COVID-19 Meragut Nyawa Lebih Ramai Lelaki Berbanding Wanita, Mengapa?

Mengapa Lelaki Lebih Berisiko Jika Dijangkiti COVID-19? - DoctorOnCall

COVID-19 adalah lebih kompleks daripada yang orang ramai mungkin fikir, dengan keupayaannya menyebabkan penyakit ringan pada sesetengah orang dan komplikasi yang teruk pada yang lain, dengan sesetengah kes malah menyebabkan kematian. Kumpulan risiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga tua berumur di atas 65 tahun, orang yang mengalami penyakit kronik, dan wanita hamil. Salah satu ketidaknormalan yang muncul dalam data adalah lelaki yang dijangkiti COVID-19 memiliki kadar kematian yang lebih tinggi berbanding wanita. Mengapa demikian? Teruskan membaca untuk mencari tahu.

Gaya Hidup Kaum Lelaki

Gaya hidup dan tabiat harian seseorang memainkan peranan yang penting dalam aspek kesihatan seseorang. Lelaki dilihat mempunyai pilihan gaya hidup yang kurang sihat terutamanya didalam pemakanan ataupun diet harian. Sayur sayuran dan buah-buahan mempunyai vitamin dan nutrisi yang penting dalam perkembangan kesihatan seseorang.

Kajian juga menunjukkan majoriti lelaki kurang peka mengenai kesihatan diri, lelaki kebiasaannya akan mendapatkan rawatan selepas penyakit berada diperingkat pertengahan ataupun peringkat akhir dimana pada waktu tersebut  penyakit telahpun berada dalam keadaan serius dan sukar dirawat.

Dalam sesetengah kajian lain menyatakan bahawa lelaki sering mengabaikan kebersihan dan kurang membasuh tangan menggunakan sabun. Dengan ini, jangkitan penyakit akan lebih mudah berlaku.

Pekerjaan lelaki juga lebih banyak tertumpu di luar rumah, mereka lebih cenderung untuk terdedah  kepada orang ramai ataupun melibatkan aktiviti berkumpulan yang membolehkan jangkitan virus berlaku dengan lebih pantas.



Alkohol

Pengambilan minuman beralkohol secara kerap boleh merendahkan sistem imuniti dan menyebabkan seseorang lebih mudah dijangkiti COVID-19. Minuman ini lebih banyak diambil oleh golongan lelaki dan mereka juga lebih cenderung untuk mengambilnya dalam kuantiti yang banyak berbanding wanita.


 

Merokok

Tabiat merokok juga adalah salah satu tabiat yang juga sinomin dengan kaum lelaki dan anda sedia maklum ia boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit seperti kanser dan penyakit jantung serta masalah kesihatan yang lain terutamanya yang berkaitan sistem pernafasan. 

Fakta mengenai peningkatan risiko COVID-19 dikalangan perokok diakui oleh pakar-pakar perubatan diseluruh dunia. Perokok aktif mempunyai sistem imuniti badan yang rendah, membolehkan mereka dijangkiti dengan lebih cepat berbanding orang lain. Untuk pengetahuan anda, sistem pernafasan dan paru- paru perokok mempunyai reseptor Angiotensin Converting Enzyme -2  (ACE-2) yang lebih tinggi berbanding bukan perokok. Dengan peningkatan kadar reseptor ACE-2 didalam badan, virus akan lebih mudah memasuki sel tisu paru-paru manusia secara aktif dan mengganggu sistem pernafasan seseorang. Mereka yang merokok kebiasaannya akan berhadapan dengan komplikasi lebih buruk apabila dijangkiti COVID-19. 



Obesiti

Tidak dapat dinafikan, kaum wanita biasanya lebih mementingkan penampilan dan amat menjaga berat badan mereka berbanding kaum lelaki yang jika kita lihat ramai yang tidak kisah memiliki susuk tubuh lebih besar atau berperut buncit. 

Memiliki berat badan berlebihan ataupun obesiti berlaku akibat daripada gaya pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam. Mereka yang mengalami obesiti mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol dan masalah jantung. Masalah kesihatan kronik ini merupakan salah satu faktor berlakunya komplikasi jangkitan COVID-19 yang lebih serius.



Penyakit Kronik

Menurut World Health Organization WHO, individu yang menghidap penyakit kronik seperti masalah jantung, diabetes, kanser dan penyakit paru-paru kronik mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi apabila dijangkiti COVID-19. Walaupun kedua-dua lelaki dan wanita boleh mengalami penyakit-penyakit kronik di atas, namun lelaki diketahui lebih ramai menghidapnya berbanding wanita.

Hormon Estrogen

Sebuah kajian mengenai peranan hormon estrogen dalam wanita dalam melindungi mereka daripada COVID-19 telah diterbitkan oleh Journal of Clinical Medicine Research pada Oktober 2020. Kajian ini mendapati, hormon estrogen dalam tubuh wanita didapati juga berperanan dalam menyokong sistem imun, malah turut menunjukkan ciri-ciri antiviral.

Struktur Genetik

Secara amnya, wanita mempunyai kelebihan dengan memiliki dua kromosom X, manakala lelaki hanya memiliki satu. Kromosom X mengandungi kuantiti gen-imuniti yang paling banyak dari keseluruhan genom manusia. Secara teorinya ia akan memberi wanita kelebihan dua kali ganda berbanding lelaki dalam penghasilan tindak balas imun yang lebih cepat dan efisien. 

Tahap Kebersihan

Kajian sosial antarabangsa  menunjukkan tahap penjagaan kebersihan dikalangan wanita adalah lebih baik  berbanding lelaki. Wanita lebih peka mengenai aspek kebersihan diri dan kerap membasuh tangan. Budaya ini menyebabkan mereka mempunyai kadar jangkitan COVID-19 yang lebih rendah.



Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kadar kematian di Malaysia yang melibatkan kaum lelaki adalah sebanyak 70%, sehingga kini belum ada kajian saintifik yang membuktikan jantina sebagai faktor utama. Oleh itu, tidak kira anda lelaki atau wanita, kedua-duanya mempunyai peranan dalam menjaga diri dan orang sekeliling daripada jangkitan virus COVID-19. Jadi, kekalkan amalan norma baharu. Patuhi SOP, jaga kebersihan dan pakai pelitup muka anda. 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall