Ketahui Proses Pemberian Vaksin COVID-19 Yang Akan Anda Lalui

Proses Vaksinasi COVID-19: Apa Yang Akan Anda Lalui? - DoctorOnCall

Proses Mendapat Suntikan Vaksin COVID-19

Vaksinasi adalah antara langkah perlindungan yang sangat efektif untuk mengawal sesuatu wabak. Pelbagai penyakit berjangkit telah berjaya dikekang dan hampir pupus dengan pemberian vaksin. Oleh itu, kita amat berharap agar vaksinasi juga dapat membantu kita mengalahkan pendemik COVID-19. Walaupun vaksin bukanlah penawar atau boleh menjamin tidak akan dijangkiti,  namun ia dapat memberikan perlindungan dari segi mengurangkan keseriusan gejala-gejala COVID-19 dan dapat mengurangkan kadar virus dalam badan, secara tidak langsung mengurangkan penularan virus kepada orang lain. 

Antara vaksin-vaksin yang terdapat di negara Malaysia adalah Pfizer-Biontech, Sinovac dan AstraZeneca. Setakat ini vaksin Pfizer dan Sinovac diberikan melalui temujanji yang ditetapkan kepada pengguna yang telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. Manakala vaksin AstraZeneca diberikan pilihan kepada pengguna yang ingin mendapatkan vaksin ini dan tidak perlu menunggu temujanji untuk vaksin Pfizer dan Sinovac. Seseorang boleh mendaftar untuk AstraZeneca melalui laman web vaksin covid-19 dan setakat ini hanya tersedia untuk mereka yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sahaja.  

Jika anda telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera atau laman web vaksin COVID-19 untuk menerima vaksin, mungkin anda tertanya-tanya persediaan atau apakah yang akan berlaku sebelum, semasa dan selepas anda mendapat vaksinasi. Ikutilah penerangan ini supaya anda sentiasa bersedia sebelum tarikh temujanji anda.

1. Jika anda telah berdaftar untuk vaksin AstraZeneca, anda akan menerima tarikh dan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dua minggu sebelum tarikh yang ditetapkan. Anda akan menerima peringatan tentang tarikh temujanji anda melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon ataupun SMS dalam tempoh 2 minggu tersebut.

Begitu juga bagi mereka yang menerima vaksin selain AstraZeneca, anda akan diberi tarikh temujanji apabila tiba giliran anda mendapat vaksin. Peringatan berbentuk SMS atau panggilan daripada pihak klinik atau KKM juga mungkin akan diterima dalam tempoh 2 minggu sebelum anda menerima suntikan.

2. Sebelum anda hadir ke Pusat Pemberian Vaksin, pastikan anda membawa kad pengenalan untuk pendaftaran, telefon bimbit yang mempunyai aplikasi MySejahtera dengan butiran anda dan pen untuk mengisi borang yang disediakan. Anda juga digalakkan untuk memakai pakaian yang longgar berlengan pendek atau baju lengan panjang yang longgar yang mudah untuk dilipat sehingga ke bahu.

3. Ketika hadir di Pusat Pemberian Vaksin sila beratur mengikut stesen yang telah ditetapkan di aplikasi MySejahtera. Anda perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera dan melakukan saringan suhu. 

4. Bila tiba di ruangan menunggu giliran, anda akan diberikan borang persetujuan suntikan vaksin COVID-19 yang mempunyai 2 helaian kertas. Kedua helaian kertas tersebut mempunyai isi kandungan yang sama, dan mempunyai bahagian bahasa melayu dan bahasa inggeris. Anda perlu mengisi kedua-dua helai kertas tersebut dan hanya mengisi dalam satu bahasa sahaja. Anda perlu mengisi nama penuh, nombor kad pengenalan dan nama vaksin yang akan diterima. Anda juga perlu melengkapkan bahagian sejarah kesihatan anda. Namun anda tidak perlu menandatangani borang tersebut dahulu. Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak akan menyediakan pen, oleh itu anda perlu bawa pen sendiri.

5. Setelah nombor giliran anda dipanggil anda perlu ke bilik seterusnya untuk daftar kod QR dan semak identiti. Kemudian anda diberikan konsultasi oleh doktor bertugas tentang kesan sampingan yang boleh berlaku akibat penerimaan vaksin dan anda perlu menandatangani borang persetujuan tersebut di hadapan petugas kesihatan.

6. Setelah konsultasi selesai, anda akan menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 anda. Proses suntikan vaksin COVID-19 adalah sama seperti penerimaan vaksin lain. Bahagian yang akan disuntik akan disapukan dengan alcohol swab untuk membersihkan bahagian tersebut daripada kuman yang boleh menjangkiti anda sewaktu suntikan. Petugas kesihatan akan mencucuk picagari ke dalam bahu dan memberikan suntikan dan menampalkan plaster pada bahagian yang disuntik apabila selesai.

7. Setelah selesai, anda akan diberikan kad vaksinasi yang telah menandakan tarikh anda terima vaksin bersama nama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) anda. Anda akan mula bergerak bersama borang persetujuan anda dan nombor giliran anda ke ruang pemerhatian. Di ruang pemerhatian anda perlu bergerak ke stesen yang diarahkan dan meletakkan borang persetujuan dan nombor giliran anda di dalam bakul yang disediakan. Kemudian anda perlu duduk dan tunggu selama 15-30 minit.

8. Setelah selesai anda boleh pulang ke rumah dan memantau kesan sampingan vaksin yang boleh berlaku semasa berada di rumah. Jika terdapat kesan sampingan yang serius anda boleh kemaskini simptom di aplikasi MySejahtera, atau segera rujuk di klinik terdekat jika mengalami gejala yang membimbangkan.

9. Dos kedua biasanya akan diberikan 12 minggu selepas dos pertama anda. Sila rujuk aplikasi MySejahtera anda untuk maklumat temujanji yang seterusnya.


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall