Apakah Punca Dan Gejala Batuk Kering (Dry Cough)?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera doktor. Saya berumur 42 tahun dan bertugas sebagai seorang pegawai imigresen. Saya telah berkahwin dan isteri saya seorang guru. Kami mempunyai 3 orang anak yang masih bersekolah. Saya juga merokok tetapi tidak kerap. Sejak kebelakangan ini saya mengalami batuk kering yang sangat teruk. Ianya mengakibatkan saya mempunyai sakit dada yang teruk. Batuk kering ini berlarutan selama 2 minggu. Saya telahpun ke farmasi dan membeli ubat batuk tetapi tidak dapat menyembuhkannya. Selama seminggu ini, saya juga tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam. Saya asyik berpeluh dan menggigil kesejukan walaupun hanya menggunakan kipas sahaja di rumah. Saya juga kadang-kadang demam tetapi ia tidak tetap dan kadang-kadang ada dan kadang-kadang tidak. 

Pada mulanya, saya ke klinik dan doktor di sana cakap saya hanya demam biasa sahaja dan memberikan saya ubat demam. Namun kesihatan saya tidak bertambah baik malah semakin merosot. Saban hari, saya pun berasa sangat lemah dan telah hilang berat badan. Saya tidak begitu pasti berapa banyak berat saya turun tetapi pakaian saya telah menjadi longgar. Tambahan pula, selera makan saya pun kurang dan saya berasa tidak bermaya. Bolehkah doktor memberitahu saya apa yang berlaku kepada kesihatan saya ini? Bolehkah juga doktor memberitahu apakah rawatan yang sesuai untuk masalah saya?
Jawapan:
Terima kasih untuk soalan encik dan terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Saya akan berusaha menjawab segala persoalan dan keraguan encik. Pada pandangan saya, berdasarkan keterangan dan gejala-gejala yang diberitahu oleh encik, encik mungkin menghidap penyakit Tuberkulosis . Tuberkulosis merupakan penyakit berjangkit dan merupakan jangkitan kuman di paru-paru. Melalui pekerjaan, encik mungkin dijangkiti penyakit ini sewaktu bertugas di pondok imigresen. Sebagai petugas imigresen, encik berhadapan dengan ramai pekerja luar negara.

Mungkin mereka menghidap penyakit ini dan ianya telah merebak kepada encik. Ini boleh berlaku menerusi batuk, bersin, bercakap. Simptom yang diberitahu oleh encik iaitu batuk kering selama 2 minggu lebih dan lain-lain mirip simptom pesakit tuberkulosis. Penyebab jangkitan ini ialah bakteria bernama ‘Mycobacterium tuberculosis’.Encik tidak perlu risau, tetapi encik haruslah mengambil ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor dalam jangka masa tertentu. Ubat-ubat yang diberikan bukanlah ubat demam atau batuk. Ubat tersebut akan membantu membasmikan kuman tubekulosis dalam badan. 

APAKAH TUBERKULOSIS

Tuberkulosis atau nama lain batuk kering merupakan jangkitan kuman yang dikenali sebagai ‘Mycobacterium tuberculosis’.Paru-paru merupakan organ pertama dan utama yang menjadi sasaran. Namun, organ lain juga turut boleh dijangkiti kuman ini seperti otak, tulang belakang, sendi dan lain-lain. Jangkitan ini juga boleh menjangkiti golongan dewasa dan juga golongan kanak-kanak.

APAKAH PENYEBAB TUBERKULOSIS

Penyebab utama tuberkulosis ialah kuman ‘Mycobacterium tuberculosis’. Jangkitan ini merebak melalui udara. Apabila individu yang menghidap tuberculosis batuk, bersin atau ludah, jangkitan ini akan menular di udara dan menjangkiti orang sekeliling. Hal ini kerana batuk kering merebak melalui titisan air di udara. Apabila bakteria berjaya masuk ke dalam badan, ia akan terus ke paru-paru dan lama-kelamaan akan bergerak menerusi saluran darah ke tempat-tempat lain di badan.

APAKAH GEJALA TUBERKULOSIS

  • Gejala tuberkulosis secara umumnya mengakibatkan demam, menggigil kesejukan, berpeluh malam, kekurangan berat badan dan kurang selera makan. Gejala ini juga boleh dibahagikan kepada pulmonari (di dalam paru-paru) dan di luar paru-paru iaitu melibatkan organ lain atau dikenali sebagai luar pulmonari.
  • Apabila melibatkan pulmonari, pesakit akan datang dengan simptom seperti sakit dada atau batuk kering yang berlarutan selama 2 minggu atau lebih.
  • Apabila organ lain dijangkiti, simptom yang boleh dikenal pasti bagi gejala ini terbahagi mengikut sistem dalam badan kita. Contohnya, apabila jangkitan ini sampai ke otak, pesakit tersebut dikatakan mempunyai ‘tuberculous meningitis’ dan simptomya merupakan akit kepala, leher menjadi kaku dan silau kepada lampu.
  • Sistem lain yang boleh terjadi akibat dari kuman ini ialah limpa, abdomen, sendi, tulang belakang, sistem genitourinari dan lain-lain.

APAKAH RAWATAN TUBERKULOSIS

  • Rawatan tuberkulosis memerlukan komitmen dan disiplin tinggi dari pesakit sendiri. Hal ini kerana untuk membendung jangkitan ini, pesakit perlulah memakan ubat mengikut jangka waktu yang ditetapkan. Selain itu, langkah-langkah untuk berhati-hati supaya jangkitan ini tidak merebak kepada orang lain haruslah diamalkan dengan efektif.
  • Langkah pertama ialah isolasi. Pesakit tuberkulosis haruslah diasingkan daripada pesakit lain apabila dimasukkan ke wad di hospital. Staf hospital yang ingin merawat atau memberi ubat kepada pesakit haruslah memakai sarung tangan dan topeng apabila mendekati pesakit.
  • Langkah kedua ialah ubat. Ubat yang akan diberikan kepada pesakit ialah isoniazide, rifampicin, pyrazinamide dan ethambutol. Pada mulanya, pesakit akan diarah mengambil keempat-empat ubat ini dan doktor akan kerap memantau perkembangan kesihatan pesakit. Sekiranya, pesakit semakin pulih, satu per satu ubat tersebut akan dikurangkan.
  • Pengambilan ubat harus dilakukan untuk 4-6 bulan. Sepanjang proses ini, pesakit akan dinasihatkan mengenai kesan negatif ubat-ubat yang diberi. Salah satu kesan negatif yang utama ialah kencing bertukar warna kepada warna oren atau merah-merahan.
  • Pesakit haruslah diberitahu mengenai kesan sampingan ini dengan lebih awal supaya mereka tidak panik. Ubat haruslah diambil dengan pengawasan staf perubatan untuk memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Sehubungan dengan itu, sepanjang proses pengambilan ubat, pesakit akan berasa lebih sihat tetapi mereka haruslah mengambil ubat secara berterusan dan jangan meninggalkan pengambilan ubat walaupun sekali kerana ia akan membiarkan bakteria menjadi lebih kuat.
  • anak kecil juga haruslah dipastikan tidak dijangkiti kuman ini pada usia yang kecil. Oleh itu, langkah pencegahan bagi anak ialah memberi vaksin BCG semasa lahir dan vaksin BCG juga merupakan satu kriteria wajib di negara kita. Vaksin inilah yang menjadi pelindung utama supaya mereka tidak dijangkiti kuman ini pada usia yang begitu kecil.

SIAPAKAH YANG BERISIKO DIJANGKITI PENYAKIT INI

  • Semua golongan boleh dijangkiti penyakit ini tetapi ada segelintir golongan yang sangat mudah menjadi sasaran bagi jangkitan ini. Hal ini kerana sistem imun badan mereka yang lemah. Golongan ini adalah mereka yang menghidapi penyakit HIV atau AIDS dan kencing manis serta mereka yang sebelum ini pernah dijangkiti kuman yang sama.
  • Penyebab utama hal ini berlaku kerana sistem imun mereka sudahpun menjadi lemah dan tidak mampu menyerang bakteria yang menembusi badan. Golongan bayi dan orang tua merupakan golongan yang berisiko tinggi. Tambahan pula, golongan yang mempunyai tahap nutrisi yang rendah dalam badan juga berisiko untuk dijangkiti kuman ini.
  • Selain itu, golongan yang harus pergi untuk pemeriksaan tuberkulosis ialah individu duduk serumah dengan pesakit tuberkulosis, individu dari negara lain dimana tuberkulosis merupakan sebuah penyakit yang kerap berlaku, staf-staf hospital atau klinik yang berdepan dengan mereka yang dijangkiti tuberkulosis.

APAKAH CARA-CARA MENGESAN TUBERKULOSIS DALAM BADAN

Terdapat pelbagai cara untuk mengesan bakteria ini dalam badan kita. Cara yang terpantas dan termudah ialah menggunakan X-ray. Kita bolehlah gunakan x-ray pada paru-paru kita dan melihat sekiranya terdapat bakteria dalam paru-paru. Seterusnya, kita bolehlah mengambil sampel kahak dan menghantar ke makmal untuk dikaji. Pihak makmal akan membuat ujian dan mengetahui jenis bakteria yang menjangkiti tubuh badan. Selain itu, ada juga ujian yang dikenali sebagai ‘Tuberculin Skin Test’. Ujian ini dilakukan dengan memberikan suntikan tuberculin kepada pesakit dan memantau kulit mereka untuk sebarang reaksi.

APAKAH LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN INI

  • Jangkitan ini sememangnya sangat bahaya dan harus dibendung. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang efektif yang boleh diamalkan untuk bersama-sama menghindari daripada dijangkiti gejala ini. Langkahnya adalah seperti memakai topeng muka N95 yang sememangnya disarankan oleh kerajaan sebagai topeng paling efektif untuk jangkitan ini.
  • Seterusnya, mengamalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul. Hal ini akan membantu membasmi kuman-kuman pada tangan kita. Selain itu, kita juga bolehlah memakai sarung tangan apabila mengendali pesakit seperti ini. Sekiranya, seseorang itu mahu batuk atau bersin, dicadangkan agar mereka menutup mulut sebelum berbuat demikian untuk mengelakkan bakteria merebak.

APAKAH JENIS TUBERKULOSIS YANG ADA

Tuberkulosis ini mempunyai 2 sifat yang pertamanya tidak aktif dan keduanya aktif. Dalam keadaan tidak aktif, apabila seseorang dijangkiti tuberkulosis, bakteria akan berada dalam badan mereka tetapi tidak akan menunjukkan sebarang simptom. Namun, pada bila-bila masa sahaja ia boleh menjadi aktif. Jadi, rawatan haruslah diambil.
Sifat keduanya ialah aktif di mana pesakit akan menunjukkan simptom jangkitan ini dan boleh menjangkitkan orang lain. Oleh itu, langkah membendung harus diambil dengan segera untuk menjamin kesihatan mereka.

APA AKAN BERLAKU JIKA SAYA TIDAK MENGAMBIL UBAT DENGAN BETUL?

  • Sekiranya tertinggal ubat-ubatan, ianya akan mengakibatkan ‘Drug Resistant’ tuberkulosis. ‘Drug resistant’ tuberkulosis merupakan tuberkulosis di mana bakteria telah berjaya melawan ubatan yang diberi. Hal ini menunjukkan bahawa pemberian ubat yang sama tidak lagi dapat membantu membunuh atau membasmi kuman dari badan pesakit. Ini disebabkan oleh pesakit tersendiri yang berkemungkinan besar tidak mengambil ubat dengan betul lalu memberikan kekuatan kepada bakteria untuk melawan ubatan yang diberi. Oleh itu, cara untuk merawat kes seperti ini adalah dengan menukarkan ubat kepada jenis lain dan memantau pesakit dan status kesihatannya.

  • Sebagai kesimpulannya, kita haruslah berwaspada terhadap gejala-gejala tuberkulosis. Sekiranya seseorang itu disyaki ada gejala tersebut maka mereka haruslah segera mendapatkan rawatan supaya penyakit tersebut dapat dibendung pada tahap yang awal.Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan encik.

Jika encik masih mempunyai soalan tentang masalah ini,encik boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. Terima Kasih.
Layari laman web www.doctoroncall.com.my untuk maklumat lanjut.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >