Kenali Kit Ujian Kendiri COVID-19 & Ujian Saringan Yang Lain

Kit Ujian Kendiri COVID-19. Apa Bezanya Dengan Ujian Lain? - DoctorOnCall

Jangkitan COVID-19 semakin mengganas di negara kita dan juga di seluruh dunia. Kes jangkitan yang semakin tinggi serta varian baru yang semakin kuat amat membimbangkan semua pihak. Ujian saringan semakin giat dilakukan di kawasan zon merah bagi mengekang penularan ini. Selain itu, sesetengah permohonan kebenaran  perjalanan atau kemasukan ke organisasi tertentu juga memerlukan keputusan ujian saringan.

Tentu ramai yang tertanya-tanya apabila mendapati terdapat banyak jenis ujian saringan dan ujian pengesahan jangkitan COVID-19 ini. Yang mana satukah paling tepat, dan adakah ujian berbeza mengikut situasi atau keperluan? Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui jenis-jenis ujian COVID-19 dan bagaimana setiap satunya berfungsi.

Jenis-Jenis Ujian COVID-19



1. Ujian RT-PCR

Ujian RT-PCR adalah yang paling tinggi ketepatannya buat masa ini. Ujian ini adalah paling sensitif untuk mengesan jangkitan COVID-19 yang aktif serta dikira sebagai gold standard dalam diagnosis COVID-19.


Seperti namanya, ujian ini menggunakan teknik reverse transcriptase untuk mengesan kewujudan bahan genetik virus COVID-19 dari sampel swab yang diambil daripada saluran tengorokan iaitu hidung atau tekak.



Bahan dari sampel tadi dicampurkan dengan bahan kimia tertentu untuk mengasingkan bahan lain seperti protein dan lemak bagi mendapatkan RNA sahaja. RNA ini kemudiannya diproses menggunakan teknik reverse transcriptase tadi untuk mendapatkan DNA dengan bantuan sejenis enzim. 


Selepas itu, bahagian DNA virus tertentu ditambah ke DNA yang terhasil tadi. Sekiranya terdapat virus di dalam sampel, bahagian DNA ini akat melekat kepada DNA virus tersebut. Campuran ini kemudiannya akan dimasukkan ke dalam mesin RT-PCR yang akan menggandakan DNA yang terhasil untuk dikesan parasnya. Mesin ini juga memberikan nilai CT atau CT value yang memberitahu berapa kitaran yang diperlukan untuk mengesan virus. Lebih sedikit kitaran atau CT value, semakin serius jangkitan.  


Keputusan ujian RT-PCR biasanya memerlukan masa lebih lama untuk diperolehi. Walaupun satu ujian biasanya memakan masa lebih kurang 2 jam, bagi fasiliti yang mempunyai banyak sampel, keputusan mungkin memerlukan masa lebih lama untuk diperolehi.


2. Ujian RTK-Ag 


Ujian RTK-Ag juga dikenali sebagai rapid test atau Rapid Test Kit Antigen. Berbanding ujian RT-PCR, keputusan bagi ujian ini boleh didapati dalam masa 15-30 minit. 


Ujian RTK-Ag mempunyai kadar ketepatan lebih rendah berbanding RT-PCR. Namun begitu ia amat bermanfaat untuk digunakan bagi saringan COVID-19 dalam kelompok yang ramai bagi mengesan jangkitan aktif.


Tidak seperti RT-PCR yang menggunakan bahan genetik dari virus untuk mengesan jangkitan. Ujian RTK-Ag mengesan sejenis protein yang berada pada permukaan virus. Ujian ini juga memerlukan sampel swab daripada tengorokan iaitu hidung atau tekak.


3. Ujian Antibodi

Ujian lain yang turut digunakan bagi mengesan jangkitan COVID-19 adalah ujian antibodi. Ini bermakna ujian ini mengesan antibodi yang telah dibina setelah dijangkiti. 


Oleh itu, ujian yang dilakukan melalui titisan darah ini ini hanya boleh mengesan seseorang yang telah dijangkiti setelah satu tempoh atau mereka yang telah sembuh daripada jangkitan.


Mereka yang mempunyai jangkitan aktif tidak boleh dikesan dengan ujian ini kerana individu yang telah dijangkiti tetapi masih dalam tempoh inkubasi akan menunjukkan keputusan negatif. Jadi ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai ujian saringan


4. Ujian Air Liur 

Ujian ini adalah ujian terbaru yang diperkenalkan sebagai ujian saringan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Ujian ini juga telah diluluskan oleh FDA. 


Terdapat dua jenis ujian air liur, iaitu ujian air liur yang diambil sebagai sampel dan kemudian diuji di makmal dan juga kit ujian air liur kendiri yang boleh dilakukan sendiri oleh pesakit atau pengguna di rumah. 


Ujian air liur kendiri juga adalah sejenis ujian RTK-Ag yang mengesan kuwujudan protein atau antigen pada permukaan virus di dalam sampel. Berbanding Ujian RTK-Ag biasa yang memerlukan swab atau calitan hidung atau tekak, ujian ini hanya memerlukan air liur. Ianya tidak invasif dan lebih mudah digunakan. Selain itu, kelulusan ujian ini daripada FDA juga mengurangkan terdedahnya para perofesional perubatan terhadap jangkitan dan mengurangkan beban tugas mereka kerana ia boleh dilakukan sendiri oleh orang awam.

Berikut adalah senarai kit ujian air liur kendiri yang telah mendapat kelulusan pihak Medical Device Association Malaysia untuk dijual kepada orang awam.


  1. Salixium-COVID-19 Rapid Antigen Test 

  2. Gmate COVID-19 Ag For Home Use

  3. BRIGHT-COVID-19 Antigen Rapid Test Device

  4. ALL Test COVID-19 Antigen Rapid Test

  5. JustCheck COVID-19 Antigen Rapid Test


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


Pengguna yang ingin menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 ini haruslah mendapatkannya dari farmasi yang berdaftar. Pastikan anda menggunakan kit ujian dengan betul, dan bertanggungjawab melaporkan keputusan ujian sebenar.


Perlu diingatkan bahawa, kit ujian kendiri COVID-19 ini hanyalah ujian saringan. Mereka yang mendapat keputusan ujian yang didapati positif haruslah melaporkan keputusan ujian dan memaklumkan kepada fasiliti kesihatan terdekat untuk tindakan selanjutnya. Mereka yang menggunakan ujian ini haruslah memuat naik keputusan ujian mereka tidak kira postif atau negatid ke dalam aplikasi MySejahtera masing-masing.





* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall