Badan Lemah Selepas Pulih. Adakah Ini Kesan Denggi?

Memahami Kesan Deman Denggi - DoctorOnCall

Anda baru sahaja pulih daripada demam denggi. Tetapi badan masih lemah, sering letih dan tidak bertenaga. Tentu anda tertanya-tanya, adakah ini proses pemulihan yang normal atau kesan jangka panjang demam denggi? Berapa lamakah masa yang diambil untuk sembuh sepenuhnya?

Adakah ini kesan denggi?

Menurut kajian, demam denggi sememangnya mempunyai kesan atau memberi impak yang signfikan terhadap pesakit walaupun selepas sembuh daripada jangkitan. Gejala-gejala kesan selepas demam denggi yang biasa dilaporkan termasuklah1,2,3:

  • Sakit otot (myalgia).

  • Sakit sendi.

  • Lemah.

  • Sakit kepala.

  • Demam.

  • Keletihan.

  • Keresahan atau kemurungan.

  • Masalah ingatan.


Apakah itu demam denggi parah?

Demam denggi yang tidak dirawat dengan baik, atau tidak dikesan sehingga berada pada tahap yang parah boleh membahayakan nyawa. 

Demam denggi parah (severe dengue) boleh terjadi sebagai demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi. Demam denggi berdarah berlaku apabila paras platelet yang membantu pembekuan darah adalah rendah serta berlakunya kebocoran plasma4

Ini menyebabkan pendarahan dan kehilangan isipadu cecair tubuh. Akibatnya boleh berlaku:

  • Pendarahan teruk dari gusi, hidung, atau bawah kulit atau organ-organ yang lain4.

  • Kerosakan organ seperti pada hati, buah pinggang dan organ lain5.

  • Pengumpulan cecair. Dalam sesetengah kes, demam denggi boleh menyebabkan cecair terkumpul di dalam dada atau perut4.

  • Sindrom Renjatan Denggi (shock). Ini adalah keadaan yang mengancam nyawa yang berlaku apabila organ tidak mendapat aliran darah yang mencukupi. Gejala renjatan atau kejutan termasuk tekanan darah rendah, dan degupan jantung yang cepat tetapi lemah serta kulit berasa sejuk dan berpeluh4.


Sindrom renjatan denggi adalah tahap denggi yang paling teruk dan boleh membawa maut. Kadar kematian bagi penghidap sindrom renjatan denggi boleh menjadi 10% atau lebih tinggi, tetapi dengan pengesanan dan rawatan awal, risiko kematian boleh dikurangkan sehingga di bawah 1%4.

Adakah demam denggi menyebabkan kematian?

Demam denggi adalah penyakit yang berpotensi membawa maut yang disebabkan oleh virus denggi. Walaupun ia paling biasa ditemui di kawasan tropika dan subtropika, demam denggi boleh berlaku di mana-mana sahaja di dunia. 

Denggi boleh menyerang semua peringkat umur. Denggi ialah penyakit kompleks yang disebabkan oleh empat jenis serotype virus yang berbeza (DENV-1, 2, 3 dan 4)6. Oleh itu, anda mungkin boleh dijangkiti sebanyak 4 kali sepanjang hayat anda6. Jangkitan kedua yang disebabkan oleh jenis virus yang berbeza boleh meningkatkan risiko denggi yang teruk6.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sepanjang 20 tahun yang lalu, terdapat peningkatan lebih 8 kali ganda dalam kes denggi yang dilaporkan, daripada 505,430 kes pada 2000 kepada lebih 2.4 juta pada 2010, dan 5.2 juta pada 20196. Antara 2000 dan 2015, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat daripada 960 kepada 40326.

Apakah yang perlu dilakukan untuk pemulihan demam denggi?

Walaupun tiada ubat khusus untuk demam denggi6, rawatan awal yang tepat boleh membantu pemulihan. Rawatan biasanya tertumpu kepada rawatan sokongan seperti mencegah dehidrasi serta melegakan kesakitan dan demam7,8.

Banyakkan Berehat7

Banyakkan berehat adalah penting untuk membantu tubuh pulih daripada demam denggi. Sebaik-baiknya elakkan aktiviti berat dan berehat sekurang-kurangnya seminggu selepas demam reda.


Kekal Terhidrat7

Seseorang akan mudah kehilangan cecair apabila mengalami gejala demam denggi seperti demam dan muntah-muntah6. Oleh itu, adalah penting untuk kekal terhidrat dengan meminum banyak cecair. Air, jus dan minuman tenaga adalah pilihan yang baik7. Elakkan kafein dan alkohol, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi9,10.

Ambil Ubat Tahan Sakit8

Ubat tahan sakit seperti paracetamol boleh melegakan kesakitan dan demam8. Ia lebih disarankan untuk rawatan denggi bagi mengelakkan risiko pendarahan8


Dapatkan Rawatan Jika Perlu

Dalam sesetengah kes, demam denggi boleh membawa kepada komplikasi yang parah malah boleh mengancam nyawa6. Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan jika anda mengalami sebarang gejala yang teruk, seperti sakit perut yang teruk, muntah-muntah, gejala pendarahan dan kesukaran bernafas6. Diagnosis dan rawatan awal adalah penting untuk mencegah risiko demam denggi dengan komplikasi parah.

Walaupun kematian akibat demam denggi agak rendah, ia masih boleh membawa maut. Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri anda daripada virus tersebut. Jika anda tinggal atau pergi ke kawasan yang berisiko tinggi, pastikan anda memakai lengan panjang dan seluar untuk melindungi kulit anda daripada gigitan nyamuk11. Selain itu, gunakan ubat nyamuk dan kelambu semasa tidur11.

Jika anda mengalami gejala demam denggi, seperti demam panas, sakit kepala yang teruk, atau sakit otot dan sendi6, pastikan anda berjumpa doktor dengan segera.


Rujukan

1. Hung, T. M., Wills, B., Clapham, H. E., Yacoub, S., & Turner, H. C. (2019, September 1). The Uncertainty Surrounding the Burden of Post-acute Consequences of Dengue Infection: Trends in Parasitology. Trends in Parasitology | https://tinyurl.com/2p8mky5x | Accessed on August 26, 2022.

2. Schulte, A., Weber, I., Tiga-Loza, D. C., Amaya Larios, I. Y., Shepard, D. S., Tschampl, C. A., Undurraga, E. A., Martínez-Vega, R. A., Fischer, F., Chihu, L., & Ramos-Castañeda, J. (n.d.). Health-Related Quality of Life after Dengue Fever, Morelos, Mexico, 2016–2017 - PMC. PubMed Central (PMC) | https://tinyurl.com/463nd5vz | Accessed on August 26, 2022.  

3. Long-term persistence of clinical symptoms in dengue-infected persons and its association with immunological disorders (2010, November 26). ScienceDirect | https://tinyurl.com/yfcx29se | Accessed on August 26, 2022.

4. Dengue and Dengue Haemorrhagic Fever | U.S. Department of Health and Human Services Centers for Disease Control and Prevention.(2009) | https://tinyurl.com/mptnjuys | Accessed on August 26, 2022.  

5. Timothy J. Schaefer, Prasan K. Panda, & Robert W. Wolford. (2022). Dengue Fever. National Library of Medicine. StatPearl Publishing | https://tinyurl.com/223vjd8e | Accessed on August 26, 2022.

6. World Health Organisation. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/4vvup2j5 | Accessed on August 26, 2022.

7. MIMS. Supportive Therapy | MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/23p2arr7 | Accessed on August 26, 2022.

8. MIMS. Dengue Treatment | MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/3pavak3p | Accessed on August 26, 2022.

9. Seal, A. D., Bardis, C. N., Gavrieli, A., Grigorakis, P., Adams, J. D., Arnaoutis, G., Yannakoulia, M., & Kavouras, S. A. (2017, August 18). Coffee with high but not low caffeine content augments fluid and electrolyte excretion at rest. Frontiers in nutrition | https://tinyurl.com/55e4b846 | Accessed on September 26, 2022.

10. Polhuis, K. C. M. M., Wijnen, A. H. C., Sierksma, A., Calame, W., & Tieland, M. (2017, June 28). The diuretic action of weak and strong alcoholic beverages in elderly men: A randomized diet-controlled crossover trial. Nutrients | https://tinyurl.com/4ey47e5n | Accessed on September 26, 2022.

11. Langkah Pencegahan. iDengue. Kementerian Kesihatan Malaysia | https://tinyurl.com/3xp32mt3 | Accessed on August 26, 2022. 

C-ANPROM/MY/DENV/0083 OCT 2022


Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian:

Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.