Apakah Kandungan Dalam Rokok Dan Bahayanya? Apakah Ada Cara Berhenti Merokok?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 16, 2020

Soalan:

Salam doktor. Saya merupakan perokok tegar dan telah mula merokok sejak 20 tahun lalu. Sejak kebelakangan ini, saya sering mengalami beberapa masalah seperti batuk, pening dan sakit kepala serta kesukaran bernafas. Isteri, keluarga serta rakan-rakan menasihati saya supaya berhenti merokok kerana mereka kata gejala yang saya dapat tu adalah disebabkan oleh tabiat merokok saya. Untuk maklumat doktor, saya akan hisap 2 kotak rokok sehari tak kira masa. Saya ada berniat nak berhenti merokok tapi tak tahu cara yang paling bagus. Boleh ke doktor ceritakan tentang cara berhenti merokok? Alang-alang tu boleh ke kalau doktor cerita sekali komplikasi, bahaya atau kesan akibat merokok?

Jawapan:

Terima kasih atas soalan yang diberikan. Tahniah kerana anda telah berniat ingin cuba berhenti merokok kerana langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan menanam niat dan azam tersebut. Untuk maklumat anda, terdapat pelbagai sebab atau penyakit yang boleh disebabkan merokok seperti batuk, pening dan sakit kepala serta kesukaran bernafas. Antaranya seperti:

  • Jangkitan paru-paru (pneumonia)
  • Asma
  • Penyakit batuk tibi
  • Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD)

Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut diperlukan sebelum kesimpulan dapat dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor. Antara kesan buruk apabila seseorang merokok adalah seperti strok (angin ahmar), masalah jantung, masalah pernafasan, masalah sistem reproduksi dan banyak lagi. Namun, terdapat pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk berhenti merokok seperti terapi kumpulan dan kaunseling, penggunaan tampalan nikotin dan gula-gula getah nikotin.

Apakah Bahan Dalam Rokok?

Rokok ialah tembakau yang dibaluti dengan kertas dan apabila seseorang menghisap rokok, individu tersebut boleh menghembuskan asap yang dikeluarkan dari paru-paru melalui mulut dan hidung. Terdapat lebih 7,000 bahan kimia yang digunapakai untuk menghasilkan sebatang rokok seperti bahan cat, racun dari eksos kereta, kadmium yang terkandung di dalam bateri, bahan pelarut toluena, ammonia yang digunakan untuk mencuci tandas, naftalena dari ubat gegat, tar untuk membuat jalan, asenik yang dipakai untuk membuat racun tikus dan nikotin yang digunakan untuk membunuh serangga. Walaupun rokok mempunyai seribu satu keburukkan yang bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan malah kewangan perokok, ianya masih dihisap kerana ketagihan yang dialami oleh kebanyakkan perokok yang sukar untuk dibendung.

Dalang kepada ketagihan ini ialah nikotin, salah satu daripada bahan yang terkandung dalam rokok. Nikotin akan sampai ke otak dalam masa hanya 8 saat selepas perokok menghisap rokok dan akan merangsang degupan jantung menjadi lebih laju, bacaan tekanan darah akan meningkat, meningkatkan kepekaan terhadap persekitaran dan mengurangkan selera makan.

Apakah Kesan, Bahaya & Akibat Merokok?

Oleh kerana rokok diperbuat daripada pelbagai bahan kimia yang merbahaya, tidak hairanlah kesannya sangat memudaratkan. Ia boleh mengancam dan menjejaskan pelbagai sistem di dalam tubuh badan termasuklah otak, jantung, paru-paru, sistem reproduksi, kesihatan mental dan banyak lagi. Antara kesan atau akibat bahaya yang disebabkan oleh perbuatan merokok ialah:

  • Strok dan masalah jantung
  • Strok atau nama lainnya angin ahmar merupakan sejenis penyakit yang mana saluran darah ke otak menjadi sempit dan mengakibatkan otak kekurangan oksigen kerana darah yang sampai ke otak menjadi sedikit. Strok juga boleh mengakibatkan kelumpuhan pada separuh, seluruh atau sesetengah anggota badan bergantung kepada kawasan otak yang terjejas. Pada masa yang sama, saluran darah ke jantung juga boleh terjejas dan menjadi sempit dan hal ini boleh mengakibatkan kerosakan kepada sel jantung kerana kekurangan bekalan oksigen. Lama kelamaan, bekalan oksigen ke jantung terus berkurangan, sel di jantung akan mati dan mengakibatkan kegagalan jantung. Masalah strok dan jantung ini disebabkan oleh nikotin yang mengakibatkan saluran darah menjadi rosak dan sempit.

  • Masalah pernafasan & kanser paru-paru
  • Asap rokok akan menghakis dan merosakkan lapisan saluran pernafasan dan paru-paru. Hal ini kerana bahan yang terkandung di dalam rokok mempunyai banyak bahan karsinogenik dan asap rokok akan menyebabkan tisu dan sel pada lapisan paru-paru untuk mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Apabila lapisan saluran pernafasan kerap terdedah kepada bahan karsinogenik, perubahan mendadak akan berlaku pada tisu dan sel tersebut dan ia boleh berubah menjadi sel kanser. Pada masa yang sama, hal ini juga akan merangsang saluran pernafasan untuk menjadi lebih sempit, menyebabkan rembesan lendir dan cecair yang berlebihan pada paru-paru, dan akibat daripada ini, pesakit akan mengalami masalah kesukaran bernafas, batuk, semput dan kepenatan yang berpanjangan. Apabila pesakit didiagnos penyakit kanser paru-paru, peluang untuk sembuh adalah sangat nipis boleh menyebabkan kematian.

  • Masalah sistem reproduksi
  • Perokok lelaki pula, anda mungkin terdedah kepada risiko mati pucuk. Alangkah malangnya jika badan sihat dan tegap tetapi kalah di medan asmara. Sudahlah kalah awal, perokok juga berkemungkinan untuk mandul. Ya! Kajian mendapati radikal bebas dan karsinogenik dari rokok boleh menjejaskan testis dan sistem reproduksi secara keseluruhannya. Kiraan sperma akan berkurangan dan hal ini akan mengurangkan kesuburan seseorang lelaki dan menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

  • Selalu tertekan
  • Anda mungkin merasakan yang merokok boleh menghilangkan stress, tetapi stress seperti apakah yang boleh diselesaikan melalui kaedah ini ? Adakah dengan merokok masalah boleh diselesaikan? Tepuk dada, tanya selera. Merokok boleh menyebabkan seseorang lebih tertekan kerana kebergantungan dan ketagihan terhadap rokok sukar untuk dipisahkan. Otak seorang perokok akan sering memikirkan tentang tabiat tersebut walaupun ianya menyakiti kesihatan dan kewangannya. Seperti menangisi bekas kekasih lama, tabiat merokok sukar dilepaskan walaupun diri telah berulang kali disakiti.

  • Kesihatan anak-anak dan ahli keluarga terjejas
  • Alangkah indahnya jika asap yang dihembuskan tidak memberi mudarat kepada orang di sekeliling yang menghirup dan menghidu asap tersebut. Apakah daya kerana udara yang kita hirup dikongsi secara bersama terutamanya insan yang sebumbung dengan kita. Asap yang dilepaskan memberikan kesan kesihatan yang lebih mudarat kepada penghidu terutamanya kepada si anak kecil yang tidak berdosa. Anak-anak kecil mudah terdedah kepada penyakit seperti asma dan batuk jika bersama dengan perokok. Isteri tersayang yang telah berjanji sehidup semati lebih terdedah untuk mendapatkan risiko kanser paru-paru dari si suami yang tak henti-henti menghembuskan asap rokoknya dari siang pagi.

    Apakah Cara Berhenti Merokok?

    Berhenti merokok mungkin suatu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh perokok tegar namun ianya adalah suatu perkara yang tidak mustahil. Apa yang diperlukan hanyalah keazaman dan keinginan yang menggunung. Banyak kebaikan yang boleh diperolehi apabila seseorang perokok berhenti merokok. Kesihatan bekas perokok akan bertambah baik, badan akan terasa lebih segar dan bersemangat dan individu tersebut akan bebas dari masalah psikologi dan mental. Terdapat beberapa cara berhenti merokok yang boleh dicuba:

  • Terapi kumpulan & kaunseling
  • Terapi kumpulan dilakukan dengan kehadiran satu pakar terapi & kaunseling dan beberapa individu yang memiliki masalah atau kesukaran yang sama. Mereka akan membincangkan dan meluahkan masalah tersebut di dalam sebuah kumpulan. Dengan ini, individu akan merasa lebih selesa untuk meluahkan segala permasalahan atau ketagihan merokok yang mereka alami dan akan bekerjasama menyokong dan membantu satu sama lain untuk menghadapi kesukaran tersebut.

  • Tampalan nikotin
  • Akibat daripada ketagihan nikotin, perokok tegar mungkin menghadapi kesukaran ketika mahu berhenti merokok. Namun, terdapat tampalan nikotin yang boleh dibeli di farmasi atau di hospital yang menyediakan perkhidmatan berhenti merokok. Tampalan nikotin tidak memberikan sebarang kesan sampingan yang serius dan ia berfungsi untuk menghilangkan rasa ketagihan kepada perokok yang ingin berhenti merokok. Satu tampalan nikotin mampu bertahan sehingga 24 jam dan boleh dipakai buang.

  • Gula-gula getah nikotin
  • Gula-gula getah nikotin juga berfungsi lebih kurang sama dengan tampalan nikotin dimana ia memberikan kelegaan dari ketagihan kepada perokok yang ingin berhenti merokok. Namun, caranya agak berbeza dimana perokok perlu mengunyah gula-gula getah tersebut untuk mendapatkan rasa nikotin. Dengan ini, perokok tidak perlu lagi merokok untuk melegakan ketagihan dan hanya perlu mengunyah gula-gula getah.

  • Tanamkan azam & fikir tujuan utama berhenti merokok
  • Tanpa niat yang jujur dan tujuan yang jelas, mungkin cubaan untuk berhenti merokok boleh menjadi gagal. Maka, perokok yang ingin berhenti perlu memikirkan kebaikan dan tujuan asalnya untuk berhenti merokok samada untuk kebaikan kesihatan, kewangan, ahli keluarga, isteri atau anak-anak yang tercinta.

    Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan anda. Jika anda masih mempunyai soalan tentang masalah ini, anda boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 

    Rujukan

    Tentang DoctorOnCall

    Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

    Tanya Doktor RM0
    Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
    Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >