Benarkah Vaksin COVID-19 (Coronavirus) Boleh Menyebabkan Kematian?

Benarkah Suntikan Vaksin COVID-19 Membawa Maut? - DoctorOnCall

Penghasilan vaksin COVID-19 telah memberikan sinar baru kepada manusia dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 dalam kalangan komuniti setempat, negara dan dunia. Saintis dengan kerjasama pelbagai syarikat farmaseutikal dari seluruh dunia telah bertungkus-lumus membuat kajian untuk menghasilkan vaksin ini. Penghasilan vaksin ini tidak akan terjadi dengan begitu pantas tanpa sumbangan daripada pihak kerajaan, individu atau syarikat ternama kepada syarikat farmaseutikal kerana penghasilan vaksin memerlukan kos belanja yang besar supaya kajian dapat dibuat. 

Terdapat sesetengah vaksin telah melepasi fasa percubaan klinikal seperti yang digariskan oleh Food and Drug Administration (FDA) dan telah mendapat kelulusan untuk dipasarkan kepada beberapa negara di seluruh dunia. Terdapat juga beberapa vaksin yang sedang berada pada tahap percubaan klinikal fasa ketiga di mana ia digunakan kepada manusia untuk melihat keberkesanannya dan memantau kesan sampingannya sebelum membuat keputusan sama ada vaksin tersebut selamat untuk digunakan ataupun tidak dan kemudiannya dipasarkan. 

Sejak vaksin ini mula menjalani kajian klinikal sehingga ia mula diberikan kepada orang ramai di sesetengah kawasan di seluruh dunia, pelbagai pandangan dan berita tentangnya diperdebatkan, termasuklah mengenai keselamatan dan keberkesanannya. Berita lain yang turut menjadi tumpuan adalah kematian beberapa orang ketika ujian klinikal vaksin ini berjalan serta kematian yang berlaku selepas vaksin ini mula diberikan kepada orang ramai. Adakah benar vaksin ini menyebabkan kematian? Ikuti kupasan mengenainya dalam artikel ini.

Kematian Ketika Ujian Klinikal Vaksin:

Terdapat beberapa kes kematian yang berlaku semasa tempoh ujian klinikal sedang berlangsung. Antara kes yang hangat diperkatakan adalah kes kematian 6 orang sukarelawan yang menerima vaksin COVID-19. Dua daripadanya menerima vaksin tersebut manakala selebihnya menerima suntikan plasebo. 

Bagi kedua-dua sukarelawan yang menerima vaksin tersebut, mereka merupakan golongan yang berusia 55 tahun ke atas dan mempunyai sejarah penyakit kronik. Seorang daripada mereka mengalami serangan jantung selepas 62 hari menerima dos kedua vaksin manakala seorang lagi meninggal dunia akibat penyakit arteriosklerosis (pengecilan salur darah) tiga hari selepas menerima suntikan dos pertama. Kajian telah dibuat dan mendapati bahawa vaksin yang diterima oleh keduanya tidak mempunyai kaitan dengan punca kematian tersebut.

Oleh itu, kematian ini bukanlah disebabkan oleh vaksin. Ini hanya merupakan maklumat yang diinterpretasi secara salah orang sesetengah pihak untuk menakutkan orang ramai mengenai vaksin COVID-19.

Kematian Warga Emas Di Eropah:

Terdapat beberapa kes kematian warga emas yang dilaporkan di sebuah negara di Eropah. Hal ini berikutan pemberian vaksin COVID-19 kepada mereka. Siasatan dan kajian yang terperinci telah dilakukan untuk mengetahui punca kematian mereka

Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan negara tersebut, kematian warga emas selepas pemberian vaksin tersebut bukanlah disebabkan oleh vaksin tetapi disebabkan oleh penyakit kronik dan jangkitan COVID-19 itu sendiri. Pemeriksaan kesihatan secara individu juga dilakukan sebelum memberi vaksin kepada golongan ini untuk memastikan suntikan vaksin tersebut memberi manfaat berbanding mudarat kepada mereka. Selain daripada itu, Eropah mencatatkan kadar kematian yang tinggi setiap hari dalam kalangan warga emas di negara itu terutamanya pada musim sejuk akibat pelbagai faktor seperti penyakit kronik (penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, strok dan sebagainya) serta jangkitan influenza. Statistik menyatakan terdapat lebih kurang 300 kes kematian warga emas di negara tersebut pada setiap hari, oleh itu kematian warga emas susulan penerimaan vaksin ini adalah besar kemungkinan bukan berkaitan dengan vaksin.

Walaupun begitu, pakar perubatan tidak menolak kemungkinan sesetengah kematian tersebut mungkin berpunca daripada reaksi kesan sampingan ringan vaksin yang diberikan dan kesan sampingan ringan ini adalah lebih serius bagi individu yang mempunyai sistem imuniti yang lemah seperti warga emas. 

Kematian Doktor Dan Pegawai Barisan Hadapan

Kes kematian doktor di salah sebuah negara di Amerika Selatan susulan penerimaan vaksin COVID-19 turut hangat diperdebatkan. Beliau merupakan salah seorang daripada sukarelawan kajian dan pegawai barisan hadapan yang menerima suntikan vaksin COVID-19. Kematian beliau tidak dapat dipastikan sama ada beliau menerima vaksin ataupun plasebo semasa kajian dan ini merupakan kematian pertama dalam kajian vaksin COVID-19 yang dijalankan di seluruh dunia. 

Di Britain pula terdapat kes di mana salah seorang pegawai barisan hadapan yang menerima vaksin COVID-19 mengalami gejala atau penyakit yang tidak dapat dijelaskan. Disebabkan ini, beberapa syarikat yang membuat kajian tersebut terpaksa menggantung kajian buat sementara waktu untuk siasatan lanjut dan kajian tersebut disambung semula setelah laporan menyatakan kematian beliau bukan disebabkan oleh vaksin COVID-19 yang diterimanya. 

Adakah Vaksin COVID-19 Membawa Maut?

Setelah melihat kepada kes-kes yang diulas di atas, adakah vaksin COVID-19 ini boleh membawa maut? Berdasarkan data dan statistik sedia ada, kajian mendapati bahawa vaksin tersebut adalah selamat. Beberapa buah syarikat farmaseutikal telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa vaksin COVID-19 buatan mereka adalah 90 hingga 95% selamat dan tidak membahayakan penggunanya.

Namun begitu, vaksin ini akan terus dipantau keberkesanan dan keselamatannya sehingga data mencukupi untuk pihak berkenaan membuat kesimpulan yang khusus. Pemberian vaksin kepada masyarakat di negara lain setakat ini menunjukkan keputusan memberansangkan dan diharap dapat memberi impak positif terhadap pengekangan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall