Kawal Paras Gula Dalam darah Dengan Petua Merawat Kencing Manis Ini!

Petua Hilangkan Kencing Manis. Turunkan Gula Darah Anda - DoctorOnCall

Pernahkah anda merasakan yang anda cepat merasa lapar dan dahaga? Ataupun kerap membuang air kecil dan sering mendapat jangkitan kulit? Jika ya, anda disarankan untuk membuat pemeriksaan kesihatan kerana anda mungkin menghidap penyakit kencing manis (diabetes). Untuk pengetahuan anda, seramai 3.9 juta rakyat Malaysia mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi pada tahun 2019. Jumlah ini dijangka akan meningkat lagi menjelang tahun 2025. Sekiranya penyakit ini tidak dikawal, ia boleh mengundang beberapa komplikasi seperti penyakit jantung, masalah buah pinggang, mata, and sistem saraf. 

Oleh itu, mereka yang sihat atau telah disahkan menghidap kencing manis, haruslah mengamalkan gaya hidup sihat agar terhindar daripada komplikasi paras gula yang tinggi dalam darah. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui tips mengawal paras gula dalam darah anda.

Petua-Petua Mengawal Paras Gula Dalam Darah 

Diet makanan

Tidak boleh dinafikan bahawa diet yang seimbang dan berkhasiat boleh membantu menguatkan sistem imuniti badan dan melindungi diri daripada berbagai jenis penyakit. Bagi pesakit kencing manis, terdapat pelan pemakanan yang khusus untuk membantu mengembalikan paras gula dalam darah kembali kepada normal. Ia merangkumi : 

  • Pengurangan pengambilan karbohidrat halus, lemak, dan gula seperti roti putih, pasta, dan minuman berkarbonat. Hal ini kerana makanan ini akan diproses dengan cepat dalam badan, mengakibatkan paras gula dalam darah naik sejurus selepas makan. 

  • Penambahan makanan berserat tinggi. Contohnya sayur-sayuran, buah-buahan, oats, dan makanan bijiran penuh. Serat boleh melambatkan penyerapan glukosa ke dalam darah di samping membuatkan anda merasa kenyang dengan cepat.  

  • Pengambilan sumber protein yang kurang lemak (lean meat) seperti ikan, ayam (tanpa kulit), taufu, dan kacang soya. 

Selain itu, anda juga perlu memastikan anda tidak melebihi 4 jam tanpa makan, terutamanya jika anda mengambil insulin. Ini kerana anda boleh mengalami masalah hipoglisemia, iaitu kurang gula yang boleh memudaratkan kesihatan. Anda boleh mengelak masalah tersebut dengan menetapkan jadual makan yang selaras dengan waktu pengambilan ubat. Anda boleh mendapatkan jadual makan yang bersesuaian dengan pakar pemakanan. 

Kekal cergas dengan aktiviti fizikal

Aktiviti senaman boleh dipertimbangkan sebagai salah satu cara mencegah kencing manis. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan senaman boleh menurunkan tahap HbA1c sebanyak 0.7%. Ia juga membantu dalam mengurangkan berat badan dan kadar kolesterol yang secara tidak langsung membantu mengawal kandungan gula dengan membantu sel-sel badan meningkatkan sensitiviti insulin. Anda boleh melakukan senaman ringan seperti berjalan, ‘jogging’, berbasikal ataupun senamrobik. Rekomendasi buat masa ini adalah untuk melakukan senaman selama 150 minit dalam seminggu. Anda boleh membahagikannya kepada 30 minit sehari supaya mudah untuk anda ikuti.

Jangan Merokok

Tabiat merokok adalah salah satu faktor risiko penting untuk penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, masalah paru-paru dan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan, jelas terbukti bahawa perokok lebih cendurung (sebanyak 30-40%) kepada penyakit diabetes jenis 2 berbanding dengan individu yang tidak merokok. Tabiat ini juga menyukarkan pengawalan paras gula dalam darah serta meningkatkan risiko komplikasi penyakit kencing manis. Sekiranya anda seorang perokok, adalah terbaik untuk anda mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk berhenti merokok.

Suplemen makanan

Terdapat pelbagai jenis di pasaran yang menjamin membantu menurunkan tahap gula dalam darah, namun anda perlu berwaspada semasa memilih suplemen kerana sesetengah suplemen boleh membawa kesan sampingan apabila digunakan dalam jangka masa panjang. Suplemen makanan ini seharusnya digunakan sebagai tambahan kepada pelan pemakanan dan bukannya sebagai penggantian ubat kencing manis. Anda disarankan untuk merujuk kepada doktor untuk medapatkan nasihat mengenai suplemen yang paling sesuai untuk anda.  Antara suplemen yang boleh anda gunakan adalah : 

  • Antioxida

ALA (alpha-lipoic acid) dan GLA (gamma-lipoic acid) merupakan antioxidant semula jadi yang boleh didapatkan dalam ‘evening primrose oil’ dan ‘blackcurrant seed oil’. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan antioxida ini boleh merendahkan ‘insulin resistance’ dan seterusnya bantu mengawal kandungan gula dalam darah. 

  • Vitamin B6 dan B12 

Vitamin B6, dikenali sebagai pyridoxine dan vitamin B12 boleh membantu mencegah komplikasi penyakit kencing manis, terutamanya masalah neuropati diabetes. Hal ini demikian kerana masalah neuropati tersebut boleh dikaitkan dengan kekurangan vitamin B6 dalam badan. Vitamin ini juga boleh membaik pulih toleransi glukosa, terutamanya dalam golongan pesakit kencing manis semasa kehamilan. Oleh itu, ia boleh digunakan sebagai petua hilangkan kencing manis semasa mengandung. Vitamin B12 pula berfungsi melindungi sel saraf daripada kerosakan akibat kadar glukosa dalam darah yang tinggi. 

  • Coenzyme Q10

Coenzyme Q10 boleh mempercepatkan kadar metabolisme karbohidrat. Ujian klinikal menggunakan coenzyme Q10 menunjukkan penurunan gula dalam darah yang ketara serta membantu dalam masalah retinopati diabetes. 

  • Carnitine 

Carnitine boleh digunakan oleh individu yang mempunyai kadar kolesterol tinggi. Kegunaanya boleh membantu dalam memecahkan lemak dalam badan untuk digunakan sebagai sumber tenaga. 

  • Biotin 

Biotin berfungsi selaras dengan insulin dalam penyerapan glukosa dalam badan. Penggunaan biotin sebagai suplemen menunjukkan perubahan yang signifikan dalam penurunan paras gula dalam darah. 


Penawar Tradisional

Bagi mereka yang ingin mencuba cara tradisional untuk mengatasi penyakit kencing manis, berikut adalah beberapa cadangan untuk anda. Antaranya : 

  • Peria katak

Peria katak ibarat insulin tumbuh-tumbuhan dan ia digunakan dalam perubatan Ayurveda sebagai penawar kencing manis. Sayur pahit ini menyerupai tindakan insulin dengan memberikan kesan hipoglisemia. Namun, anda harus berhati-hati dengan pengambilan peria katak kerana ia boleh menyebabkan paras gula turun sangat rendah apabila digunakan bersama ubat moden. 

  • Lidah buaya

Kajian awal mengaitkan penggunaan lidah buaya dalam rawatan diabetes dengan penurunan kadar glukosa, terutamanya kadar glukosa darah puasa. Tambahan pula, lidah buaya juga boleh merendahkan kandungan lemak dalam badan dan ia juga merupakan satu cara tradisional untuk merawat luka kencing manis. 

  • Kayu manis 

Penggunaan kayu manis dalam makanan bermula beribu-ribu tahun lalu. Banyak kajian membuktikan penggunaan kayu manis meningkatkan sensitiviti terhadap insulin serta merendahkan kadar kolesterol dalam badan. Selain itu, kayu manis juga boleh mencegah komplikasi diabetes seperti masalah jantung dan darah tinggi. 

  • Halba 

Halba mempunyai kandungan serat larut yang tinggi. Ini boleh melambatkan penyerapan glukosa serta melambatkan pengosongan perut. Terdapat satu kajian yang membuktikan penggunaan halba 15g serbuk halba dalam makanan berjaya merendahkan kadar glukosa darah post-prandial (selepas makan) dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2. 

  • Ginseng 

Ginseng sememangnya berupaya untuk meningkatkan daya imunisasi badan serta pembekal tenaga yang baik. Ginseng Panax amat popular dalam menurunkan kadar glukosa darah, namun kajian tambahan perlu dilakukan untuk mengetahui secara konklusif. 

Selain saranan-saranan di atas, perkara penting yang anda harus lakukan sekiranya mengesyaki atau menghidap kencing manis adalah bertemu dengan doktor perubatan anda. Pastikan anda mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat serta merujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang suplemen atau produk lain di luar sana. Patuhi nasihat doktor dan ambil ubat anda seperti yang disarankan. Jangan lupa periksa paras gula dalam darah serta jalani pemeriksaan kesihatan lain seperti paras kolesterol dan juga tekanan darah tinggi.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall