Apa itu Ovarian cyst dan apa cara rawatan selain pembedahan?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita berusia 31 tahun. Suami saya berusia 33 tahun. Kami masih belum mempunyai anak. Kami telah cuba banyak kali tetapi harapan kami sentiasa dikecewakan.

Saya juga telah mengalami keguguran sebanyak dua kali dan ianya sangat menyedihkan kerana saya berasa seperti tidak dapat memberikan kegembiraan yang sepenuhnya kepada suami saya. Saya juga mempunyai haid yang tidak sekata. Namun demikian, saya mengambil ubat tradisonal untuk membantu kitaran haid untuk jadi sekata semula. Di samping itu, baru-baru ini saya mendapati perut saya bertambah besar. Pada mulanya saya ingat saya mengandung. Saya pun berasa sangat gembira tetapi haid saya masih datang tiap-tiap bulan. Sekarang, saya mendapati perut saya bertambah menjadi lebih besar dan ini membimbangkan saya. Saya langsung tidak faham apa yang sedang berlaku. Tambahan pula, saya mempunyai masalah kerap sangat ke bilik air untuk membuang air kecil. Air besar pula menjadi masalah kerana asyik sembelit. Baru-baru ini, saya mula rasa sakit pada bahagian bawah perut dan ini merisaukan saya dan suami saya.

Bolehkah doktor memberitahu apa yang sedang berlaku kepada saya ini? Daripada bacaan say di internet ia kemungkinan ovarian cyst. Apa itu cyst? Saya berharap doktor sudi menjawab soalan saya ini.

Soalan berkenaan - tanda cyst, punca cyst ovari, jenis cyst, cyst ketika hamil

Jawapan:
Terima kasih puan atas soalan. Pada pendapat saya, puan mempunyai masalah cyst ovari. Cyst merupakan ketumbuhan tidak normal yang mengandungi cecair di dalamnya. Dalam kes puan, cyst ini terjadi pada bahagian ovari. Cyst ini pada awalnya kecil tetapi saiznya boleh membesar sekiranya tidak dirawat. Saiz cyst yang besar inilah yang akan memberikan pelbagai masalah kepada puan seperti sakit pada bahagian bawah perut, kerap membuang air kecil dan juga masalah sembelit. Selain itu, cyst ini juga boleh menjadi punca utama puan menghadapi masalah keguguran. Ianya kerana ia mengganggu sistem reproduktif. Puan tidak perlu risau kerana masalah ini mempunyai jalan penyelesaian.

Nasihat saya, puan haruslah berjumpa dengan doktor sakit puan. Mereka akan melakukan beberapa ujian untuk memastikan ketumbuhan cyst tersebut serta saiz dan lokasinya. Berikutan itu, doktor mungkin akan mengesyorkan puan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cyst ovari tersebut. Ialebih baik jika dibuang supaya tidak mendatangkan masalah kesihatan lain. Selain itu, puan juga harus mendapatkan kaunseling bukan sahaja untuk puan malah suami supaya kedua-dua pihak dapat memahami apa yang sedang berlaku dan mengambil langkah pencegahan.

Apa itu cyst

Cyst merupakan ketumbuhan tidak normal yang mengandungi cecair di dalamnya sama ada air, cecair becampuran protein atau darah, darah beku, darah haid, minyak atau lemak. Cyst ini juga kadang kala boleh terjadi bersama dengan ketumbuhan daging seperti kanser, rambut, tulang dan banyak lagi.

Cyst ini juga boleh menandakan wujudnya penyakit yang kemungkinan boleh membawa masalah yang tidak diingini kepada pesakit. Oleh itu, ianya lebih baik untuk dikeluarkan atau dibuangkan. Walapun demikian, cyst ini memang selalunya tidak membahayakan dan bersifat ketumbuhan tidak berbahaya.

Contohnya, cyst ovari yang terjadi kepada wanita selalunya disebabkan oleh kitaran haid yang tidak sekata serta ketidak seimbangan hormon dalam badan.

Cyst yang melibatkan sistem reproduktif wanita adalah seperti:

  • Corpus luteal cyst
  • Follicular cyst
  • Ovarian cyst
  • Dermoid cyst
Cyst yang boleh terjadi kepada golongan wanita serta golongan lelaki ialah seperti:

  • Sebaceous cyst
  • Ganglion cyst
  • Baker’s cyst
  • Pancreatic cyst
  • Renal cyst
  • Thyroglossal cyst
Oleh itu, janganlah kita keliru dan dan perlu faham yang cyst boleh terjadi kepada kedua-dua golongan tidak kira jantina.Fokusnya lebih kepada jenis cyst yang wujud.

Apa perbezaan cyst dengan fibroid

  1. Wanita haruslah peka dan tahu membezakan antara fibroid dan cyst. Hal ini kerana kedua-dua keadaan ini berbeza dan akan menunjukkan simptom yang agak berbeza atau kadang kala serupa. Fibroid merupakan sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim wanita. Ia dikenali dengan nama ‘leiomyoma’ atau ‘myoma’. Selain itu, fibroid juga sering terjadi kepada wanita dalam lingkungan umur 30an – 40an. Ini tidak bermaksud wanita dalam lingkungan umur lain tidak boleh mendapatnya.
  2. Fibroid mengandungi tisu sahaja di dalamnya dan bukan seperti cyst yang mengandungi cecair. Ini bermaksud fibroid lebih keras apabila ditekan berbanding dengan cyst yang berasa lembut apabila ditekan.
  3. Selain itu juga, cyst boleh terjadi kepada golongan lelaki mahu pun perempuan tetapi fibroid pula tertumpu kepada wanita sahaja kerana lokasinya pada dinding rahim. Cyst yang terjadi kepada golongan wanita atau lelaki serupa sahaja kecuali sistem reproduktif.
Fibroid mempunyai beberapa jenis tertentu iaitu:

  • Submukus
  • Pedunkel
  • Sebserous
  • Intramural

Apakah gejala cyst

Setiap individu harus mengambil perhatian mengenai gejala cyst yang berikutan. Hal ini kerana kita haruslah dapat mengenal pasti isu yang sedia ada dan bertindak mengambil langkah pencegahan supaya ianya tidak menjejaskan kesihatan.

Berikut adalah gejala cyst berikutan masalah cyst ovari:

  • Sakit pada bahagian bawah perut
  • Kitaran haid tidak normal atau tidak sekata
  • Pedarahan yang tidak normal
  • Kerap membuang air kecil
  • Pembuangan air besar bermasalah
  • Abdomen membesar tetapi tidak hamil
  • Berlaku keguguran berkali-kali
  • Mandul
  • Tiada selera makan
  • Kurang berat badan
  • Loya dan muntah
Sekiranya cyst tersebut bersifat luaran seperti pada kulit. maka ianya bersifat seperti berikut:

  • Terdapat ketumbuhan atau benjol pada kulit
  • Berasa panas pada kawasan tersebut
  • Sekiranya benjolan ditekan akan meninggalkan cap
  • Di bahagian tengah benjolan tersebut akan ada titik hitam
  • Demam

Apakah cara mengatasinya

Masalah cyst ini walaupun tidak berbahaya sebaiknya dikeluarkan sahaja. Hal ini kerana bimbang sekiranya saiz cyst tersebut bertambah besar ia akan mengakibatkan gangguan kepada struktur berhampiran dan mengundang masalah yang tidak diingini.

  • Selalunya berdasarkan pegalaman doktor mereka akan mengesyorkan cyst yang kecil diabaikan begitu sahaja kerana ianya tidak mengganggu kesihatan badan kita. Namun demikian, jika didapati cyst tersebut mendatangkan masalah maka ianya lebih baik untuk di keluarkan.
  • Sekiranya cyst tersebut didapati sangat besar maka doktor akan melakukan langkah-langkah drastik untuk mengeluarkannya. Salah satu cara merawatnya ialah menggunakan jarum dan memasukkannya ke dalam cyst tersebut dan menyedut keluar kandungannya. Ini akan menjadikan cyst tersebut kosong di dalamnya dan perlahan-lahan akan kempis.
  • Selain itu, kaedah lain ialah dengan mengeluarkan cyst tersebut secara keseluruhan menggunakan teknik surgikal. Hal ini selalunya dilakukan jika mendapati cyst tersebut terlalu besar atau merbahaya
Kesimpulannya, cyst ini harus diawasi dari semasa ke semasa. Sekiranya tidak berbahaya maka boleh diabaikan tetapi jika mendatangkan sakit atau masalah kesihatan lain, maka lebih baik segera dikeluarkan supaya kesihatan kita sentiasa terjamin.

 Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy