Kenali Alternatif Gula Yang Sesuai Diambil Oleh Pesakit Kencing Manis

Gula Untuk Kencing Manis Bagi Mengawal Gula Dalam Darah - DoctorOnCall

Gula terhasil daripada pengekstrakan jus pada tebu atau bit gula (Beta Vulgaris) yang akhirnya dikeringkan menjadi kristal atau gula putih. Secara amnya, gula atau nama kimianya sukrosa, diperbuat daripada tumbuhan semulajadi. Persoalannya, bagaimanakah bahan semula jadi ini menjadi punca kepada 1 daripada 5 masyarakat dewasa di Malaysia menghidap penyakit kronik kencing manis. 

Gula Putih dan Diabetes

Sukrosa hanya akan dihadam dalam usus kecil dengan enzim sukrase. Sukrase memecahkan sukrosa kepada glukosa serta fruktosa. Glukosa diambil dan digunakan oleh sel dalam badan manusia sebagai sumber tenaga. Masalah timbul apabila kadar glukosa yang terlalu tinggi dalam darah dan memaksa pankreas untuk menghasilkan insulin. 

Bagi individu yang sihat, insulin akan menyebabkan peningkatan kadar penggunaan glukosa dalam sel badan atau penyimpanannya dalam bentuk glikogen. Tetapi, bagi pesakit kencing manis, insulin yang dihasilkan mungkin tidak mencukupi atau sel pada tubuh mereka sudah lali akan kadar insulin yang terlalu tinggi menyebabkan respon yang sepatutnya tidak berlaku. Akhirnya kadar insulin dalam darah menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan komplikasi penyakit diabetes seperti tahap imun badan rendah, kerosakan ginjal, kerosakan mata serta masalah saraf. 

Masalah Pengambilan Gula Putih

Sebelum wujudnya proses industri penghasilan gula, manusia purba mendapatkan rasa manis melalui buah serta sayuran. Kencing manis pada masa tersebut bukanlah suatu isu kerana tiada teknologi perubatan moden serta kandungan gula pada buah adalah sedikit dan diimbangi oleh nutrien berkhasiat yang lain. Terdapat beberapa masalah utama mengenai cara kita mengambil gula putih dalam kehidupan seharian yang secara langsung memberi kesan buruk kepada kesihatan.

  • Kandungan kalori tersembunyi

Kalori adalah sumber tenaga yang didapati pada makanan untuk menjalani aktiviti harian. 1 sudu teh gula mempunyai 20 kalori tenaga. Ia bersamaan dengan setengah batang timun. Berdasarkan maklumat ini, jika dibandingkan tahap kekenyangan daripada dua makanan tersebut, setengah batang timun lebih memuaskan dan memberi kuantiti tenaga yang sama seperti satu sudu teh gula. Inilah antara kesulitan utama gula putih, ia tidak mengenyangkan dan mengandungi kalori tersembunyi. Apabila kalori ini berlebihan, ia akan disimpan menjadi lemak, menyebabkan kegemukan dan meningkatkan lagi risiko diabetes.

  • Ketagihan pengambilan gula

Manusia adalah antara evolusi kehidupan di bumi yang mempunyai deria rasa manis pada lidah. Kajian menunjukkan deria manis pada lidah bersambung dan dapat mengaktifkan pusat ganjaran pada otak setiap kali mengambil sukrosa. Menyebabkan individu yang mengambilnya terasa gembira dan puas. Walaupun begitu, perkara ini tidak berlaku sekelip mata, saintis mendapati ketagihan hanya berlaku dalam sesetengah individu serta apabila kuantiti gula serta sukrosa tambahan diambil secara berlebihan. 

  • Kadar Glycaemic Index (GI) yang tinggi

Glycaemic index adalah kadar peningkatan gula dalam darah setelah 2 jam mengambil makanan tersebut dibandingkan dengan glukosa tulen. Bererti, pengambilan glukosa tulen akan mempunyai GI 100, iaitu tahap tertinggi. Ia boleh dibahagikan kepada tiga tahap:

  • GI rendah 55 dan ke bawah

  • GI sederhana antara 56-69

  • GI tinggi iaitu 70 dan ke atas

Gula putih di pasaran mempunyai kadar GI yang agak tinggi iaitu antara 58-84. Ini bermaksud, bagi setiap pengambilan gula putih, kadar gula dalam darah boleh meningkat setinggi 84, bergantung kepada kuantiti yang diambil. 


Gula Alternatif


Berikutan masalah serta kesan gula putih yang boleh menyebabkan diabetes, pakar kesihatan mendapati beberapa jenis pengganti kepada gula putih. Pengganti gula putih ini mestilah mempunyai kadar GI dan kalori rendah di samping memberikan rasa manis pada makanan. Ia boleh diklasifikasi berdasarkan sumbernya seperti sumber semula jadi, buatan manusia atau sugar alcohol


  • Gula Alternatif Semula Jadi

Bersandarkan nama kategorinya, substitut gula semula jadi berasal daripada tumbuh-tumbuhan. Antara produk gula alternatif semula jadi yang terkenal di pasaran adalah:

        1. Stevia

Produk ini berasal daripada daun tumbuhan Stevia rebaudiana yang dijumpai secara asli di Amerika Selatan. Ia kini diladangkan oleh negara Jepun dan Cina. Kebaikan produk ini adalah rasanya yang seakan gula putih dan tiada kesan sampingan negatif. Selain itu, ia juga mempunyai kadar GI dan kalori sifar. Walaubagaimanapun, harganya yang mahal mungkin tidak sesuai bagi golongan yang kurang berkemampuan dan rasa kesan pahit setelah pengambilannya. 


        2. Monkfruit (Loh Han Guo)

Monkfruit atau Loh Han Guo merupakan buah labu hijau kecil yang tumbuh di Asia Tenggara. Sama seperti Stevia, manisnya menyerupai gula, tiada kesan sampingan negatif, kadar kalori dan GI sifar. Namun begitu, masalah gula alternatif dari buah ini adalah ia sukar untuk ditanam, mahal dan meninggalkan rasa kesan yang tidak menyenangkan bagi beberapa individu.


        3. Alulosa (Allulose)

Substitut gula ini dijumpai dalam gandum, kismis, dan buah ara. Kebanyakannya berasal daripada Timur Tengah. Ia mempunyai profil rasa yang sama seperti gula putih dan kadar GI sifar. Kandungan kalorinya juga hanya 0.4 kalori bagi setiap 100gram hidangan. Tetapi, cabaran besar bagi produk ini adalah ia merupakan bahan gula atlernatif semula jadi termahal dan sesetengah negara Eropah belum membenarkan penjualannya secara umum. Biarpun, setakat ini tiada kesan sampingan buruk daripada penggunaannya. 


  • Gula Buatan Manusia


Kesemua gula dalam kumpulan ini dihasilkan melalui reaksi kimia. Contoh gula tersebut adalah:


        1. Sakarin

Produk ini adalah substitut gula buatan tertua di dunia yang dijumpai pada tahun 1879. Ia merupakan bahan hasilan daripada arang tar secara tidak sengaja. Kebaikan sakarin adalah ia mempunyai GI dan kadar kalori sifar. Bahan ini juga selamat digunakan dalam diet setelah kajian menunjukkan bahawa ia tidak mengakibatkan kanser pada manusia, hanya pada tikus makmal. Malangnya, bahan ini mempunyai kemanisan 300 hingga 500 kali ganda lebih daripada gula putih. Ini menyebabkan rasa manis yang terlalu kuat dan kesan rasa kimia. 


        2. Aspartame

Aspartame dijumpai secara tidak sengaja di dalam makmal. Ia mempunyai nilai GI dan kalori sifar. Produk ini juga sudah lama dijual di pasaran Amerika Syarikat sejak tahun 1980 dan menunjukkan tiada kesan buruk. Namun begitu, Aspartame tidak sesuai bagi individu yang mempunyai penyakit genetik seperti Phenylketonuria. Ia juga tidak sesuai digunakan dalam pembuatan pastri kerana mudah terlerai dan mengganggu tekstur makanan. 


        3. Sukralosa

Sukralosa seperti gula buatan manusia yang lain juga mempunyai sifar kalori dan nilai GI. Ia selamat digunakan tanpa bahaya kesihatan. Ia juga stabil digunakan untuk membakar biarpun meninggalkan rasa kimia sebagai kesan rasa akhir. Tahap kemanisannya juga agak tinggi iaitu sebanyak 600 kali ganda daripada gula putih. Tetapi seperti aspartame, ia tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai penyakit genetik luar biasa. 


  • Sugar Alcohol

Nama produk ini mungkin memberi reaksi negatif terutama sekali bagi pengguna muslim kerana perkataan alkohol. Biarpun begitu, ia adalah sejenis gula semula jadi yang melalui proses penapaian menggunakan enzim. Bahan ini tidak memabukkan dan mendapat pengesahan HALAL sepertimana yang sering digunakan dalam gula-gula getah.


Seterusnya, sugar alcohol juga selamat digunakan bagi populasi umum. Hanya beberapa jenis produk ini yang mungkin memberi kesan sampingan cirit, ketidak cernaan atau kembung perut. Rasanya juga amat serupa seperti gula putih biasa. Secara amnya ada beberapa jenis sugar alcohol yang mempunyai kalori serta rasa berbeza: 


  1. Xylitol

  2. Maltitol

  3. Erythritol

  4. Sorbitol

  5. Isomalt

  6. Mannitol


Umumnya, produk sebegini agak sukar untuk didapati di pasar raya kerana kurang pendedahan masyarakat. Harganya yang mahal juga membuatkan permintaan produk ini rendah berbanding gula putih. 


Kesimpulan

Tuntasnya, terdapat pelbagai substitut gula putih yang selamat digunakan bagi mengawal kadar gula dalam darah. Setiap produk ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri jika dibandingkan dengan gula putih. Jika anda merasakan gula alternatif terlalu mahal dan tidak sesuai dengan gaya hidup anda, ia bukanlah suatu masalah besar. Hal ini kerana, untuk mengawal tahap gula seharian, anda hanya perlu ikuti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu tidak melebihi 10 sudu teh atau 50 gram gula sehari. Gula bukanlah suatu bahan berbahaya jika diambil secara betul dan seimbang.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall