Makanan Untuk Pesakit Kencing Manis. Apa Yang Boleh & Apa Yang Tidak?

4 Jenis Makanan Untuk Pesakit Kencing Manis (Diabetes) - DoctorOnCall

Menyediakan hidangan yang sesuai untuk pesakit kencing manis mungkin adalah suatu misi yang sukar. Yang penting sekali adalah mengawal kadar gula darah dalam tahap yang ditetapkan. Makanan yang sesuai seperti makanan rendah kalori dan tinggi serat dapat menurunkan risiko komplikasi kencing manis seperti penyakit jantung, serta penyakit buah pinggang.

Apakah Nutrisi Dan Makanan Yang Sesuai Untuk Pesakit Diabetes?

Karbohidrat

Karbohidrat adalah sumber tenaga utama dan dapat diperoleh dengan mudah kerana umumnya terdapat dalam makanan yang mengandungi kanji dan gula. Namun, kebanyakan karbohidrat dapat mempengaruhi paras gula darah, makan mengikut jumlah karbohidrat dan jenis karbohidrat yang betul adalah amat penting.

Pengambilan tahap karbohidrat untuk pesakit kencing manis adalah antara 45 sehingga 65 peratus daripada jumlah pengambilan kalori dalam sehari. Pesakit kencing manis digalakkan untuk mengambil makanan karbohidrat sekurang-kurangnya 130 gram sehari.

Berikut adalah saranan pengambilan karbohidrat bagi mereka yang menghidap kencing manis.

Contoh makanan tidak boleh dimakan oleh pesakit kencing manis:

  • Semua jenis gula, iaitu gula perang, gula putih, gula Melaka, gula batu dan madu

  • Minuman manis seperti minuman karbonat, bergas, sirap dan susu pekat manis

  • Sapuan seperti pelbagai jem dan kaya

  • Gula-gula, kuih manis,coklat dan kek

  • Ais krim, yogurt berperisa dan manis, lassi manis

  • Pencuci mulut seperti buah dalam tin yang direndam dalam sirap, agar-agar

Contoh makanan karbohidrat kompleks boleh diambil secara terkawal:

1. Bijirin dan hasil bijirin:

  • Nasi putih atau perang, bubur

  • Roti, biskut, kuih kurang manis, oat

  • Pasta, makaroni, spageti

  • Mi, bihun, kuey teow, laksa

  • Capati, roti canai, dosa, idli

  • Tepung atta, beras, gandum

2. Sayur-sayuran berkanji:

  • Lobak, ubi kentang, ubi keladi, sukun, jagung dan labu merah

  • Putar dan sengkuang cina

3. Kekacang:

  • Kacang hijau, merah atau hitam

  • Kacang pis, kacang kuda, kacang dhal kuning dan kacang buah pinggang

  • Papadom

4. Susu dan produk susu:

  • Susu segar, UHT, susu rendah lemak

  • Susu tepung skim, susu tepung penuh krim, susu tepung rendah lemak

  • Susu cair tanpa gula

  • Yogurt asli atau rendah lemak

5. Buah-buahan (buah-buahan mengandung fruktosa, pesakit kencing manis hanya boleh makan dalam kuantiti yang sikit sahaja):

  • Epal, buah pir, oren, belimbing

  • Ciku, kiwi, limau, betik, nanas, tembikai, tembikai susu

  • Jambu batu, mangga, pisang

  • Langsat, longan, rambutan, laici, prun, kimis, kurma, manggis

  • Nangka, cempedak, durian

Contoh makanan yang boleh dimakan tanpa had

  • Sayuran berdaun hijau, contohnya bayam, sawi, kailan, kangkung, kacang panjang, tomato, timun, parsli dan lain-lain.

  • minuman yang sesuai untuk pesakit kencing manis adalah minuman tanpa gula seperti teh cina, air mineral, barli kosong, kopi O dan teh O.

  • Rempah ratus dan herba, contohnya serbuk cili, serbuk kari, kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia, serai, jintan, lada hitam, asam jawa dan chia seed.

Lemak

Pengambilan lemak sebanyak 20 hingga 25 peratus daripada keseluruhan jumlah kalori dalam kandungan makanan adalah optimum. Sekitarnya, menikmati makanan seperti biasa dapat memperoleh lemak seharian yang tercukupi. Lemak berlebihan akan menyebabkan peningkatan kalori serta berat badan dan berisiko tinggi mengalami penyakit jantung, darah tinggi.

Pengambilan lemak yang perlu dikawal terutamanya lemak tepu seperti minyak sapi, santan, krim, minyak kelapa, margarin dan mayones.

Protein

Pengambilan sumber protein bermanfaat untuk kesihatan sel-sel serta tubuh. Sebolehnya, makanan seharian perlulah mengandungi sebanyak 10 hingga 20 peratus protein daripada keseluruhan jumlah kalori.

Makan makanan protein secara sederhana 2-3 hidangan setiap hari. Selain itu, makan makanan protein yang kurang lemak seperti ikan, udang, sotong, ayam tanpa kulit, daging kurang lemak, kacang soya, taufu, dan tempe dan produk susu rendah lemak.

Serat

Serat amat penting sebab ia membantu melambatkan penyerapan glukosa ke dalam salur darah. Serat juga memperlambat pengosongan perut supaya anda merasa kenyang dengan lebih lama dan mencegah sembelit.

Pengambilan sebanyak 20 hingga 35 gram serat setiap hari daripada pelbagai sumber makanan amat disarankan. Ada dua jenis serat iaitu :

  • Serat larut air seperti oat, kekacang, sayur–sayuran dan buah-buahan.

  • Serat tidak larut air seperti produk bijirin penuh, beras perang dan biskut mil penuh.

Produk Diabetik

Contoh produk diabetik adalah jem diabetik dan coklat diabetik. Namun begitu, produk ini masih mengandung karbohidrat. Selain itu, pemanis tiruan dapat memberi rasa manis bagi menggantikan gula.

Pemanis tiruan mendakwa tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah dan tidak mengandungi kalori. Namun begitu, sila rujuk kepada pakar diet dan pakar pemakanan sebelum pengambilan produk-produk ini.

Saranan Cara Pemakanan Untuk Pesakit Kencing Manis

Jadual waktu makanan yang tetap amat disarankan seperti mengambil 3 hidangan utama, sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Mengikut jadual makanan yang tetap dapat membantu pesakit kencing manis untuk mengawalkan tahap gula dalam darah dengan lebih cekap.

Sekiranya lapar sebelum atau selepas waktu makan, pengambilan makanan pada waktu minum pagi, minum petang dan minum malam adalah dibenarkan, tetapi hanya makanan dalam kuantiti yang sedikit serta tanpa gula.

Selain itu, mengikut jadual pemakanan pesakit kencing manis yang tetap juga dapat membantu pesakit kencing manis mengingati jadual serta masa pengambilan ubat kencing manis. Ini akan mengelakkan terjadinya hypoglycemia atau kurang gula dalam darah.

Hypoglycemia adalah suatu kecemasan yang biasa dialami oleh pesakit kencing manis. Antara gejala yang boleh berlaku adalah gemetar, berdebar-debar, berpeluh, degupan jantung yang laju, penglihatan kabur dan loya.

Sekiranya mengalami gejala-gejala ini, pesakit kencing manis boleh cuba makan gula-gula 3 biji atau bancuh satu sudu besar gula pasir di dalam cawan dengan 250 cc air dan minum. Tunggu selama 15 minit. Jika tiada alat pemeriksaan gula dan gejala masih belum sembuh, ulangkan langkah di atas.

Sekiranya gula dalam darah telah kembali ke tahap optimal serta tanpa gejala, ambil makanan karbohidrat secepat mungkin untuk mengelakkan tahap gula rendah berlaku lagi.

Cadangan waktu makan adalah:

  • Sarapan pagi pada 6 hingga 8 pagi

  • Makan tengah hari pada 12 hingga 2 petang

  • Makan malam pada 6 hingga 8 malam

  • Minum malam pada 9 hingga 10 malam

Bagi setiap waktu makan, pesakit kencing manis boleh mengambil hidangan mengikut saranan pinggan sihat Malaysia. Menyediakan makanan seperti yang diterangkan dalam pinggan sihat Malaysia dapat mengandungi nutrisi yang seimbang dan sesuai untuk pesakit kencing manis serta sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan pemakanan seimbang.

Anda juga boleh merujukkan kepada pakar diet dan pakar pemakanan untuk rancangan hidangan yang terbaik untuk anda. Anda juga boleh mencari resepi untuk pesakit kencing manis, contoh menu makanan untuk diabetes untuk mencari idea bagi mempelbagaikan menu dalam pemakanan harian anda.

Walau bagaimanapun, tidak semestinya cara hidangan yang dicadangkan ini terbaik atau perlu diikuti. Anda juga boleh mengubahkan resepi dan cara penyediaan mengikut citarasa anda. Yang paling penting sekali, pastikan anda mengawal segala penggunaan bahan-bahan sampingan lain seperti gula, minyak dan garam.

Selain pemakanan, senaman juga amat penting untuk pesakit kencing manis. Bersenam selama 150 minit seminggu ataupun 3 hingga 5 hari seminggu, mampu membantu insulin lebih berkesan dalam membekalkan tenaga kepada tubuh badan. Contoh senaman ialah berjalan laju, jogging, berbasikal, dan berenang mengikut kesesuaian.

Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat dengan patuh seperti yang diarahkan. Jangan mengambil sebarang produk atau suplemen tanpa nasihat doktor atau tidak mengambil ubat apabila anda merasakan diri anda sihat.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall