Definisi perubatan darah istihadah (Abnormal Uterine Bleeding) dan puncanya.

Anonymous

Salam, doktor. Saya ialah seorang suri rumah berusia 40 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 13 tahun. Sejak 6 bulan yang lalu, saya kerap mengalami haid yang tidak menentu. Biasanya kitaran haid saya adalah setiap 30 hari sekali dan pendarahan berterusan selama satu minggu. Kebelakangan ini, saya hanya datang haid 3 hingga 4 bulan sekali. Jumlah pendarahan saya pun tidak menentu. Saya boleh berdarah sedikit sahaja setiap hari ataupun berlarutan selama sebulan. Pada bulan lepas, saya mengalami pendarahan yang banyak sehingga melimpah pada katil selama 20 hari. Namun begitu, saya tidak mengalami senggugut pada setiap kitaran. Ibu mertua saya memberitahu bahawa ini bukannya darah haid tetapi darah istihadah kerana corak pendarahan yang tidak menentu. Bolehkah doktor jelaskan sedikit mengenai darah istihadah ini? Apakah punca berlakunya pendarahan istihadah ini? Terima kasih.

Anonymous
Salam, doktor. Saya ialah seorang suri rumah berusia 40 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 13 tahun. Sej... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan puan. Sebenarnya, maksud istilah istihadah (“abnormal uterine bleeding”) ini merujuk kepada pendarahan dari faraj di luar waktu kitaran haid normal ataupun pendarahan nifas (“lochia”) selepas bersalin.. Punca isithadah ini boleh disebabkan oleh masalah hormon yang mengakibatkan pendarahan secara tidak stabil atau masalah fizikal contohnya ketumbuhan dari dalam rahim yang mengganggu pembentukan dinding rahim.

Pada pendapat saya, puan haruslah berjumpa dengan doktor sekiranya belum berbuat sedemikian. Masalah istihadah boleh mempunyai pelbagai punca dan disarankan mendapatkan siasatan agar mempermudahkan rawatan lanjut. Selain daripada masalah sistem reproduktif, istihadah boleh disebabkan oleh faktor penyakit kronik seperti kencing manis, barah dan sebagainya. Oleh itu, saya ingin menasihati puan untuk berjumpa dengan doktor sebelum berlakunya sebarang komplikasi. Contoh komplikasi misalnya anemia (kurang darah) akibat kehilangan darah yang berterusan. Tambahan pula, saya mencadangkan puan untuk menjalankan pemeriksaan Pap Smear iaitu sejenis ujian untuk kanser pangkal rahim.

Terima kasih atas soalan puan. Sebenarnya, <strong>maksud istilah istihadah (“abnormal uterine bleeding”) ini merujuk... See More

Apa itu istihadah

Istihadah bermaksud pendarahan wanita yang tidak normal apabila berlaku di luar tempoh kitaran haid ataupun dari segi kuantiti pendarahan. Pendarahan jenis ini berpunca daripada organ rahim dan bukannya dari pundi kencing atau kecederaan pada bahagian kemaluan untuk digelar sebagai istihadah. Masalah istihadah ini merupakan sesuatu gejala dan bukannya punca penyakit.

Gejala istihadah adalah seperti berikut:

  • Pendarahan yang tidak menentu. Pendarahan yang berlaku secara rambang dan tidak mengikut kitaran haid.
  • Pendarahan yang terlalu kerap atau berterusan. Pendarahan yang berlaku kurang daripada 21 hari selepas kitaran haid terakhir digelar “polymenorrhea” dalam istilah perubatan.
  • Pendarahan dalam kuantiti yang melampau banyak. Biasanya, dalam satu kitaran haid jumlah darah yang dikeluarkan adalah 10 ml hingga 80 ml sahaja dan tidak melebihi 7 hari. Sekiranya pendarahan melebihi 80ml ataupun 7 hari dikenali sebagai “menorrhagia.” Sebagai contoh, pendarahan melebihi 80 ml juga boleh disamakan dengan sehelai tuala wanita yang penuh dalam masa satu jam.

Apakah punca istihadah

Punca istihadah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori, iaitu masalah hormon, masalah fizikal serta masalah perubatan sistemik.

Untuk memahami punca masalah hormon, kita haruslah memahami serba sedikit mengenai proses yang berlaku dalam satu kitaran haid yang biasa. Sejenis hormon dihasilkan untuk menyebabkan ovum menjadi matang dan keluar dari ovari ke rahim. Dinding rahim menjadi tebal sebagai persediaan untuk penanaman ovari pada dinding rahim. Sekiranya wanita tersebut tidak mengandung, dinding rahim ini akan berderai dari badan melalui pendarahan haid.

Apabila hormon seseorang tidak stabil maka ovum tidak akan matang untuk dikeluarkan dari ovari ke rahim sekali gus mengakibatkan hormon estrogen yang berterusan menjadikan dinding rahim lebih tebal dari biasa. Dinding rahim akan luruh sedikit demi sedikit lalu mengakibatkan istihadah. Fenomena ini dipanggil “anovulatory dysfunctional uterine bleeding” dalam Bahasa Inggeris. Pendarahan tidak abnormal ini kebiasaannya tidak melibatkan senggugut. Masalah hormon ini lazimnya berlaku dalam kalangan wanita yang baru akil baligh ataupun yang sudah hampir putus haid.

Punca istihadah yang kedua merupakan masalah fizikal yang melibatkan masalah rahim tidak normal. Contohnya:

  • Polyp endometrium”. “Polyp” merupakan ketumbuhan pada lapisan paling dalam rahim. Polyp ini tidak berbahaya kepada wanita tetapi mudah berdarah.
  • Fibroid. Fibroid merupakan ketumbuhan dalam lapisan otot rahim yang berlaku dalam 10% hingga 40% para wanita. Ketumbuhan fibroid ini selalunya tidak mendatangkan sebarang gejala tetapi jika terlalu membesar boleh menyebabkan senggugut serta pendarahan yang berlebihan sehingga menyebabkan komplikasi anemia.
  • Kanser. Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling tinggi dihidapi wanita di negara ini dan simptom istihadah boleh dijumpai pada kanser serviks dan kanser endometrium. Justeru itu, para wanita dinasihati untuk menjalankan pemeriksaan oleh pakar sakit puan sekurang-kurangnya sekali dalam 3 tahun terutamanya wanita yang berusia lanjut.
  • “Polycystic ovarian syndrome (PCOS).” Wanita yang menghidapi penyakit ini mempunyai masalah hormon yang menjadikan ovum mereka sukar matang. Wanita tersebut jarang mendapat haid ataupun kitaran haid atau kuantiti pendarahan yang tidak menentu. Biasanya wanita tersebut mempunyai masalah kemandulan dan obesiti.
  • “Intrauterine Copper Device (IUCD).” Alat ini merupakan sesuatu alat tembaga kecil yang dimasukkan ke dalam rahim untuk mencegah kehamilan. Kadang-kala, ia boleh menyebabkan istihadah.
  • Endometriosis. Penyakit ini disebabkan oleh pertumbuhan sel dinding rahim di luar lokasi rahim, contohnya usus, otot, faraj dan sebagainya. Penyakit ini menyebabkan senggugut yang teruk dan pendarahan yang tidak menentu.

Di samping itu, masalah sistem badan juga boleh menyebabkan istihadah. Contohnya:

  • Masalah tiroid. Kandungan hormon tiroid terlalu tinggi (hypertiroid) atau rendah (hypothyroid).
  • Pengambilan ubat-ubatan tertentu. Misalnya pengambilan ubat cair darah ataupun ubat tradisional yang tidak dikawal.
  • Masalah pembekuan darah. Wanita yang mempunyai masalah darah terlalu cair akan mengalami pendarahan yang amat banyak akibat masalah pembekuan darah.

Selain dari punca di atas, pendarahan luar biasa juga boleh berlaku dalam kalangan wanita yang mengandung. Oleh itu, wanita yang mengalami pendarahan luar biasa perlulah menjalani ujian pengesahan mengandung.

Apakah petua untuk perempuan mengalami istihadah

Perempuan yang mengalami istihadah haruslah peka terhadap simptom yang dialami. Oleh itu, mereka haruslah mencatat atau mengingati tarikh kitaran haid serta kuantiti pendarahan untuk mencapai diagnosis.

Sekiranya individu tidak mengambil peduli simptom yang dialami, istihadah akan mendatangkan komplikasi seperti anemia dan komplikasi lain.

Rawatan untuk masalah istihadah diberikan berdasarkan puncanya. Biasanya, rawatan melibatkan:

  1. Ubat hormon untuk menetapkan kitaran haid supaya menjadi normal serta menghalang pendarahan daripada berterusan.

  2. Ubat Ponstan (mefenamic acid) berupaya mengurangkan pendarahan yang melampau dan mengatasi masalah senggugut.

  3. Prosedur kikisan dinding rahim juga boleh dilakukan oleh doktor sekiranya pendarahan tidak dapat dikawal menggunakan ubat.

Kesimpulannya, kitaran haid wanita dapat menunjukkan tahap kesihatannya. Oleh itu, para wanita haruslah mengambil berat istihadah untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan supaya puncanya dapat dikenal pasti dan dirawat awal.

Sekiranya puan mempunyai sebarang pertanyaan, puan bolehlah berunding dengan doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my untuk mendapatkan nasihat lanjut.

References