Batuk Berdarah (Coughing Up Blood) - Apakah penyebab dan gejalanya

Anonymous
Salam sejahtera dan selamat pagi. Nama saya Amirul, saya berusia 53 tahun. Saya seorang kontraktor rumah sejak berusia 25 tahun dan masih belum berumah tangga. Semalam saya mengalami batuk berdarah. Jumlah darah tersebut tidak begitu banyak namun ia amat merisaukan saya. 4 tahun lalu, saya telah didiagnos dengan penyakit batuk kering/ Tibi. Saya telah disahkan bebas daripadanya selepas saya mengambil rawatan yang disarankan. Namun, sejak 5 bulan yang lalu, saya mula mengalami batuk yang amat teruk. Batuk yang saya alami berbeza jika di bandingkan dengan batuk sewaktu saya menghidap Tibi. Ia berkahak dan kadang kala saya juga mengalami sesak nafas. Saya amat risau dengan kesihatan fizikal saya. Saya harap doktor boleh bantu saya.
Anonymous
Salam sejahtera dan selamat pagi. Nama saya Amirul, saya berusia 53 tahun. Saya seorang kontraktor rumah sejak berusia 2... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Sebab batuk berdarah boleh berbeza mengikut usia dan juga keadaan fizikal seseorang. Memandangkan anda pernah menghidap penyakit batuk kering seperti Tuberkulosis, ia boleh menjadi faktor risiko kepada batuk berkahak dan berdarah yang anda alami. Apabila seseorang mengalami penyakit Tibi, jangkitan yang kronik ini menjadi penyumbang kepada masalah Bronchiectasis iaitu kerosakan bronchi (saluran udara sebelum paru-paru). Saluran tersebut menjadi lebih luas daripada normal secara kekal sehingga menyebabkan mukus tersangkut pada ruang saluran tersebut. Maka, pesakit akan mula mengalami sesak nafas. Walaubagaimanapun, kami memerlukan maklumat lanjut serta pemeriksaan untuk mengesahkan diagnosis tersebut.
Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Sebab batuk berdarah boleh berbeza mengikut usia dan juga keada... See More

Apakah Penyebab Batuk Berdarah?

Batuk berdarah atau secara terma medikalnya dikenali sebagai hemoptisis ialah gejala yang digeruni ramai. Hal ini kerana perkataan berdarah memberi gambaran buruk dan serius kepada umum serta sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit berbahaya seperti barah. Namun, jika diselami dan diperiksa dengan teliti, ia bukan hanya menjurus kepada penyakit barah semata-mata. Ia boleh disebabkan oleh masalah seperti jangkitan virus yang lazim dialami oleh masyarakat akibat batuk yang berterusan sehingga menyebabkan kahak berdarah. Berikut ialah penyebab-penyebab utama masalah tersebut:

Bronkitis

  • Jika anda seorang perokok tegar, mengalami batuk berkahak yang berterusan selama 3 bulan dalam masa 2 tahun berturut-turut, mengalami sakit dada dan sesak nafas, anda mungkin mengalami masalah ini. Umum mengetahui asap rokok mengandungi seribu satu bahan yang boleh merosakkan paru-paru. Bronkitis ialah akibat daripada bahan kimia rokok yang menyebabkan keradangan paru-paru sehingga mukus menyempitkan ruang udara paru-paru sehingga sesak nafas. 

Bronkiektasis

  • Melindungi daripada jangkitan paru-paru yang kronik dan kerap adalah amat penting kerana pesakit boleh mengalami komplikasi seperti Bronkiektasis. Hilang berat badan, sesak nafas, batuk berkahak yang banyak dan berlebihan serta berdarah ialah gejala yang menjurus kepada masalah ini. Kebanyakan pesakit akan mengalami kegagalan fungsi paru-paru jika tidak dirawat. 

Abses paru-paru

  • Abses merupakan jangkitan yang menghasilkan nanah didalam selaput yang tidak boleh dirawat hanya dengan antibiotik. Hal ini kerana antibiotik tidak boleh menembusi lapisan tersebut. Ia merupakan komplikasi penyakit paru-paru berkuman. Pesakit akan mengalami mulut berbau, batuk berkahak, demam yang kadang-kadang kebah dan kadang-kadang semakin meneruk. Jika dibiarkan berterusan pesakit boleh maut akibat sepsis.

Penyakit autoimun 

  • Pelbagai jenis penyakit unik yang boleh menyebabkan masalah ini seperti granulomatosis, Lupus, Sindrom Churg-Strauss dan sebagainya menyebabkan keradangan salur darah kepada paru-paru. Salur darah tersebut menjadi mudah rosak lebih-lebih lagi apabila tekanan dan trauma fizikal diberikan sepanjang batuk berterusan. Maka, doktor kebiasaannya akan melihat tanda-tanda fizikal lain yang boleh menjadi petanda kepada penyakit tersebut. Sebagai contoh, Lupus boleh dikaitkan dengan kaum wanita, ruam pada kulit, sakit pada sendi di jari, masalah kerosakan buah pinggang dan sebagainya. 

Barah paru-paru

  • Lazimnya, pesakit yang menghidapi penyakit ini ialah seorang perokok tegar, mengalami sesak nafas, berat badan menurun dengan mendadak, batuk berdarah, masalah pada kelenjar adrenal dan perubahan enzim hati. Namun, jika diteliti, tiada satu gejala pun yang benar-benar menjurus kepada penyakit yang digeruni ramai ini. Oleh itu, ujian seperti biopsi ialah ujian yang diperlukan untuk mengesahkan penyakit tersebut. 

Kesan sampingan ubat pencair darah

  • Pencair darah boleh memberi risiko pendarahan jika pesakit tidak mengambil rawatan mengikut waktu yang ditetapkan. Kadang-kala pesakit mungkin terlupa dan mengambil ubat tersebut secara berlebihan dan hal ini memberi risiko kepada batuk berdarah.

Darah beku di saluran pulmonari (Pulmonary Embolism)

  • Walaupun jarang berlaku, terdapat risiko untuk mengalami batuk berdarah melalui kondisi ini. 

Apakah Gejala Berkaitan Dengan Batuk Berdarah?

Batuk berdarah lazimnya tidak terjadi sendiri tanpa gejala lain yang berkaitan. Kadang-kala ia boleh disalah erti sebagai gejala hingus berdarah. Hal ini kerana rupanya yang lebih kurang sama dengan kahak berdarah iaitu gejala utama batuk berdarah. Setiap gejala menjadi petanda kepada doktor untuk mendapatkan diagnosis bagi memberi rawatan yang bersesuaian. Antara gejala lain yang berkaitan ialah:

  • Hilang berat badan tanpa sebarang diet atau bersenam
  • Sesak nafas
  • Sakit dada
  • Batuk berkahak
  • Mulut berbau
  • Demam
  • Batuk yang kronik

Bagaimanakah Batuk Berdarah Dirawat?

Setiap penyakit memiliki rawatan tersendiri. Memandangkan gejala ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara, rawatan yang bersesuaian adalah dengan merawat punca sebenar masalah tersebut. Namun, jika anda telah mengalami gejala ini secara kronik, batuk yang menyebabkan anda mengalami gejala seperti sesak nafas, pening, sakit dada, dan letih yang berlebihan, anda harus ke bahagian kecemasan dengan segera. 

Bagi pesakit yang mengalami masalah pendarahan yang berlebihan, anda akan dirawat seperti berikut:

  • Menstabilkan keadaan anda dengan memeriksa nadi, paru-paru serta keadaan umum anda dan memberikan rawatan seperti memasukkan darah ke dalam badan anda.
  • Setelah stabil, pakar akan mengenal pasti punca pendarahan dengan melaksanakan cara-cara seperti pembekuan darah yang terjejas (Bronchial artery embolization), menutup pendarahan dengan menggunakan laser (Bronchoscopic laser therapy) dan pembedahan (surgical resection). 

Jika doktor mengenal pasti masalah yang anda hadapi berpunca daripada masalah seperti Bronkitis, Bronchiectasis, Tuberkulosis, rawatan yang diberikan ialah antibiotik.

Apakah Komplikasi Batuk Berdarah?

  • Asphyxia

Apabila pendarahan yang dialami berterusan, ia boleh menyebabkan darah beku dan menghalang daripada oksigen dihantar kepada organ badan. Hal ini menyebabkan komplikasi kritikal yang boleh menyebabkan kematian. 

  • Tercekik darah 

Komplikasi ini boleh berlaku jika pendarahan yang dialami berterusan dan banyak. Hal ini boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas dan mengurangkan kandungan oksigen dalam badan. 

  • Jangkitan paru-paru

Pesakit memiliki risiko ini kerana terdapat kebarangkalian darah tertinggal dan bertakung di dalam paru-paru. Keadaan ini menyebabkan persekitaran yang kondusif bagi kuman untuk membiak dan menyebabkan pesakit dijangkiti kuman

  • Kejutan berdarah (Haemorrhagic Shock)

Kejutan ini akibat pendarahan berlebihan yang menyebabkan kekurangan kandungan darah dalam badan. Situasi ini akan menyumbang kepada kekurangan oksigen dan merosakkan organ badan. 





References