Adakah Bekas Pesakit COVID-19 Tidak Akan Dijangkiti Semula?

Adakah Bekas Pesakit COVID-19 Kebal Jangkitan? - DoctorOnCall

Menurut statistik AFP, dianggarkan lebih dari sejuta orang penduduk di seluruh dunia terkorban akibat COVID-19 sejak wabak itu mula dikesan di China pada tahun 2019.

Dikatakan lebih kurang 100 juta kes COVID-19 didaftarkan dan sekurang-kurangnya 60 juta pesakit disahkan pulih daripada wabak berkenaan. Manakala jumlah kematian seluruh dunia akibat covid dicatatkan lebih 2 juta orang.

Namun begitu, statistik yang merujuk kepada data dikumpul oleh AFP daripada pihak berkuasa negara dan maklumat yang disalurkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mungkin tidak mewakili keseluruhan angka jangkitan sebenar.

Hal ini kerana kebanyakan negara menjalankan saringan kepada pesakit dengan simptom atau mengehadkan bagi kes serius sahaja. Namun begitu, apa yang jelas adalah kadar kesembuhan yang ditunjukkan oleh pesakit COVID-19 adalah tinggi sekaligus menimbulkan persoalan baru di kalangan orang ramai. Pesoalannya adalah, bolehkah bekas pesakit COVID-19 dijangkiti semula? Teruskan membaca artikel untuk mengetahui lebih lanjut mengenai subjek tersebut.

Risiko Dijangkiti Semula

Pesakit COVID-19 yang sudah sembuh telah diberi amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya terus berjaga-jaga kerana boleh dijangkiti semula virus itu.

Badan dunia itu juga menegaskan bahawa kadar pesakit yang sembuh tidak boleh dijadikan 'tiket kekebalan' atau sebagai alasan bagi sesebuah negara untuk melonggarkan langkah kawalan.

Kebimbangan itu ada asasnya yang kukuh kerana sehingga kini, kematian global akibat virus itu terus meningkat dan sudah menyebabkan lebih 2 juta kematian.

Sehingga saat ini masih belum dijumpai sebarang bukti yang boleh menunjukkan individu yang sembuh daripada COVID-19 mempunyai antibodi dan akan terselamat daripada jangkitan COVID-19 kerana masih terdapat kemungkinan seseorang itu dijangkiti COVID-19 semula. Oleh sebab itu, WHO juga menentang langkah terburu-buru untuk melonggarkan kawalan kerana walaupun pesakit telah disahkan pulih.

 

Amaran WHO itu adalah berasas kerana terdapat golongan yang menganggap diri mereka sudah “kebal” selepas disahkan sembuh daripada jangkitan COVID-19 memandang remeh terhadap langkah keselamatan yang disyorkan.

Keyakinan tanpa asas ini dikhuatiri bakal menjadi ancaman kepada lebih ramai orang kerana golongan yang berasa “kebal” mungkin tidak mahu lagi memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta penjagaan kebersihan kerana beranggapan mereka tidak akan membahayakan orang lain atau mereka tidak akan terjejas dengan jangkitan ini.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bekas pesakit COVID-19 yang mempunyai paras antibodi neutralisasi (imuniti) dalam darah yang rendah dan mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti virus itu semula. Kenyataan ini disokong dengan penyelidikan awal mendapati kebanyakkan individu yang pernah dijangkiti mengalami kemerosotan antibodi selepas lapan minggu.

Ekoran itu katanya, KKM memerlukan lebih ramai bekas pesakit COVID-19 untuk tampil menyertai sebuah kajian perubatan yang dinamakan ‘Kajian Membujur Tindak Balas Antibodi Neutralisasi Dalam Kalangan Pesakit COVID-19 di Malaysia’ bagi melihat sama ada antibodi mereka akan kekal atau merosot selepas rawatan.  Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM (NMRR-20-1676-55108) telah memberikan kelulusan kepada penyelidikan tersebut.

Kadar Kebolehjangkitan

Hasil pemantauan terhadap pesakit COVID-19 yang sudah sembuh oleh Kementerian Kesihatan mendapati masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka disahkan sembuh. Hal ini kerana ujian rt-PCR sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

Menurut Dr Noor Hisham, walaupun dikesan positif, namun mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.

KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif bagi pesakit yang sudah sembuh adalah disebabkan kehadiran fragmen virus yang sudah mati. Kesimpulan ini dicapai apabila hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 daripada sampel pesakit tersebut gagal dibiakkan. Penemuan hasil yang serupa juga turut dilaporkan dari beberapa negara seperti Korea, China, Singapura dan Jerman.

Kadar kebolehjangkitan didapati menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari. Terdapat sebuah kajian lain di Taiwan mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID-19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.

Ini menunjukkan tiada kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan bekas pesakit. Pemantauan ini sama sekali tidak bercanggah dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula, manakala kemuncaknya sehari sebelum gejala.

Ini seiring dengan kenyataan yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam 'Clinical management of COVID-19, Interim guidance, May 2020', bahawa kebanyakan pesakit positif COVID-19 hanya boleh menyebarkan penyakit ini dalam jangka masa 10 hari daripada permulaan penyakit.

Kesimpulan

Pemeriksaan susulan terhadap pesakit COVID-19 yang didiscaj dari hospital akan dilakukan setiap tiga bulan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memantau tahap sebenar antibodi dan keadaan paru-paru mereka.

Dr Noor Hisham berkata tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan COVID-19 tidak boleh dijangkiti semula walaupun kes seumpama itu belum berlaku di Malaysia setakat ini.

Pengalaman dunia dan Malaysia dalam menghadapi COVID-19 dan melihat kesan jangkitannya kepada  pesakit yang sudah sembuh masih baru iaitu kurang 12 bulan. Oleh itu, langkah berjaga-jaga mesti terus dilakukan dengan penuh disiplin walaupun anda sudah dijangkiti dan sembuh daripada jangkitan ini.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall