Tips Memilih Wangian & Kelebihan Pemakaiannya Dalam Kehidupan

Jenis-Jenis & Kelebihan Wangian Dalam Kehidupan - DoctorOnCall

Wangian merupakan salah satu benda yang penting untuk kebanyakan orang di luar sana. Malah wangian juga dapat memaparkan identiti dan personaliti seseorang. Wangian juga boleh meningkatkan mood keceriaan dan menyebabkan orang di sekeliling selesa berdamping dengan anda. Bagi individu pula penggunaan wangian pada diri mereka dapat meningkatkan keyakinan dan penampilan diri.

Jenis-Jenis Wangian

Terdapat pelbagai jenis produk wangian yang terdapat di pasaran. Jangan fikir wangian hanya terdapat satu jenis sahaja, ya. Setiap jenis wangian mempunyai ciri-ciri mereka yang tersendiri. Mempunyai pengetahuan mengenai jenis-jenis wangian dapat memberikan anda banyak pilihan dan pengetahuan mengenai wangian di luar sana. Ini juga dapat membantu anda semasa proses memilih produk wangian. Wangian secara umumnya terbahagi kepada beberapa jenis, seperti:

Parfum

Parfum merupakan wangian yang mempunyai konsentrasi atau kepekatan minyak wangi yang paling tinggi. Kebanyakan wangian ini mengandungi kepekatan minyak wangi sekitar 20-30%, terdapat juga beberapa wangian Parfum yang mempunyai kepekatan sehingga 40% dan ia merupakan wangian yang paling lama bertahan setelah disembur. Wangian berasaskan Parfum boleh bertahan sehingga lapan jam dan disebabkan ia mengandungi kepekatan wangian yang tinggi, Parfum merupakan wangian yang dijual dengan harga yang tinggi di pasaran. Individu yang mempunyai kulit yang sensitif biasanya boleh menggunakan wangian jenis Parfum disebabkan kandungan alkoholnya yang rendah. Disebabkan harganya yang mahal juga, Parfum kebiasaannya hanya digunakan pada majlis-majlis ekslusif.

Eau de Parfum (EDP)

Eau de Parfum pula wangian yang kebiasaannya digunakan sebagai wangian harian dan kepekatan pati wangian atau minyak wangi EDP adalah sekitar 10-20% dan mengandungi kandungan alkohol yang lebih tinggi berbanding Parfum tetapi ia masih boleh digunakan oleh individu yang mempunyai kulit sensitif. Secara umumnya, ia jauh lebih murah berbanding Parfum

Eau de Toilette (EDT)

Eau de Toilette mengandungi kepekatan minyak wangi sekitar 5-10% dan lebih mudah didapati dengan harga mampu milik. Wangian ini boleh bertahan sehingga 4 jam lamanya dan kebanyakan pengguna EDT menggunakan wangian ini pada waktu siang disebabkan baunya yang menyegarkan dan ia juga merupakan wangian yang boleh digunakan pada setiap hari. 

Eau de Cologne (EDC)

  mempunyai kepekatan minyak wangi yang rendah berbanding tiga jenis wangian yang disebutkan sebelum ini (2-4%) dan mengandungi lebih banyak kandungan alkohol. Disebabkan ia mempunyai kandungan alkohol yang tinggi, wangian ini hanya bertahan sekadar dua jam sahaja dan individu yang mempunyai kulit sensitif tidak digalakkan untuk menggunakan wangian jenis EDC. 

Eau Fraiche

Eau Fraiche merupakan wangian yang berasaskan air sebagai komponen utama dan ia merupakan wangian pilihan sebagai pengganti EDC disebabkan kandungan alkohol yang rendah. Seperti EDC, wangian Eau Fraiche hanya mampu bertahan selama dua jam walaupun mempunyai kepekatan minyak wangi yang rendah (1-3%).

Selain lima jenis wangian yang disebutkan di atas, wangian juga boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti aftershave, body mists dan bentuk-bentuk wangian yang lain. 

Pemilihan Produk Wangian

Pelbagai faktor yang perlu diambil kira sebelum anda memilih dan membeli produk wangian. Faktor utama adalah wang dan wangian yang manakah yang anda ingin gunakan sebagai tanda atau signature diri anda.

Wang Dan Bajet

Wang sudah tentu merupakan faktor utama dalam pemilihan produk wangian kerana terdapat beberapa jenama dan model minyak wangi yang boleh mencecah harga ribuan ringgit sebotol. Kebanyakan wangian yang berharga lebih mahal hanya perlu digunakan sedikit sahaja untuk bau yang tahan lama berbanding wangian dengan harga lebih murah yang perlu disembur selang beberapa jam. Oleh itu, sesetengah orang lebih suka membeli wangian yang lebih mahal tetapi lebih berbaloi penggunaannya. Namun, berbalik kepada diri dan kemampuan anda. Tidak perlu untuk ikat perut hanya untuk sebotol wangian. 

Situasi

“Bilakah waktu yang sesuai untuk saya gunakan minyak wangi ini?”. Persoalan ini merupakan antara soalan yang penting dalam memilih produk wangian kerana setiap wangian mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan juga kegunaannya. Sekiranya anda masih ragu-ragu atau tidak tahu minyak wangi yang sesuai untuk digunakan pada masa tertentu, beritahu kepada jurujual anda untuk cadangan minyak wangi yang sesuai.

Kebiasaannya, sesetengah wangian dengan bau yang terlalu kuat tidak sesuai dipakai ke tempat kerja atau melakukan urusan profesional. Bau yang terlalu kuat boleh mengganggu orang lain. 

Bau

Bau memainkan peranan penting dalam pemilihan wangian. Bau wangian tertentu boleh melambangkan keperibadian seseorang. Pemilihan bau juga berlainan antara lelaki dan wanita.

Bau wangian lelaki biasanya terdiri daripada bau yang maskulin, segar dan bersih. Wangian lelaki biasanya dikaitkan dengan bau alam seperti air, kayu dan tanah. 

Wangian wanita biasanya lebih feminin sesuai dengan peribadi wanita. Bau wangian wanita biasanya lebih manis, seakan akan buah-buahan atau bunga-bungaan. 

Mengapakah Wangian Penting?

Wangian merupakan salah satu cabang dari kebersihan dan penjagaan diri. Wangian tidak terhad kepada wangian tubuh sahaja, tetapi juga wangian lain seperti sabun mandi, sabun pakaian dan wangian di dalam rumah dan kereta. Terdapat beberapa faktor yang boleh menerangkan mengapa penggunaan wangi wangian adalah penting dalam kehidupan kita, antaranya:

Membuatkan Anda Tampil Lebih Menarik

Wangian dan personaliti merupakan elemen yang tidak dapat dipisahkan. Wangian boleh memberikan faktor penarik kepada diri anda dan seterusnya meningkatkan imej dan personaliti anda. Minyak wangi merupakan pakaian yang tidak dapat dilihat tapi mampu merangsang deria bau orang lain dan ciri-ciri ini membuatkan mengapa minyak wangi adalah sesuatu yang unik dalam penampilan diri seseorang.

Membuatkan Diri Dan Orang Lain Selesa

Wangian dapat melenyapkan bau badan yang kurang menyenangkan. Wangian merupakan salah satu faktor yang menyebabkan orang ingin mendampingi anda.  Pemakaian minyak wangi yang sesuai dengan situasi dan majlis juga dapat meningkatkan keyakinan diri anda untuk bergaul dengan orang di sekeliling.

Meningkatkan Daya Ingatan 

Bau-bauan yang tertentu dapat meningkatkan memori anda untuk mengingati sesuatu perkara. Kita mudah teringat akan sesuatu perkara yang berkaitan apabila terhidu sesuatu bau. Wangian didapati boleh merangsang emosi dan inilah berkait rapat dengan daya ingatan anda. 

Mengurangkan Tekanan

Wangian juga merupakan salah satu dari bentuk terapi yang dikenali sebagai aromaterapi. Bau-bau yang lembut seperti buah-buahan, bunga dan juga herba atau rempah yang lembut dapat merehatkan jasmani dan rohani anda, secara tidak langsung merendahkan tahap tekanan anda. Selain itu, wangian yang lembut juga dapat membantu anda untuk rehat dan seterusnya membantu anda mendapatkan tidur yang lebih lena pada waktu malam contohnya aroma lavender.


Rujukan:

Ditulis oleh Nabil Nur Aiman Jasman, Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS) SEGi University on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor