Apa Yang Anda Tahu Tentang Vaksin COVID-19? Mitos Atau Fakta?

Vaksin COVID-19: Yang Mana Mitos Atau Fakta? - DoctorOnCall

Sejak penularan virus COVID-19, semua lapisan masyarakat terkesan dengan penyakit ini dari pelbagai aspek kehidupan. Disebabkan masalah ini, kajian secara secara menyeluruh telah dibuat bagi membendung penularan wabak ini dan kajian vaksin tidak terkecuali. Pelbagai syarikat dari seluruh pelusuk dunia membuat kajian dan berusaha untuk menghasilkan vaksin bagi melawan virus tersebut dan mengembalikan kehidupan masyarakat sedunia seperti sedia kala. 

Walau bagaimanapun, sejak pengumuman tentang kajian dan penghasilan vaksin COVID-19, terdapat banyak desas-desus yang mengatakan bahawa vaksin tersebut adalah tidak selamat untuk digunakan buat masa terdekat berikutan penghasilannya yang terlalu cepat dan beberapa lagi sebab lain yang berjaya mempengaruhi pemikiran dan pandangan orang ramai mengenainya. 

Ikuti artikel ini bagi mengetahui fakta dan mitos tentang vaksin COVID-19.


Mitos 1: Penghasilan Vaksin Ini Terlalu Cepat. Vaksin Ini Tidak Selamat


Terdapat pandangan yang salah faham bahawa kerana vaksin telah dibangunkan dengan cepat, ia mesti tidak selamat. Penghasilan vaksin covid 19 memakan masa kurang daripada setahun. Tempoh yang singkat ini menyebabkan ramai orang ragu-ragu tentang keberkesanan dan kesan sampingannya.

Fakta:

Penghasilan vaksin covid-19 yang cepat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya:

  • Sumbangan daripada individu atau syarikat terkemuka kepada syarikat yang menghasilkan vaksin ini. Pelaburan yang banyak ini membolehkan banyak kajian boleh dibuat dalam satu masa serta teknologi yang lebih canggih dapat digunakan.

  • Vaksin ini juga dibuat berdasarkan kajian vaksin terdahulu. Oleh itu, tempoh masa penghasilannya adalah lebih cepat kerana ia tidak bermula daripada sifar sebaliknya memanfaatkan pengetahuan dan teknologi vaksin lain yang sedia ada.

Vaksin ini telah melalui proses kajian dan kawalan yang ketat oleh Food and Drugs Administration (FDA) dan prosesnya sama seperti vaksin lain yang dihasilkan sebelumnya. Vaksin ini juga menepati standard yang telah ditetapkan oleh FDA. Jadi orang ramai tidak perlu risau kerana vaksin ini adalah selamat untuk digunakan. Terdapat beberapa syarikat telah melepas fasa kajian klinikal ketiga. Beberapa buah negara juga telah mula memberikan vaksin ini kepada rakyat mereka.


Mitos 2: Vaksin COVID-19 Boleh Mengubahsuai DNA Manusia

Vaksin COVID-19 mempunyai kebolehan untuk mengubahsuai DNA manusia. Hal ini merupakan antara tumpuan utama setiap orang yang membaca dan mengikuti berita perkembangan penghasilan vaksin COVID-19.

Fakta:

Kenyataan tersebut hanyalah mitos dan bukannya fakta. Vaksin yang dihasilkan mengandungi messenger ribonucleic acid (mRNA) di mana mRNA vaksin COVID-19 ini berfungsi untuk memberi arahan kepada sel-sel badan kita untuk membuat dan membina protein sebagai tindak balas untuk melawan vaksin tersebut yang menyerupai penyakit sebenar. Ini akan menyebabkan badan kita mempunyai imuniti terhadap virus COVID-19. 

Menurut Center for Disease Control (CDC), mRNA tidak akan masuk ke dalam nukleus sel kita di mana DNA disimpan dan ia tidak akan berinteraksi dengan DNA dan secara langsung tidak akan mengubah apa-apa dalam apa bentuk dan cara sekalipun. Tambahan pula, mRNA yang terhasil akan dimusnahkan oleh sel-sel imun yang kemudiannya akan membina antibodi khusus terhadap virus ini.


Mitos 3: Vaksin COVID-19 Mengandungi Mikrocip

Vaksin COVID-19 mengandungi mikrocip atau alat pengesan. Hal ini adalah antara mitos yang hangat diperkatakan di internet kerana kebolehannya untuk mengesan keberadaan seseorang individu. Namun begitu, seperti mitos vaksin COVID-19 yang lain, ia hanyalah sekadar mitos dan anggapan yang salah. 

Fakta:

Penularan mitos ini bermula selepas Bill Gates mengumumkan tentang sijil digital sebagai rekod vaksinansi. Beliau sebenarnya merujuk kepada teknologi yang berlainan sama sekali. Oleh itu, anda tidak perlu risau kerana cip tersebut tidak akan dimasukkan secara langsung ke dalam badan individu yang menerima vaksin tersebut. Selain itu, teknologi nano atau mikro pada zaman ini masih belum mampu mencipta alat peranti atau pengesan yang begitu halus untuk disuntik bersama vaksin ke dalam tubuh manusia. Oleh itu, tanggapan ini sekali lagi adalah tidak munasabah.


Mitos 4: Mereka Yang Pernah Dijangkiti COVID-19 Tidak Memerlukan Vaksin

Fakta:

Terdapat salah faham bahawa seseorang yang sebelum ini dijangkiti dengan COVID-19 tidak perlu mengambil vaksin. Pernyataan ini tidak benar. Terdapat beberapa fakta yang anda perlu ketahui walaupun anda pernah dah telah dijangkiti virus tersebut:


  • Anda masih boleh mendapat manfaat daripada vaksin tersebut dan ia boleh meningkatkan sistem imuniti badan anda untuk melawan virus tersebut sekiranya anda terdedah kepada virus tersebut sekali lagi pada masa hadapan

  • Terdapat beberapa pendapat daripada pakar mengenai jangkitan COVID-19 di mana imuniti semulajadi terbentuk selepas terdedah dengan virus tersebut tidak dapat bertahan lama. Oleh itu, pemberian vaksin adalah amat digalakkan untuk membendung jangkitan ini dalam masyarakat kita dan seterusnya memelihara kesihatan diri dan orang sekeliling anda. 


Mitos 5: Vaksin COVID-19 Menyebabkan Kemandulan

Terdapat salah faham yang tersebar di laman media sosial dan internet yang mengatakan bahawa vaksin COVID-19 akan menyerang salah satu protein yang membentuk uri sekaligus menyebabkan kemandulan.

Fakta:

Ada yang mengatakan bahawa, asid amino (protein) yang berbentuk duri (spike protein) di dalam coronavirus menyerupai protein yang terdapat di dalam uri. Namun begitu, pakar telah menegaskan bahawa perkara ini adalah tidak benar dan duri protein pada coronavirus ini langsung tidak menyerupai protein di dalam uri yang memungkinkan tindak balas sistem imun terhadapnya terhasil atau menyebabkan kemandulan. 


Mitos 6: Vaksin COVID-19 Tidak Selamat Untuk Wanita Hamil

Fakta:

Seperti yang anda tahu, terdapat beberapa jenis vaksin yang tidak boleh diambil semasa seseorang wanita sedang hamil berikutan vaksin tersebut boleh melepasi plasenta atau uri dan menyebabkan reaksi kepada janin. 

Berdasarkan Center of Disease Control (CDC), terdapat data dan statistik yang amat terhad berkenaan keselamatan vaksin Coronavirus ini terhadap wanita hamil. Terdapat beberapa jenama vaksin COVID-19 yang telah dikeluarkan dan sesetengah syarikat belum membuat kajian terhadap wanita hamil. Kebiasaannya ubat-ubatan atau vaksin hanya akan diberikan kepada wanita hamil selepas produk tersebut disahkan selamat buat ibu dan anak dalam kandungannya. 


Mitos 7: Kesan Sampingan Vaksin COVID-19 Mengancam Nyawa

Fakta:

Seperti setiap ubat-ubatan lain, vaksin juga tidak terkecuali mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Dalam ujian klinikal vaksin tersebut, sesetengah individu yang menerima vaksin tersebut akan mengalami kesan sampingan yang ringan seperti vaksin-vaksin lain seperti demam, sakit di bahagian suntikan dan lemah badan. Walaupun jarang berlaku, terdapat sesetengah individu boleh mendapat kesan sampingan yang teruk seperti reaksi alahan (anaphylaxis) dan ini disebabkan kerana individu tersebut mempunyai alahan terhadap kandungan yang terdapat di dalam vaksin tersebut. Oleh itu, mana-mana individu yang mempunyai alahan terhadap bahan yang digunakan di dalam vaksin ini dinasihatkan untuk tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19. Sila berbincang dan beritahu latar belakang alergi atau masalah kesihatan anda sebelum mengambil sebarang suntikan atau ubat-ubatan.


Mitos 8: Tidak Perlu Memakai Pelitup Muka & Mengamalkan Penjarakan Fizikal Selepas Menerima Vaksin

Fakta:

Walaupun anda telah menerima vaksin tersebut, anda amatlah digalakkan untuk kekal mempraktikkan rutin norma baru seperti memakai pelitup muka, menjaga kebersihan tangan dan menjaga penjarakan fizikal. Hal ini kerana adalah atas sebab-sebab yang berikut:

  • Masih terdapat individu yang masih belum menerima vaksin, terutama pada fasa awal pemberian vaksin ini kepada orang ramai

  • Terdapat individu yang tidak dapat menerima vaksin disebabkan mereka mempunyai alahan terhadap bahan yang digunakan atau masalah kesihatan lain.

  • Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah tidak dapat menerima vaksin ini dan mereka bergantung kepada orang sekeliling mereka untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti COVID-19


Akhir kata, vaksin COVID-19 ini mempunyai banyak kebaikan berbanding keburukannya dan ia amatlah penting untuk seluruh umat manusia kerana pandemik ini masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan surut pada masa terdekat. Jadi vaksin merupakan salah satu ikhtiar untuk membendung virus dan penyakit ini daripada merebak. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengimport vaksin COVID-19 pada hujung bulan Febuari ini dan diharapkan ia boleh membawa sinar baru dalam membendung wabak ini daripada menular dan melindungi rakyat Malaysia tanpa mengenal jantina dan umur. 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall