Apakah Ciri-Ciri Dan Masalah Yang Dihadapi Kanak-Kanak Penghidap Disleksia?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Ogos 12, 2020

Soalan:
Salam doktor, saya seorang ibu yang runsing memikirkan anak saya. Saya ada 3 orang anak, semuanya sudah bersekolah. Paling kecil baru masuk darjah satu. Tetapi dia tidak seperti abang dan kakaknya. Begitu sukar untuk belajar, di sekolah mahupun di rumah. Membaca pun begitu sukar, merangkak-rangkak. Tulis huruf juga selalu terbalik. Adakah ini sesuatu yang normal pada kanak-kanak lain yang sedang membesar? Kerana kakak dan abangnya tidak begini. Mungkinkah dia ada disleksia doktor? Sebenarnya saya tidak pasti apa itu disleksia, adakah ia kecacatan otak seperti autisme? Apa yang patut saya lakukan?
Jawapan:
Salam sejahtera puan, terima kasih atas soalan yang diajukan. Saya faham akan kerisauan puan sebagai seorang ibu. Pertama sekali, untuk makluman puan, tahap perkembangan kanak-kanak tidak semuanya sama. Ada yang lebih cepat, ada yang lewat sedikit. Namun terdapat tahap2 yang perlu dicapai apabila sampai kepada sesuatu peringkat usia. Berkaitan dengan masalah pembelajaran anak puan, terdapat pelbagai faktor yang mungkin boleh menyumbang kepada situasi tersebut, antaranya masalah penglihatan seperti rabun, masalah pendengaran, masalah dalam memberikan tumpuan dan sebagainya. Oleh itu, pemeriksaan yang sewajarnya harus dilakukan kepada anak anda untuk memastikan masalah yang dialami bukan disebabkan oleh masalah-masalah yang boleh dirawat seperti dengan pemakaian cermin mata atau penggunaan alat bantu dengar. Berkenaan dengan kebimbangan puan tentang kemungkinan masalah disleksia tersebut, pemeriksaan lanjut harus dilakukan kepada anak puan sebelum perkara ini boleh dikenal pasti. Disleksia bukanlah kecacatan otak, tetapi ia adalah salah satu keunikan individu. Saya sarankan agar puan merujuk anak puan kepada doktor kanak-kanak agar ujian dan pemeriksaan sewajarnya boleh dilakukan.

​Jangan keliru antara disleksia dan autisme. Autisme merupakan masalah yang lebih rumit melibatkan komunikasi dan tingkah laku manakala disleksia adalah masalah pembelajaran. Penghidap disleksia biasanya mengalami kesukaran menterjemahkan bunyi percakapan kepada bentuk huruf abjad dan perkataan. Disebabkan kesukaran ini, kanak-kanak yang mengalami disleksia biasanya menghadapi kesukaran dalam satu atau lebih kemahiran pembelajaran seperti menulis, mengeja dan mengira. Namun begitu, mereka mempunyai kemahiran berfikir yang normal dan tidak patut dilabel sebagai lambat atau lembam kerana mereka ini boleh dibantu dengan cara tertentu.​

Kanak-kanak disleksia biasanya tidak menunjukkan ciri-ciri atau gejala yang ketara sewaktu kecil. Kebanyakan gejala dikenal pasti apabila mereka mula memasuki alam persekolahan, dimana kemahiran membaca, menulis, mengira, mewarna mula diperlukan. Kebanyakan kes dikesan oleh para guru yang mungkin sedar atau tidak bahawa murid ini mempunyai masalah kerana cara otaknya berfikir yang unik. 

Walaupun kebanyakan ciri disleksia muncul ketika memasuki alam persekolahan, terdapat tanda-tanda yang boleh diperhatikan pada kanak-kanak sebelum umur tersebut. Antara ciri yang boleh diperhatikan ialah:

  • Kanak-kanak lambat bercakap

  • Bercakap pelat atau perkataan sering terbalik

  • Sukar menuturkan perkataan atau rima 

  • Lambat belajar perkataan baru

  • Sukar mengingat huruf, nombor, bentuk atau warna

  • Mengalami kesukaran apabila ingin bercerita tentang sesuatu yang telah didengarnya

Ciri-ciri disleksia yang boleh diperhatikan apabila kanak-kanak ini telah mula bersekolah pula adalah:

  • Tidak memiliki kemahiran membaca seiring usia

  • Sukar memahami atau menterjemah apa yang didengari seperti arahan untuk melakukan sesuatu oleh itu akan mengalami kesukaran mengikuti arahan itu

  • Mengalami kesukaran untuk menjawab soalan atau untuk membina ayat bagi menjawab sesuatu soalan yang diajukan

  • Sukar membezakan persamaan atau perbezaan antara huruf abjad, nombor atau perkataan. Ini menyebabkan mereka sering membaca terbalik seperti “was” menjadi “saw”, abjad “b” menjadi “d” , nombor “21” menjadi “12” dan sebagainya

  • Sukar untuk menyebut sesuatu perkataan yang baru didengari atau dipelajari

  • Kesukaran mengeja

  • Mengambil masa yang lama untuk menyiapkan tugasan yang melibatkan menulis atau membaca

  • Tidak suka atau sering mengelak aktiviti berkaitan membaca. Murid mungkin mengelak apabila disuruh membaca di dalam kelas

  • Pelajar ini juga sukar mengingati hari dan masa kerana keliru dengan konsep semalam, hari ini atau esok

  • Sering hilang barang atau terlupa kerja sekolah

  • Mengalami masalah koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut dan sukar meniti di atas titi

Ciri-ciri disleksia juga boleh diperhatikan pada orang dewasa atau remaja yang menghidapnya. Terutamanya jika tidak dikesan pada peringkat awal. Mereka akan mengalami masalah seperti:

  • Masalah sukar membaca termasuklah membaca dengan kuat

  • Menulis dan membaca dengan sukar dan perlahan

  • Sukar mengeja

  • Mengelak aktiviti membaca

  • Sering salah menyebut perkataan 

  • Tidak boleh memahami jenaka atau perumpamaan 

  • Akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan tugasan jika berkaitan penulisan atau membaca

  • Sukar untuk merumuskan sesuatu cerita

  • Mengalami kesukaran untuk belajar bahasa asing

  • Mengalami kesukaran dalam mengira atau subjek matematik

  • Sukar mengingat

  • Mengeja

Masalah mengeja pada kanak-kanak disleksia biasanya timbul akibat kekeliruan mereka mengenal pastu huruf-huruf yang berbentuk seakan sama seperti ‘m’ – ‘w’, ‘y’ – ‘g’ – ‘j’, ‘u’ – ‘n’,’m’ – ‘n’, ‘c’ – ‘e’, ‘p’ – ‘q’, ‘h’ – ‘n’ dan ‘b’ – ‘d’. Mereka juga mungkin keliru dengan bunyi huruf seperti  ‘t’ – ‘h’ dan ‘f’ – ‘v’. Masalah ini boleh menyebabkan mereka turut mengalami kesukaran membaca. Ini kerana mereka akan terkeliru apabila membaca perkataan yang hampir sama seperti atau menyebut suku kata secara terbalik. 

  • Membaca

Kesukaran membaca adalah salah satu gejala sinonim yang sering ditemui atau dikesan pada penghidap disleksia. Mereka akan membaca tergagap-gagap, menunjuk dengan jari dan membaca dengan intonasi yang tidak sekata tanpa menghiraukan tanda baca. Mereka juga kadang kala melangkau ayat serta salah menyebut perkataan terutamanya perkataan yang jarang didengari. 

Kadang kala, kanak-kanak ini kelihatan seperti membaca, tetapi mereka sebenarnya mereka-reka cerita berdasarkan gambar yang mereka lihat sahaja

  • Menulis

Kanak -kanak disleksia menulis lebih lambat daripada kanak-kanak biasa. Mereka menulis dengan menekan pensil serta sering menggigit pensil atau jari. Hal ini adalah kerana mereka sukar memindahkan maklumat ke atas kertas. Mereka tidak dapat memindahkan apa yang terdapat dalam kotak fikiran kepada otot tangan untuk ditulis. Hal ini menyebabkan mereka perlu berfikir untuk menyusun perkataan atau abjad menjadi ayat sehingga terlupa apa yang mereka sedang cuba untuk tuliskan. Kanak-kanak ini juga akan mengalami kesukaran untuk menyalin maklumat dari papan putih atau buku teks. Tulisan mereka juga tidak kemas, sukar dibaca, tidak mengikut tanda baca dan bentuk tulisan mereka pelbagai.

 

  • Mengira

Sebagaimana mereka keliru dengan huruf abjad, mereka juga keliru dengan simbol matematik dan nombor. Ini menyebabkan mereka sukar mengira. Mereka biasanya akan melakukan kesalahan seperti menulis susunan nombor terbalik, sukar menghafal sifir selain mengalami masalah keliru akan konsep masa dan wang. 

  • Pengurusan diri & sosial

Penghidap disleksia juga mengalami cabaran dalam aspek pengurusan diri. Selain sukar mengikat tali kasut, mereka juga mungkin keliru apabila perlu membutangkan baju. Mereka juga mungkin mengalami diskriminasi kerana dianggap bodoh dan lambat. Hal ini mungkin menyebabkan kebanyakan kanak-kanak ini tidak ramai kawan dan pendiam.


Perkara penting yang perlu dilakukan oleh ibu bapa sekiranya mendapati sebarang masalah pada perkembangan anak-anak adalah merujuk mereka kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut. Pihak guru yang menyedari perkara ini perlu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga murid agar tindakan selanjutnya boleh diambil. 

Selain itu, adalah penting untuk sentiasa bersabar dan tidak merendahkan anak-anak yang mengalami masalah disleksia ini kerana mereka bukanlah cacat atau tidak pandai sebaliknya mempunyai keistimewaan cara berfikir yang tidak sama dengan orang lain. Kebanyakan mereka yang disleksia lebih cenderung kepada seni, namun tidak kurang juga mereka yang mengalami masalah ini berjaya dalam hidup. Malah, jangan terkejut kerana Steve Jobs dan Elbert Einstein juga mempunyai masalah ini. 

Ibu bapa haruslah memupuk keyakinan dalam diri anak yang menghidap disleksia dan bantu mereka membina kemahiran. Bincang dengan guru di sekolah tentang keadaan anak agar guru tahu keadaan anak ini dan boleh membantunya di sekolah. Antara perkara yang boleh dilakukan oleh guru adalah meletakkan murid ini di kedudukan hadapan kelas, bercakap dengan jelas dan kuat serta beri kelonggaran kepada mereka untuk menyelesaikan tugasan mengikut kemampuan. Selain itu, terdapat sesetengah sekolah yang mempunyai kelas khas bagi murid seperti ini. 

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengasah keistimewaan yang mereka ada. Apa yang penting adalah, beri mereka peluang dan ruang untuk maju ke hadapan dengan cara mereka. Terapi pertuturan, latihan pendengaran serta ransangan pelbagai deria adalah antara kaedah bantuan bagi kanak-kanak disleksia. Kumpulan sokongan seperti Persatuan Dyslexia Malaysia boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan. 


Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20