9 Perubahan Warna Dan Struktur Kuku Yang Perlu Anda Ketahui

Jangan Abaikan 9 Perubahan Warna & Struktur Kuku Ini - DoctorOnCall


Kenali Kuku Anda

Kuku merupakan salah satu organ yang terdapat pada tubuh badan manusia. Ia berfungsi sebagai pelindung dan penyokong pada jari tangan dan kaki. Kuku terhasil daripada protein yang dipanggil keratin. Selain kuku, keratin juga ada pada kulit dan rambut. 

Kuku terdiri daripada beberapa bahagian:

1. Batang kuku (nail plate) - bahagian kuku yang keras yang mengandungi sejenis protein dipanggil keratin.

2. Lunula - bahagian pangkal kuku yang berwarna putih dan melengkung.

3. Akar kuku - bahagian yang membuatkan kuku tetap kukuh dan tidak mudah tercabut.

4. Sinus - tempat pertemuan antara akar kuku dengan kulit.

5. Matriks - bahagian yang mempunyai pembuluh darah, saraf dan kelenjar penting.

6. Bantalan kuku (nail bed) - bahagian kulit yang berada di bawah batang kuku.

7. Hiponikium - pembahagi antara kuku dengan bantalan kuku dan ia membentuk lapisan sebagai pelindung agar kuku tidak mudah tertanggal.

8. Bahagian bebas (free margin) - bahagian kuku dihujung jari yang akan dipotong apabila kuku memanjang. 

 

Tanda Penyakit Pada Kuku

Perubahan pada warna dan struktur kuku dapat memberi petunjuk awal kepada kita tentang sesuatu penyakit. Oleh itu, menjadi satu kelebihan yang besar kepada diri kita sekiranya kita  mengetahui tanda-tanda perubahan pada kuku agar pencegahan dan rawatan awal dapat diberikan sekaligus dapat mengelakkan sebarang komplikasi.

1. Kuku pucat

Antara penyakit yang menunjukkan tanda kuku menjadi pucat adalah:

  • Anemia

  • Kegagalan jantung

  • Penyakit hati

  • Malnutrisi atau kurang zat

2. Kuku putih

Sekiranya anda mendapati kuku berwarna putih beserta dengan rim gelap, ia menjadi petanda kepada penyakit berkaitan hati seperti hepatitis.

Terdapat juga kuku yang mempunyai hanya tompokan putih atau garis putih yang dikenali sebagai leukonychia. Keadaan ini sering dikaitkan dengan kekurangan nutrisi. Antara faktor lain yang menyumbang kepada keadaan ini adalah penyakit berjangkit,penyakit metabolik dan kesan penggunaan ubat tertentu.

Garisan Mees juga menunjukkan garisan berwarna putih secara melintang pada kuku. Ini boleh menjadi tanda keracunan arsenik. 

Onycholysis pula berlaku apabila plat kuku terpisah dan menyebabkan perubahan warna putih pada kuku. Banyak sebab yang membuatkan keadaan ini berlaku seperti jangkitan, trauma, atau kesan daripada penggunaan produk pada kuku. Punca lain yang menyebabkan onycholysis  adalah psoriasis dan penyakit tiroid.

3. Kuku kebiruan (cyanosis)

Kuku berwarna kebiruan juga turut dikenali sebagai cyanosis. Ia bermakna tubuh seseorang itu tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Hal ini boleh dikaitkan dengan masalah paru-paru, seperti emfisema, COPD dan lain-lain. Masalah jantung juga dikatakan berkait dengan kuku kebiruan ini.

4. Kuku kuning

Kuku berwarna kuning kebiasaanya disebabkan oleh jangkitan kulat. Jika jangkitan semakin parah, ia menyebabkan plat kuku terpisah daripada bahagian dasar kuku dan membuatkan kuku menjadi semakin tebal dan rosak. Selain itu, kuku kuning juga memberi isyarat kepada penyakit yang serius seperti penyakit tiroid, penyakit paru-paru, diabetes, kesan merokok dan sebagainya.

5. Kuku kering dan mudah pecah(rapuh)

Kuku yang kelihatan kering dan rapuh berkait rapat dengan penyakit tiroid. Manakala kuku yang pecah dan disertai warna kekuningan lebih cenderung disebabkan oleh jangkitan kulat.

Kuku yang kering dan rapuh juga berkemungkinan akibat kesan sampingan penggunaan cat kuku dan penyakit tiroid. Selain daripada itu, antara sebab lain terjadinya masalah ini adalah kerana kekurangan vitamin A, B, dan C serta proses penuaan.

6. Bengkak sekitar kuku

Bagi penyakit lupus atau masalah connective tissue, biasanya keadaan kuku menjadi merah dan bengkak. 

7. Kuku tidak rata dan berlekuk

Jika diperhatikan pada permukaan kuku kelihatan tidak rata dan terdapat lekukan pada permukaan kuku, ia boleh membawa petanda kepada penyakit psoriasis ataupun arthritis. 

Selain itu, koilonychia juga menyebabkan kuku berlekuk. Ia menyebabkan kuku kelihatan seperti sudu. Antara penyakit yang memberi petanda begini adalah:

  • Anemia yang berkaitan dengan kekurangan zat besi

  • Penyakit jantung

  • Hemochromatosis

  • Lupus erythematosus

  • Hipotiroidisme 

  • Penyakit Raynaud

8. Garis gelap di bawah kuku

Sekiranya wujud garis gelap atau kehitaman di bawah kuku, disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor kerana dikhuatiri petanda kepada melanoma iaitu sejenis kanser kulit yang berbahaya.

9. Clubbing

Kuku clubbing adalah di mana keadaan di bawah kuku menebal dan di hujung jari menjadi bengkak dan membulat. Masalah berlaku apabila kurangnya oksigen dalam darah dan berkait dengan beberapa penyakit seperti: 

  • Penyakit jantung

  • Penyakit buah pinggang

  • Penyakit paru-paru

  • Sirosis dan kanser

 

Rawatan

Setelah doktor mengenal pasti jenis penyakit pada kuku, rawatan akan diberikan. Antara rawatan awal adalah:

  • Ubat kulat sekiranya terdapat jangkitan kulat

  • Ubat untuk merawat penyakit yang berkait dengan perubahan kuku

Pencegahan

Selain mendapatkan rawatan dari doktor, langkah berikut juga boleh digunakan untuk mencegah daripada berlakunya masalah kepada kuku:

  • Sentiasa menjaga kebersihan kuku khususnya dan keseluruhan badan amnya.

  • Memakai sarung tangan ketika melakukan mencuci pinggan atau melakukan kerja kerja membersih dengan menggunakan sebarang bahan kimia

  • Elakkan daripada menyentuh bahan kimia dengan tangan.

  • Elakkan penggunaan cat kuku 

  • Hindari tabiat menggigit kuku

  • Potong kuku dengan cara yang betul

  • Pastikan ukuran kasut sesuai dengan kaki dan mempunyai ruang pengudaraan

Kesimpulan

Jika anda mempunyai mana-mana tanda atau penyakit kuku seperti yang dinyatakan dalam artikel ini, ia tidak semestinya bermakna anda mempunyai penyakit yang serius. Anda disarankan berjumpa dengan doktor di pusat kesihatan yang berdekatan dengan anda untuk mendapatkan kepastian sama ada penyakit kuku anda alami serius ataupun tidak, melalui pemeriksaan kesihatan. 

Rujukan:

Ditulis oleh Mohd Syafiq, Bachelor's Degree In Medicine and Surgery (MBBCh) of Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall