Bagaimana Merawat Luka Kencing Manis Yang Sukar Sembuh?

Luka Kencing Manis - Ketahui Cara-Cara Merawatnya - DoctorOnCall

Sudah terang lagi bersuluh, bilangan pesakit kencing manis semakin hari semakin meningkat. Keadaan ini sememangnya membimbangkan kerana penyakit kencing manis boleh menyingkatkan jangka hayat seorang individu sekitar 10 tahun. Kebiasaannya, penyakit kencing manis dapat dikesan apabila berlakunya komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, masalah mata (retinopati) dan masalah saraf (neuropati). Satu lagi komplikasi penyakit kencing manis yang sering berlaku adalah ulser kaki yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan apabila tidak dirawat sepenuhnya, ia akan bertukar menjadi hitam (nekrosis) dan akhirnya bahagian tersebut perlu diamputasi. Baca artikel ini secara lanjut untuk mengetahui tanda-tanda awal komplikasi ulser kaki yang disebabkan oleh penyakit kencing manis dan ubat yang boleh digunakan untuk merawatnya. 

Sebelum kita membincangkan tentang ulser kaki, adakah anda tahu mengenai gejala-gejala penyakit ini?

Gejala-gejala yang boleh dikaitkan dengan penyakit kencing manis adalah : 

  • Cepat berasa lapar 

  • Sering berasa dahaga 

  • Kerap membuang air kecil 

  • Pengurangan berat badan walaupun anda makan seperti biasa 

  • Keletihan 

  • Kekerapan mendapat jangkitan kulit seperti abses kulit 

Jika anda mengalami gejala seperti di atas, sebaiknya anda merujuk kepada doktor untuk memeriksa tahap gula dalam darah anda. 

Apakah Tanda-Tanda Luka Kencing Manis? 

Luka kencing manis ataupun ulser biasanya berlaku pada bahagian tapak kaki disebabkan oleh paras gula dalam darah yang tidak terkawal bersama dengan masalah saluran darah dan masalah saraf. Pesakit diabetes yang mempunyai masalah neuropati biasanya akan kehilangan atau kekurangan deria rasa pada bahagian kaki. Oleh itu, jika terdapat luka pada bahagian tapak kaki, kebanyakkan daripada mereka tidak perasan. Tambahan lagi, pesakit diabetes mempunyai daya tahan imun yang rendah yang menyukarkan penyembuhan luka. 

Tanda-tanda luka kencing manis adalah seperti berikut : 

  • Rasa kebas atau kehilangan deria rasa pada kaki 

  • Kebengkakan pada kaki 

  • Perubahan warna kulit seperti kemerahan atau kegelapan warna kulit

  • Bahagian kaki yang terasa hangat 

  • Keluaran nanah yang dilihat pada stoking atau kasut 

  • Sakit pada bahagian kaki 

  • Demam dan menggigil - Ia berlaku pada peringkat lanjut yang memberikan indikasi bahawa jangkitan telah merebak

Anda pasti tertanya-tanya tentang siapa yang berrisiko untuk menghadapi masalah ini. 

Luka kencing manis ini kerap berlaku kepada mereka yang mempunyai 

  • Penyakit kencing manis yang tidak terkawal

  • Masalah neuropati

  • Berat badan yang berlebihan

  • Pemakaian kasut yang tidak sesuai 

  • Berjalan tanpa memakai kasut 

  • Merokok 

  • Kadar kolesterol yang tinggi 

Rawatan Untuk Luka Kencing Manis

Jika anda mempunyai luka kencing manis, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah merujuk kepada doktor. Doktor akan menilai luka anda dan memberikan rawatan yang sesuai untuk menyembuhkan luka tersebut. 

Terdapat banyak rawatan untuk luka kencing manis yang disediakan di klinik atau hospital. Antaranya : 

1. Ubat antibiotik sistemik

Kebanyakan pesakit yang mempunyai ulser kaki perlu diberikan ubat antibiotik sistemik sama ada ubat makan ataupun melalui aliran darah (intravena). Namun, ia bergantung kepada beberapa faktor risiko seperti tahap keseriusan jangkitan, ataupun jika pesakit telah mengambil antibiotik lain dan juga jika luka dijangkiti oleh organisma yang rintang kepada antibiotik biasa seperti jangkitan MRSA. Antibiotik yang selalu digunakan untuk merawat luka ini termasuklah amoxicillin, dicloxacillin, cephalexin, clindamycin, ciprofloxacin, piperacillin/tazobactam, imipenem. Jika jangkitan MRSA disyaki, doktor akan memberikan antibiotik vancomycin, trimethoprim-sulfamethoxazole ataupun linezolid. 

2. Ubat analgesik 

Ubat analgesik adalah ubat tahan sakit yang diberikan jika pesakit mempunyai kesakitan pada bahagian luka. Jika kesakitan adalah ringan, maka ubat paracetamol atau NSAIDs seperti ibuprofen, diclofenac, atau aspirin sesuai diberikan. Ubatan seperti tramadol, dihydrocodeine atau morphine boleh diberikan jika kesakitan adalah terlampau teruk dan tidak dapat dikawal dengan paracetamol ataupun NSAIDs. 

3. Ubat topikal

Ubat topikal ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu 

  • Ubat antiseptik. 

Ubat ini adalah sejenis ubat pembasmi kuman yang disapukan pada bahagian luka untuk mencegah dan merawat jangkitan kuman. Ubat antiseptik yang biasa digunakan adalah iodine. Ubat ini boleh digunakan di rumah sebagai ubat cuci luka kencing manis apabila anda menukar persalinan luka. 

  • Ubat antibiotik topikal. 

Kajian menunjukkan bahawa penggunaan ubat antibiotik topikal pada luka boleh mempercepatkan kadar penyembuhan luka. Ubat antibiotik topikal seperti gentamicin, bacitracin C, mupirocin dan silver sulphadiazine boleh membantu dalam mengawal jangkitan kuman daripada merebak. 

Selain ubat-ubatan, pengurusan luka kencing manis adalah sangat penting untuk membantu penyembuhan luka. Antara kaedah-kaedah pengurusan luka kencing manis ialah : 

1. Pembalut dan persalinan luka

Kaedah ini penting untuk memastikan bahagian luka kekal bersih dan kering di samping dapat membuang tisu-tisu mati supaya proses penyembuhan dapat berjalan dengan lancar. Persalinan luka asas yang dilakukan terdiri daripada pembersihan bahagian luka dan membalutnya menggunakan gauze. Selain itu, pembalut luka hydrogel, hydrocolloid, foam dan alginate juga boleh digunakan untuk mempercepatkan penyembuhan luka. 

2. Terapi adjuvan (rawatan pembantu)

Tujuan utama terapi adjuvan digunakan adalah untuk menggalakkan penyembuhan luka. Antara contoh terapi adjuvan adalah: 

  • Rawatan tekanan negatif (negative pressure wound therapy)

Kaedah rawatan ini menggunakan vakum sebagai pembalut luka dan digunakan untuk luka bernanah yang sukar disembuhkan.  

  • Rawatan terapi ulat (maggot debridement therapy)

Rawatan ini dikatakan menunjukkan kadar penutupan lubang yang cepat dan memendekkan masa penyembuhan luka berbanding dengan rawatan konvensional.

  • Terapi hiperbarik oksigen (Hyperbaric oxygen therapy)

Terapi ini meningkatkan pengoksigenan dan kesan antimikrobial yang boleh membantu penyembuhan luka kencing manis kronik. 

3. Pembedahan 

Pembedahan untuk ulser kaki merangkumi debridement dan rekonstruksi. Debridement bermakna tisu-tisu yang sudah mengalami nekrosis (mati) dibuang untuk menggalakkan penumbuhan tisu-tisu granulasi yang baru. Ini boleh dilakukan melalui kaedah mekanikal dan autolitik. Manakala rekonstruksi dilakukan melalui graf kulit atau flap untuk membantu penyembuhan luka. 

Cara-Cara Untuk Mengelakkan Luka Kencing Manis

Sememangnya pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati masalah luka kencing manis. Anda perlu mengambil langkah-langkah berikut untuk memastikan anda tidak mengalami masalah ini. 

  1. Menghadiri temujanji bersama doktor untuk melakukan pemeriksaan kaki. 

  2. Memeriksa kaki untuk melihat sama ada kebengkakan, luka ataupun kemerahan 

  3. Selalu memakai kasut yang muat dan sesuai dengan stoking tebal ataupun kasut yang khusus untuk pesakit diabetes. 

  4. Bersihkan kaki dengan kerap dan memakai losyen supaya kulit tidak kering. 

  5. Pastikan kuku sentiasa pendek. 

  6. Pastikan penyakit kencing manis dikawal dengan mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor and mematuhi temujanji doktor. 

  7. Berhenti merokok jika anda ialah seorang perokok. 

Secara tuntasnya, jika anda mempunyai risiko untuk menghidapi penyakit kencing ataupun jika anda mempunyai masalah kencing manis, rujuklah kepada doktor untuk memastikan tahap gula anda sentiasa berada dalam lingkungan normal. Jika penyakit kencing manis dapat dikawal pada awalnya, maka risiko untuk komplikasi akan menurun dan anda boleh hidup bahagia tanpa merisaukan kesihatan anda.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall