Tanda Dan Faktor Masalah Kesihatan Mental Yang Anda Perlu Tahu!

Kesihatan Mental: Apakah Punca Kes Ini Semakin Meningkat? - DoctorOnCall

Beberapa tahun belakangan ini, kita sering disajikan dengan berita kematian akibat bunuh diri daripada setiap lapisan masyarakat dan yang lebih menarik perhatian apabila ia dilakukan oleh artis-artis terkenal antarabangsa seperti Korea Selatan, Jepun, Amerika bahkan dia Thailand.

Disebalik senyuman, dendangan lagu serta lakonan dalam menghiburkan peminat, mereka bergelut dengan masalah tertekan sehingga meragut nyawa mereka sendiri. Perkara ini adalah sesuatu yang merisaukan kerana golongan selebriti ini merupakan figura awam dan perbuatan mereka kadangkala menjadi contoh kepada orang awam. 

Jadi, apakah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan penyakit mental ini berlaku dalam kalangan masyarakit Malaysia? Bacalah artikel ini untuk mengetahui tentang teori kesihatan mental, punca kesihatan mental kesihatan mental dan emosi dan kepentingan kesihatan mental dengan lebih lanjut.

Pengenalan: Apakah Kesihatan Mental?

​Kesihatan mencakupi pelbagai sudut dan setiap orang disarankan untuk mencapai kesihatan holistik. Kesihatan holistik bukan sahaja dinilai secara fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental. 

Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ”Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit”.

Bagi kesihatan mental pula, tiada definisi tetap bagi menerangkan kondisi ini namun memetik Dasar Kesihatan Mental Kebangsaan Malaysia, “Kemampuan seseorang individu, kumpulan dan persekitaran untuk berinteraksi dengan individu lain, dengan menggunakan cara pemikiran, perasaan dan keupayaan berkomunikasi bagi mencapai kesejahteraan hidup yang saksama.

Tambahan pula, tiada kriteria tetap dalam mengukur kesihatan mental yang baik ataupun tidak kerana pelbagai faktor dan ciri perlu untuk dipertimbangkan. Misalnya faktor sosial, fizikal, persekitaran dan biologikal. 

Penyakit Yang Berkaitan Dengan Masalah Mental

1. Keresahan (Generalised Anxiety Disorder)

Seseorang yang mengalami masalah ini sering merasa risau akan pelbagai masalah dan hal ini akan mengundang keresahan. Antara simptom lain yang akan dirasai oleh pesakit adalah seperti masalah tidur terganggu, otot tegang, senang marah dan juga lemah badan.

2. Masalah Emosi

Seseorang yang mengalami masalah mood boleh berada pada keadaan sedih mahupun mania. Mania merujuk kepada keadaan seseorang apabila seseorang sangat bertenaga dan gembira. Selain daripada mania, masalah mood sedih juga boleh dialami dan ia merupakan simptom yang amat lazim berlaku dan menyumbang kepada masalah depresi.

  • Penyakit Bipolar

Sakit ini merujuk kepada seseorang yang ada simptom mania dan juga sedih. Pesakit yang mengalami masalah ini sering mengalami mood yang berubah-ubah. Ketika mereka berada pada keadaan mania, mereka amat bertenaga, bercakap dengan laju dan petah, boros dan menpunyai banyak idea untuk diluahkan.

  • Masalah tertekan ataupun Kemurungan

Dalam terma perubatan, masalah ini dikenali sebagai Major Depressive Disorder (MDD). Sakit ini saban hari meningkat dalam kalangan komuniti. 

Setiap orang pastinya pernah mengalami masalah tertekan dalam hidup mereka namun bagi pesakit MDD, keadaan tertekan atau murung ini berlarutan lebih 2 minggu dan tidak boleh untuk melakukan rutin harian dengan baik.

3. Penyakit Skizofrenia

Masalah ini merupakan satu spektrum yang amat luas iaitu pesakit boleh mengalami halusinasi, berilusi dan juga merasakan sesuatu yang tidak wujud

Ia boleh untuk dikelaskan kepada simptom positif seperti delusi dan halusinasi. Bagi simptom negatif pula, ia termasuklah kurang motivasi dan mood yang tidak bersesuaian dengan persekitaran.

Apakah Tanda-Tanda Kesihatan Mental?

  1. Mengalami gangguan tidur seperti insomnia, atau tidur lebih kerap dan lama dari kebiasaan.

  2. Menyendiri dan tidak bersosial seperti biasa dengan orang disekeliling

  3. Sering tidak bertenaga dan kelihatan lemah

  4. Kelihatan seperti tiada harapan dan hilang arah tuju

  5. Sering marah, pelupa, sedih dan senang untuk berasa jengkel dengan tindak tanduk orang sekeliling.

  6. Mengalami ‘mood swing’ terutamanya ketika berhubung dengan pasangan.

  7. Terfikir untuk mencederkan diri sendiri

  8. Terdengar suara dan percaya kepada sesuatu yang tidak benar.

  9. Tidak berupaya untuk mengendalikan rutin harian seperti kerja atau sekolah

Apakah Faktor Yang Menyumbang Masalah Mental?

Perlu diketahui bahawa kesihatan mental merupakan suatu spektrum kondisi yang pada awalnya bermula dengan hanya rasa tidak selesa dengan persekitaran sekeliling, diri sendiri dan orang lain dalam memenuhi cabaran hidup sehinggalah kepada situasi yang mengganggu kehidupan seharian yang mana memerlukan rawatan. 

Oleh hal yang demikian, penting untuk mengetahui akan faktor yang menyumbang kepada masalah ini agar intervensi awal dapat dilakukan.

Faktor ini pula dikelaskan kepada dua yang yang diubah yang tidak boleh diubah. Faktor yang boleh diubah ada seperti berikut:

  • Faktor Persekitaran

Faktor ini mengambil kira keadaan sekeliling seseorang seperti kawasan, tempat kerja dan rakan-rakan. Perhubungan dengan orang sekeliling seperti kawan-kawan menjadi faktor kepada masalah mental seperti pergaduhan, cemburu atau ditipu oleh rakan sendiri. 

Hal ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutamanya jika wujud situasi seperti tekanan daripada rakan sebaya. 

Statistik kesihatan mental di malaysia 2019 menunjukkan bahawa kawasan persekitaran tempat tinggal pula, masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan masyarakat bandar (12.6%) berbanding luar bandar (8.5 %).

  • Faktor Pekerjaan

Am mengetahui tentang tekanan ketika bekerja tatkala perlu untuk melakukan tugasan dalam masa yang diberikan, memenuhi target bulanan serta tahunan dan bagi yang tidak bernasib baik mungkin perlu untuk berurusan dengan majikan yang garang. 

Perkara ini kerap menyumbang kepada masalah depresi terutamanya bagi pekerjaan yang memerlukan komitmen, masa, dan tenaga yang tinggi

  • Faktor Keluarga

Didapati bahawa seseorang yang memiliki masalah keluarga yakni ibu bapa sering bergaduh di rumah mahupun keluarga yang mengalami masalah penceraian sering mengalami masalah tertekan. 

Berdasarkan kajian daripada portal kesihatan MyHealth sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar masalah mental adalah paling tinggi dalam kalangan mereka yang bercerai (13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%), balu (12.2%), dan mereka yang berkahwin (10.5%). 

  • Faktor Pendidikan

Tahap pendidikan seseorang juga menyumbang kepada masalah mental. masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan atau berpendidikan rendah (15-16%).

Bagi faktor yang tidak boleh diubah pula, ia merangkumi jantina, umur dan etnik seseorang. Berdasarkan kajian lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%). Bagi faktor biologi, ia termasuk sejarah keluarga yang pernah mengalami masalah mental seperti skizofrenia ataupun depresi.

Akhir Kata

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mendepani masalah ini tatkala berita tentang kematian bunuh diri semakin meningkat dan rata-ratanya berlaku dalam kalangan belia pelapis masa depan negara.

Fenomena ini mengejutkan ramai pihak terutamanya sektor perubatan kerana rawatan dan intervensi psikologi akan banyak diperlukan bagi merawat serta mencegah masalah ini daripada terus berlaku. Beban berkenaan kesihatan mental semakin meningkat dan cabaran dalam mendepani masalah ini semakin tinggi. 

Oleh itu, kesedaran awam berkenaan isu ini perlu disampaikan. Komuniti perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan organisasi bukan kerajaan untuk membina sistem sokongan dan rangkaian bantuan yang efektif. 

Dengan kesedaran awam yang tinggi, akses kepada perkhidmatan yang memadai, dan sistem sokongan yang berkesan, kita dapat membantu mengurangkan angka bunuh diri dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di Malaysia.

 

Ditulis oleh Fready Luke, MBBS (Unimas) on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall