on 25 August, 2022

C-ANPROM/MY/DENV/0076 SEPT 2022


Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian:

Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.