Mengapa Kanak-Kanak Tiada Dalam Senarai Pemberian Vaksin COVID-19?

Adakah Kanak-Kanak Tidak Perlu Vaksin COVID-19?- DoctorOnCall

Kajian mengenai penghasilan vaksin COVID-19  telahpun bermula pada pertengahan tahun 2020. Pelbagai ujian telah dijalankan bagi memastikan keberkesanan dan kebolehupayaan vaksin dalam pencegahan virus COVID-19. Vaksin ini telahpun mula diedarkan ke seluruh negara termasuk Malaysia, vaksin ini menerima tempahan yang tinggi hampir setiap hari. Namun begitu, adakah kanak-kanak dan remaja tergolong dalam kumpulan yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 ?



Pengenalan Vaksin COVID-19

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 yang dihasilkan adalah melalui syarikat Pfizer dan BioNTech. Vaksin yang dihasilkan berjaya menunjukkan keberkesanan sehingga 95% melalui beberapa ujian. Penggunaan vaksin ini telahpun diluluskan serta diakui oleh pelbagai negara termasuk Malaysia. Vaksin ini telahpun berada di pasaran dan mula diedarkan, terdapat beberapa negara yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19. Setiap individu akan menerima 2 suntikan vaksin mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada penghujung Februari 2020, pemberian suntikan vaksin akan dibahagikan kepada 3 fasa. Kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin adalah terdiri daripada 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi COVID-19. Kumpulan pertama ini termasuk petugas kesihatan, PDRM, ATM, Rela, Bomba dan Penyelamat. 

Pemberian suntikan vaksin COVID-19 fasa kedua akan bermula pada bulan April sehingga bulan Ogos 2021. Sasaran utama untuk fasa kedua adalah kumpulan berisiko tinggi seperti :

a) Warga emas berumur 60 tahun keatas

b) Golongan rentan yang mempunyai penyakit kronik

  • Penyakit  jantung

  • Obesiti

  • Diabetes

  • Tekanan darah tinggi

c) OKU  

Pemberian suntikan vaksin COVID-19 fasa ketiga akan bermula pada bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022. Sasaran untuk fasa ini adalah kepada golongan dewasa berumur 18 tahun keatas. 

Vaksin COVID-19 Kanak-Kanak

Setakat ini, suntikan vaksin hanya dibenarkan kepada golongan dewasa sahaja kerana kajian bagi individu bawah umur 18 tahun masih belum lengkap. Sekiranya kanak-kanak berumur bawah 18 tahun menerima suntikan, dikhuatiri akan ada kesan sampingan selepas penggunaannya. Untuk pengetahuan anda, vaksin untuk kanak-kanak masih berada dalam proses ujian klinikal oleh syarikat Pfizer dan Moderna. 



Bilakah Kanak-Kanak Akan Diberi Suntikan Vaksin COVID-19? 

Kajian dan ujian klinikal mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak baru sahaja bermula. Terdapat beberapa perkara yang perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum vaksin COVID-19 ini diluluskan dan selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak. 

Berapa Suntikan Yang Diperlukan Oleh Kanak-Kanak? 

Menurut syarikat Pfizer dan Moderna, ujian klinikal yang dilaksanakan keatas vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak menggunakan konsep yang sama seperti vaksin orang dewasa. Berkemungkinan bilangan suntikan yang akan diberikan adalah sama, namun ia juga mungkin berubah bergantung kepada keputusan ujian yang mereka lakukan.

Kebiasaannya suntikan kedua akan diberikan sebagai “Booster Shot” untuk meningkatkan imuniti yang biasanya menurun selepas sesuatu tempoh. Setakat ini, hanya 2 suntikan sahaja yang akan diberikan. Belum ada kepastian yang tepat mengenai perkara ini dan ia mungkin berubah kerana tempoh ketahanan imuniti yang mampu diberikan oleh vaksin ini masih dalam pemerhatian.



Adakah Vaksin COVID-19 Selamat untuk Kanak-Kanak?

Setakat ini masih belum ada kesan sampingan ataupun komplikasi serius yang berlaku keatas vaksin yang diuji. Menurut Pfizer dan Moderna, vaksin COVID-19 kanak-kanak masih berada dalam proses percubaan dan masih diperingkat awal ujian.

Untuk pengetahuan anda, sistem imunisasi kanak-kanak sangat berbeza dengan orang dewasa dan tindak balas imun mereka adalah tidak sama mengikut umur, dari bayi hingga remaja. Sistem imum kanak-kanak berkemungkinan boleh memberikan reaksi yang berbeza terhadap vaksin yang diberikan, oleh itu kesimpulan tidak boleh dilakukan sehingga kajian telah selesai.



Kesimpulan 

Sebagai peringatan kepada semua orang, menjadi satu tanggungjawab untuk kita terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia seperti memakai pelitup muka, sentiasa membasuh tangan, menjaga penjarakkan dan elakkan diri ke tempat yang sesak dipenuhi oleh orang ramai walaupun kita akan mendapat vaksin tidak lama lagi. Hal ini kerana terdapat sesetengah golongan yang belum atau tidak boleh menerima vaksin ini seperti kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang lain. Ingat, kita jaga kita!



Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall