Apa Kata Mereka Yang Sudah Menerima Suntikan Vaksin COVID-19?

Vaksin COVID-19: Apa Kata Mereka Yang Menerimanya? - DoctorOnCall

Pengenalan

Malaysia telah menandatangani perjanjian MoU dengan China untuk memperkukuh bekalan vaksin COVID-19 mereka dalam memerangi wabak yang sedang berlangsung. Banyak negara lain sudah memulai langkah ini, dengan penghantaran vaksin yang sedang berlangsung di seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia kini sedang menjalankan program imunisasi COVID-19, memberi keutamaan kepada kumpulan risiko tinggi yang paling rentan terhadap penyakit sebelum beralih kepada mereka yang berisiko rendah. Ini disebabkan bekalan vaksin yang terhad dalam negara.

Siapakah Yang Memerlukan Vaksin?

Secara umumnya, semua orang yang tidak mengalami sebarang masalah seperti alahan atau masalah kesihatan lain yang boleh memudaratkan selepas pengambilan vaksin, perlu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi membendung wabak ini daripada terus merebak. Namun, disebabkan kekangan bekalan vaksin, pemberian perlu diutamakan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti golongan berisiko tinggi.

Golongan berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah seperti:

1.Petugas barisan hadapan:

  • Doktor
  • Jururawat
  • Polis
  • Askar


2.Warga emas

3.Pesakit yang menghidap penyakit kronik atau Non-Communicable Disease (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit penafasan kronik dan lain-lain.

Kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin covid-19 di negara ini bukanlah dianggap sebagai ‘tikus makmal”, tetapi kerana mereka merupakan kelompok kumpulan yang terdedah kepada risiko yang paling tinggi untuk dijangkiti virus corona atau berisiko mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah memberi jaminan vaksin covid-19 yang akan digunakan dalam wajib melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan tidak akan mengambil remeh dalam soal ini.

Kenyataan Perdana Menteri itu sekaligus menangkis dakwaan yang menganggap bahawa kumpulan pertama yang akan menerima vaksin covid-19, diibaratkan sebagai bahan uji kaji bagi menilai tahap keberkesanan vaksin.

Selain itu, pemantauan berterusan akan turut dilakukan NPRA terhadap semua penerima vaksin covid-19 untuk menilai tahap keselamatan dan keberkesanannya.

Syarat-Syarat Mendapatkan Vaksin COVID-19

Sebagai permulaan dalam proses vaksinasi covid-19, beberapa syarat telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Berikut merupakan antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi seseorang sebelum menerima vaksin COVID-19:

  • Tidak menghidap penyakit kronik
  • Bukan kontak rapat
  • Suhu badan normal (bawah 37.5 darjah celcius)
  • Tekanan darah normal
  • Tidak menghidap masalah imuniti

Apa Kata Mereka Yang Telah Menerima Vaksin COVID-19?

Hingga ke saat ini, jumlah penerima vaksin telah mencecah lebih daripada sejuta orang di seluruh dunia. Selain daripada barisan hadapan dan orang awam, telah ramai nama-nama besar, pemimpin-pemimpin negara, selebriti di seluruh dunia yang sudah pun menerima suntikan vaksin COVID-19.

1. Di Amerika Syarikat, Joe Biden berusia 78 tahun iaitu Presiden Amerika Syarikat yang baru dilantik telah menerima suntikan kedua vaksin covid-19 di Hospital Christiana di Newark. Beliau berterima kasih kepada jururawat yang menyuntik lengan kirinya dengan dos kedua vaksin Pfizer. 

Beliau juga menyatakan dalam satu ucapannya bahawa pemberian vaksin akan menjadi keutamaan nombor satu pentadbirannya bagi memastikan setiap rakyat negara itu mendapat vaksin seperti yang telah dilakukan oleh beliau secepat yang mungkin. Ia berikutan negara itu antara negara yang paling terjejas teruk akibat jangkitan COVID-19 dengan purata kes kematian sebanyak 3000 orang setiap hari. Dianggarkan lebih 25 juta dos pertama vaksin COVID-19 sudah diedarkan ke klinik, hospital dan rumah penjagaan warga emas di seluruh negara itu.

Difahamkan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence terlebih dahulu menerima suntikan vaksin Coronavirus sebelum Joe Biden.

2. Sandra Lindsay, jururawat di Pusat Perubatan Yahudi Long Island, Amerika Syarikat, telah menjadi individu pertama di negara itu menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang disiarkan secara langsung di televisyen. Menurut Sandra Lindsay, beliau tidak rasa pengambilan suntikan vaksin covid-19 berbeza dengan suntikan vaksin lain. Beliau juga menyarankan orang ramai untuk turut menerima suntikan vaksin berkenaan.

3.Presiden Indonesia, Joko Widodo atau juga dikenali sebagai Jokowi merupakan orang pertama menerima vaksin COVID-19 di negaranya. Beliau menceritakan pengalamannya disuntik vaksin virus corona dengan mengatakan tidak berasa sakit ketika disuntik. Selain itu, beliau juga berharap seluruh masyarakat bersedia untuk divaksin seperti dirinya di samping mengingatkan bahawa proses vaksinasi ini adalah usaha untuk membebaskan diri dari pandemik yang melanda dunia ketika ini. Menurut beliau lagi, vaksin akan diberikan secara percuma kepada rakyat Indonesia secara berperingkat.

Turut sama mendapatkan suntikan vaksin covid-19 di Indonesia adalah beberapa orang tokoh masyarakat seperti Menkes Budi Gunadi Sadikin, Kapolri Jenderal Idham Azis, Panglima TNI Marsekal Hadi Tjahjanto dan Raffi Ahmad.

4.Presiden Israel iaitu Netanyahu, 71, telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi melancarkan pengeluaran vaksin kebangsaan. Beliau berkata bahawa beliau meminta untuk disuntik vaksin Pfizer-BioNTech terlebih dahulu bersama Menteri Kesihatan Israel, Yuli Edelstein sebagai contoh peribadi untuk menggalakkan orang ramai turut mendapatkan suntikan vaksin.

Acara suntikan ini telah disiar secara langsung di televisyen di Pusat Perubatan Sheba di Ramat Gan, berhampiran Tel Aviv.

5.Pelakon dan bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin dan suaminya Sirhan Wahab telah menerima suntikan kedua COVID-19 di Dubai. Menurut Sasha, jururawat memberitahu suntikan kedua ini lebih ringan daripada suntikan pertama dari segi dosnya. Selain itu Sasha juga mengatakan selepas mengambil suntikan pertama, terdapat sedikit kesan sampingan seperti demam, alahan dan lain-lain, tetapi dengan mengambil dos perlindungan, kesan sampingan juga lebih ringan.Tambahnya lagi sehingga kini keadaan semakin baik dan tidak mempunyai sebarang masalah atau kesan sampingan lain serta boleh menjalani rutin harian seperti biasa.

Terdahulu, pasangan ini telah membuat keputusan untuk mendapatkan suntikan pertama menggunakan vaksin Sinopharm selepas melakukan perbandingan dengan satu lagi jenis vaksin iaitu Pfizer, pada bulan Disember tahun lalu. 

6. Doktor Malaysia yang bertugas di luar negara juga kebanyakannya telah menerima vaksin ini. Salah seorang daripadanya adalah Dr Amalina Che Bakri yang sedang bertugas di United Kingdom. Beliau memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa suntikan vaksin tersebut sama seperti suntikan vaksin lain yang sakitnya seperti digigit semut. Dr Amalina juga berkongsi tentang fakta-fakta lain tentang vaksin tersebut dalam postnya di media sosial.

 Kesimpulan

Melalui kisah dan pengalaman orang ramai termasuk pemimpin negara, tokoh masyarakat dan orang berpengaruh, apa yang dapat disimpulkan adalah virus ini boleh menyerang sesiapa sahaja dan semua orang perlu mendapatkan perlindungan yang sewajarnya dalam usaha mengekang penularan jangkitan covid-19.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, setiap individu di negara ini akan menerima dua dos vaksin bagi memastikan perlindungan penuh daripada jangkitan virus itu. Mereka yang menerima vaksin perlu menyimpan kad yang akan diberikan ketika kali pertama diberi suntikan bagi memastikan mereka yang telah disuntik mendapat dos kedua mengikut tarikh yang telah ditetapkan, biasanya dalam julat 21 hari. Di samping itu, turut ditegaskan kepada penerima vaksin tetap perlu mengamalkan norma baharu bagi memastikan perlindungan optimum.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menghargai usaha kerajaan Malaysia dalam memastikan gejala jangkitan covid-19 dapat diatasi dengan menerima suntikan vaksin covid-19 dan mengamalkan norma baharu dengan sepenuhnya.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall