Adakah Anda Telah Membasuh Tangan Dengan Cara Yang Betul?

Basuh Tangan Dengan Betul Untuk Elak Jangkitan Kuman - DoctorOnCall

Kebersihan merupakan aspek penting dalam kehidupan seorang manusia dan perbuatan ini perlu dijadikan amalan harian. Mencuci tangan adalah salah satu amalan penting dalam penjagaan kebersihan. Tabiat membasuh tangan boleh mengelakkan penyebaran pelbagai jenis penyakit. Sejak penularan pandemik COVID-19 ini, perbuatan membasuh tangan ini amat ditekankan disebabkan virus COVID-19 ini bukan sahaja boleh merebak melalui udara, malah ia boleh merebak melalui sentuhan cecair mengandungi virus yang ada pada pelbagai permukaan seperti butang lif, tombol pintu dan sebagainya.

Walaupun tangan anda kelihatan bersih pada pandangan mata kasar, ia sebenarnya tidak. Terdapat banyak kotoran yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Tangan anda boleh menjadi tempat pembiakan atau pemindahan bakteria kepada orang lain atau kepada diri anda sendiri. Membasuh tangan juga ada tekniknya bagi memastikan seluruh tangan termasuk kuku dan celahan jari bersih sepenuhnya. Ikuti artikel ini dalam kupasan mengenai kepentingan membasuh tangan dan cara basuh tangan dengan lebih lanjut.

Penyakit Yang Mudah Tersebar Melalui Sentuhan Cecair Tercemar

Sebelum mengupas mengenai kepentingan dan cara membasuh tangan yang betul, berikut merupakan senarai beberapa penyakit yang boleh disebarkan dengan sentuhan:

  • Demam kepialu (typhoid fever)

  • Gastroenteritis

  • Influenza

  • Hepatitis A dan E

  • Penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot and mouth disease)

  • Penyakit COVID-19

  • Selsema

  • Jangkitan otak (meningitis)

Jangkitan-jangkitan di atas adalah penyakit bawaan air dan makanan atau penyakit yang tersebar melalui titisan cecair batuk dan bersin. Tabiat membasuh tangan yang nampak ringan sebenarnya boleh melindungi anda dan orang lain daripada jangkitan. 

Mengapakah Kebersihan Tangan Penting?

Aktiviti harian yang kita lakukan kebanyakannya menggunakan tangan pada setiap masa seperti makan, minum, menulis, menaip dan memasak. Tabiat menyentuh mata, mulut, dan hidung tanpa sedar dengan tangan yang tidak dibasuh dengan bersih mendedahkan anda dengan risiko jangkitan seperti konjuktivitis, selsema dan batuk. Makan tanpa mencuci tangan selepas anda menyentuh pelbagai permukaan pula meningkatkan risiko terkena keracunan makanan. 

Anda juga boleh menyebarkan kuman pada tangan anda kepada orang lain, sama ada yang ada pada diri anda atau yang terkena pada tangan anda selepas menyentuh permukaan lain. 

Bilakah Anda Perlu Membasuh Tangan?

Anda digalakkan untuk membasuh tangan setiap kali anda menyentuh permukaan atau bahan yang kurang bersih atau kotor. Sejak penularan wabak COVID-19 ini, kebersihan tangan amat ditekankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah untuk memutuskan rantaian dan mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus ini kepada orang lain. 

B di mana anda perlu membasuh tangan adalah:

  • Sebelum dan selepas makan

  • Sebelum dan selepas merawat luka

  • Sebelum semasa dan selepas menyediakan makanan

  • Selepas menggunakan tandas

  • Selepas menguruskan lampin atau kanak-kanak yang menggunakan tandas

  • Selepas menyentuh haiwan

  • Selepas membuang sampah

  • Selepas bersin dan batuk

Untuk memastikan tangan anda benar-benar bersih, anda perlu mengamalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul dan perlu membasuh tangan anda sekurang-kurangnya selama satu minit untuk kebersihan yang optimum. 

Pembasmi Kuman Beralkohol Atau Sabun?

Sudah pasti anda pernah tertanya-tanya tentang perbezaan kedua-dua bahan yang disebutkan di atas. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, mencuci tangan menggunakan sabun dapat mengurangkan lebih banyak bakteria dan adalah lebih bersih. Namun begitu,mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman yang mengandungi 70-80% kandungan alkohol juga adalah pilihan yang baik untuk membersihkan tangan pada keadaan tertentu.

Pembasmi kuman beralkohol mudah didapati di pasaran terutamanyanya sejak kemunculan virus COVID-19. Pembasmi kuman juga ada dijual di dalam botol kecil dan memudahkan ia dibawa ke mana-mana sahaja. 

Namun begitu, sekiranya anda ingin menggunakan cecair pembasmi kuman beralkohol, pastikan tangan anda tiada kotoran yang terlihat dengan mata kasar contohnya tanah atau darah. Hal ini kerana, cecair pembasmi kuman beralkohol hanya membunuh kuman dan tidak membersihkan fizikal tangan anda. Oleh itu, sekiranya tangan anda kotor, cuci dengan air dan sabun.

Konklusi

Kebersihan diri merupakan perkara yang penting dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang manusia. Tangan sebagai medium yang membolehkan kita memegang, menyentuh dan mengambil objek serta melakukan pelbagai aktiviti harian juga adalah satu medium pembiakan atau penyebaran pelbagai bakteria dan virus. Oleh itu, kebersihan tangan adalah salah satu aspek yang sangat penting dalam menjaga kebersihan diri setiap hari. Tangan yang bersih bukan sahaja dapat menjaga diri anda, malah melindungi orang-orang di sekeliling anda. Sekiranya anda mempunyai anak kecil, anda digalakkan untuk mengajar dan memupuk tabiat membasuh tangan supaya kesihatannya terjamin dan dapat dibawa ke alam dewasa pada kemudian hari. Untuk mengetahui langkah mencuci tangan yang betul, anda boleh melihat gambar basuh tangan di mana-mana carian enjin bagi melihat infografik atau penerangan berkenaan 7 langkah pencucian tangan yang efektif.


Rujukan:

Ditulis oleh Nabil Nur Aiman Jasman, Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS) SEGi University on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor