Aduh, Kulit Saya Sensitif! Bagaimana Cara Mengatasinya?
Pernahkah anda mengalami masalah di mana kulit anda menjadi merah dan gatal setelah menggunakan produk penjagaan kulit atau sabun tertentu? Jika ya, anda berkemungkinan mempunyai masalah kulit sensitif. Kulit sensitif terjadi akibat tindak balas kulit terhadap kandungan produk-produk yang digunakan pada kulit sama ada produk cucian, wangian , solekan dan sebagainya. Sesetengah orang bukan sahaja sensitif terhadap produk yang diaplikasikan pada kulit, malah juga terhadap persekitaran.
Mereka yang mempunyai kulit sensitif boleh mengalami keradangan, kegatalan dan gejala-gejala lain seperti bengkak, selepas terdedah kepada bahan tertentu. Secara umumnya, sekitar 60-70% wanita dan 50-60% lelaki mengalami masalah kulit sensitif. Namun begitu, ia bergantung kepada beberapa faktor lain seperti kedudukan geografi dan bangsa.
Punca Kulit Sensitif
Kulit sensitif mendatangkan masalah kepada individu yang mengalaminya, terutama secara psikologikal kerana ia melibatkan penampilan diri. Disebabkan ini, ia boleh mengganggu kesihatan mental mereka. Pelbagai punca boleh dikaitkan dengan masalah kulit sensitif, seperti:
Terdedah kepada cahaya matahari
Terdedah kepada partikel halus di udara
Cecair atau bahan kimia
Hormon
Tekanan atau emosi
Cuaca dan suhu
Penyakit kulit seperti ekzema, dermatitis, rosacae
Ubat-ubatan
Masalah kulit sensitif ini boleh terjadi di mana-mana bahagian anggota badan dan ia juga boleh melibatkan keseluruhan badan.
Perbezaan Alahan Dan Kulit Sensitif
Kulit sensitif kadangkala disalah erti dengan reaksi alahan. Terdapat beberapa perkara yang dapat membezakan antara kulit sensitif dan reaksi alahan. Berikut merupakan perbezaan antara kulit sensitif dan reaksi alahan:
Kulit Sensitif
Tidak mempunyai sejarah alahan di dalam keluarga
Kebanyakannya terhad kepada kulit sahaja
Gejala disebabkan oleh bahan yang menyebabkan iritasi kepada kulit, seperti:
Gatal-gatal atau kulit yang sakit
Kemerahan
Senang berdarah apabila disentuh
Reaksi Alahan
Majoriti mempunyai sejarah alahan di dalam keluarga
Gejala reaksi alahan meliputi seluruh badan
Gejala kulit termasuklah:
Gatal-gatal
Kemerahan
Gejala sistemik:
Sesak nafas
Cirit birit
Nadi yang laju dan lemah
Jantung berdebar
Kegagalan buah pinggang
Ciri-Ciri Kulit Sensitif
Setiap individu yang mengalami masalah kulit sensitif menunjukkan ciri-ciri atau gejala yang berbeza dan ia bergantung kepada punca masalah kulit sensitif tersebut. Antara gejala-gejala kulit sensitif yang sering didengari adalah:
Kulit kering
Kulit bersisik atau mengelupas
Kulit kelihatan merah dan bengkak
Kulit mudah mengalami keradangan
Penggunaan sesetengah produk menyebabkan kulit gatal, merah, bengkak atau kering dan mengelupas
Mengatasi Masalah Kulit Sensitif
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk melegakan masalah kulit sensitif, tetapi ia perlulah mendapat pandangan dan nasihat dari doktor terlebih dahulu kerana masalah kulit yang berbeza memerlukan rawatan yang berbeza dan khusus untuk masalah tersebut. Berikut merupakan antara cara merawat kulit sensitif yang boleh dilakukan oleh anda:
Menggunakan Produk Penjagaan Kulit Yang Sesuai
Penggunaan produk penjagaan kulit merupakan antara sebab utama mengapa kebanyakan orang mengalami masalah kulit sensitif. Menggunakan produk yang sesuai dengan jenis kulit biasanya dapat mengatasi masalah kulit yang dialami. Oleh itu, penggunaan skincare kulit sensitif yang diiktiraf keselamatannya dan mengikut standard yang telah ditetapkan adalah disarankan. Produk penjagaan kulit yang baik kebiasaannya mengandungi kurang bahan kimia dan lembut pada kulit. Carilah produk yang mempunyai ciri-ciri hypoallergenic kerana produk ini tidak mendatangkan kesan yang teruk kepada kulit sensitif.
Menggunakan Pelembap Kulit
Kulit yang kering merupakan salah satu punca masalah kulit menjadi sensitif. Antara masalah yang dialami oleh mereka yang mempunyai kulit yang kering adalah pengelupasan kulit dan juga kulit merekah. Disebabkan ini, kulit menjadi sensitif dan mungkin menyebabkan kesakitan. Perkara ini boleh diatasi dengan menggunakan pelembap kulit. Waktu yang paling sesuai untuk menggunakan pelembap adalah selepas waktu mandi atau selepas mencuci muka. Gunakan produk pelembab berasaskan petroleum, kaya dengan mineral atau gliserin di mana bahan-bahan ini dapat melembabkan kulit dan lembut terhadap kulit yang sensitif.
Elakkan Dari Menukar Produk Dengan Kerap
Kerap menukar produk penjagaan kulit juga merupakan antara punca kulit menjadi sensitif. Hal ini kerana kulit anda terdedah kepada pelbagai jenis bahan kimia yang berbeza dan ini menyebabkan reaksi kepada kulit. Tandanya anda mengalami gejala iritasi seperti kemerahan, bengkak, gatal dan ruam juga boleh muncul pada permukaan kulit. Oleh itu, anda tidak digalakkan untuk menukar produk penjagaan kulit dengan kerap.
Merujuk Kepada Doktor
Bukan setiap masalah kulit sensitif dapat diselesaikan dengan menggunakan produk penjagaan muka semata-mata. Sesetengah masalah ini hanya dapat dikawal dan dirawat dengan bantuan perubatan. Sekiranya masalah kulit sensitif atau apa sahaja masalah kulit yang dialami oleh anda berlanjutan, perkara ini perlu dirujuk kepada doktor pakar kulit. Setelah sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal dan klinikal dilakukan, doktor akan memberikan preskripsi ubat yang sesuai kepada anda. Pastikan anda menggunakan ubat yang diberi mengikut preskripsi doktor untuk hasil yang baik.
Mengamalkan Gaya Hidup Yang Sihat
Apakah yang dimaksudkan dengan gaya hidup sihat? Dalam bahasa mudahnya adalah kekal aktif, stabil fizikal dan mental dan juga menjaga cara pemakanan. Hal ini disebabkan gaya hidup yang kurang sihat juga boleh mendatangkan masalah kulit. Bukan sahaja masalah kulit, ia juga boleh menyebabkan anda mengalami masalah kesihatan yang lain juga. Oleh itu, anda digalakkan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Selain itu, mengawal tekanan juga penting kerana pelbagai masalah kulit boleh timbul disebabkan tekanan emosi. Hormon juga antara penyebab kulit sensitif, ia memainkan peranan penting dalam kesihatan kulit
Kurangkan Pendedahan Kepada Cahaya Matahari
Terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari boleh menyebabkan reaksi pada kulit anda seperti sunburn. Hal ini sudah tentu menyebabkan anda kurang selesa dengan keadaan kulit yang dialami disebabkan ia sensitif dan boleh menyebabkan gejala seperti ruam dan bisul. Selain itu, terdedah kepada sinaran matahari terlalu lama mendedahkan anda kepada risiko untuk mendapat kanser kulit seperti squamous cell carcinoma, basal cell carcinoma dan malignant melanoma. Oleh itu, sekiranya anda bekerja atau melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari buat tempoh yang lama, anda perlu menggunakan krim pelindung matahari (sunblock) untuk mengurangkan risiko berbahaya oleh sinaran ultraungu (ultraviolet atau UV) daripada matahari. Selain itu, penggunaan sunblock juga dapat merendahkan risiko sunburn dan juga penuaan kulit (premature aging).
Tips Untuk Kulit Sensitif
Kulit yang sensitif boleh menyebabkan anda berasa kurang selesa dan kurang yakin terhadap diri anda. Anda boleh menggunakan beberapa tips ini untuk membantu dalam mengawal masalah yang dihadapi:
Mandi menggunakan air sejuk atau air suam. Elakkan dari menggunakan air yang terlalu panas.
Gunakan sabun formulasi khas untuk kulit sensitif dan sabun yang tidak mengandungi wangian.
Gunakan essential oil untuk menggantikan minyak wangi.
Gunakan sabun pencuci pakaian yang lembut dan tidak mengandungi wangian.
Keringkan kulit anda dengan hanya menekap tuala kepada badan untuk mengurangkan geseran tuala pada kulit.
Menggunakan pelembap selepas mengeringkan kulit.
Penjagaan kulit amatlah penting terutama sekiranya anda mengalami masalah kulit sensitif. Anda tidak perlu risau kerana masalah kulit sensitif ini boleh dikawal dan dirawat. Anda disarankan untuk memantau keadaan kulit anda, sentiasa menjaga kebersihan tangan dan kulit anda serta menggunakan produk penjagaan kulit yang diiktiraf oleh badan dermatologi. Jika keadaan anda semakin berlarutan atau semakin serius, sila dapatkan bantuan perubatan supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan kepada anda.
Rujukan: