Cara Cepat Hamil Dengan Mudah. Apa Waktu Penting Yang Perlu Anda Ketahui?

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Jun 16, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya Sara berusia 30 tahun. Saya akan berkahwin lagi 4 bulan. Saya dan tunang bercadang untuk mendapatkan anak secepat mungkin. Atas faktor usia saya dan pasangan, saya ingin mendapatkan pandangan doktor tentang cara untuk mencapai kehamilan secepat mungkin. Kami ada mendengar tentang herba dan jamu yang bagus untuk mendapatkan zuriat dengan cepat. Namun, kami merasakan dengan bertanya kepada saluran yang betul boleh membantu kami untuk mendapatkan jawapan dengan yakin. Untuk makluman pihak doktor, kami tidak mempunyai sebarang penyakit kronik dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Jawapan:
Terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami. Kami memuji tindakan anda kerana menanyakan kepada pihak yang mempunyai kefahaman secara saintifik bagi mendapatkan maklumat yang sahih. Tahniah kami ucapkan bagi majlis anda yang bakal berlansung tidak lama lagi. Jadi, anda dan pasangan sedang berniat untuk mendapatkan zuriat secepat mungkin. Anda mendengar daripada pelbagai pihak tentang khasiat herba dan jamu yang boleh membantu memudahkan proses mendapatkan zuriat anda. Namun, anda tertanya-tanya tentang alternatif saintifik yang boleh dijalankan untuk membantu anda. Kami akan membantu anda mendapatkan jawapan tersebut.

Menjadi impian setiap pasangan untuk mendapat zuriat bagi membina institusi keluarga bahagia. Terdapat pasangan yang mendapat rezeki ini seawal 3 bulan berkahwin dan terdapat juga pasangan yang mendapat zuriat selepas beberapa tempoh. Kami akan berkongsi langkah dan usaha yang boleh dilakukan untuk mendapat zuriat. 

  • Mengira kitaran haid anda

Adakah mengetahui kitaran haid itu penting? Jawapannya, ya. Terdapat segelintir wanita yang mempunyai kitaran haid yang teratur dan hal ini amat membantu wanita untuk menganggar waktu kesuburan dengan lebih tepat. Kitaran haid wanita boleh berubah daripada 28 hingga 35 hari. Bagaimanakah cara untuk mengira tempoh kitaran haid anda? Kiraan bermula daripada hari pertama datang haid sehingga hari sebelum haid seterusnya berlaku.

  • Menganggar waktu ovulasi

Ovulasi ialah proses di mana ovum daripada wanita dikeluarkan daripada ovari. Maka, jika sperma bertemu dengan ovum sewaktu tempoh ini berlaku, terdapat kebarangkalian yang lebih tinggi untuk anda mendapat zuriat. Ovulasi kebiasaannya berlaku ketika separuh daripada kitaran haid anda. Oleh itu, mengira kitaran haid anda penting kerana jika kitaran haid anda berlangsung selama 28 hari, waktu ovulasi berlaku adalah pada hari yang ke-14. 

  • Mengamalkan gaya hidup sihat dan berat badan yang normal

Masalah obesiti bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal seseorang. Malahan juga, ia menjejaskan kesihatan seksual seseorang. Jika anda memiliki berat badan yang berlebihan, jangan risau. Masalah ini boleh diselesaikan dengan mengamalkan gaya hidup aktif dan pemakanan yang seimbang. Jika berat badan anda kembali kepada normal, masalah berat badan badan berlebihan tidak lagi menjadi penghalang anda. Anda pasti tertanya-tanya tentang sebab mengapa berat badan berlebihan atau tidak normal mengurangkan kesuburan. Hal ini kerana, ketidakseimbangan hormon berlaku sekiranya seseorang itu mengalami obesiti dan menyukarkan ovulasi untuk berlaku serta kitaran haid boleh terganggu. 

  • Mengambil suplemen seperti asid folik

Mendapat zuriat itu impian, mendapat zuriat yang sihat itu nikmat tuhan. Selain daripada berhenti merokok atau mengamalkan minuman beralkohol, pengambilan suplemen seperti asid folik penting untuk mengelakkan masalah seperti kecacatan semenjak awal kandungan. Suplemen ini disarankan pakar untuk diambil seawal 3 bulan dalam tempoh mencuba sehingga 3 bulan pertama kandungan. Adakah terdapat keperluan bagi kaum lelaki untuk mengambil asid folik? Jawapannya, Ya. Asid folik juga berfungsi menjadi bahan untuk menghasilkan DNA bagi sel-sel baharu. Ia boleh membantu kaum lelaki menghasilkan sperma. 

  • Tidak mengamalkan gaya hidup aktif yang terlalu berlebihan

Gaya hidup aktif itu bagus, namun gaya hidup aktif yang berlebihan itu boleh mendatangkan kemudaratan. Daripada aspek seksual, gaya hidup ini boleh mengganggu kitaran haid dan tempoh ovulasi wanita. 

  • Mengenal pasti masalah yang berkaitan dengan ketidaksuburan

Jika anda mengalami masalah kitaran haid seperti haid lewat, haid tidak teratur, haid berlebihan, haid sakit, haid berpanjangan, anda perlu mendapatkan rawatan lanjut. Hal ini kerana ia mungkin disebabkan masalah pada struktur rahim seperti fibroid, polip, endometriosis dan sebagainya. 

Waktu ini bergantung pada individu. Kenali tempoh kitaran haid anda dan waktu anda ovulasi mengikut kiraan seperti yang dinyatakan di atas. Jika individu memiliki kitaran haid selama 28 hari (hari pertama datang haid sehingga hari sebelum datang haid seterusnya), maka ovulasi wanita tersebut ialah pada hari ke 14. Catat tarikh ini sebagai anggaran waktu ovulasi anda. Benarkah pasangan hanya harus bersama pada setiap malam sepanjang 5 hari semenjak tarikh tersebut dapat meningkatkan kebarangkalian untuk hamil? Jawapannya tidak. Pasangan disarankan melakukan 2 hari sebelum tarikh ovulasi kerana sperma dikatakan memiliki jangka hayat selama 72 jam. Maka, terdapat kebarangkalian persenyawaan jika pasangan bersama dalam tempoh tersebut. Selain itu, pasangan disarankan untuk bersama selang sehari bermula 2 hari sebelum ovulasi. Hal ini bagi memastikan bilangan sperma yang terhasil mencukupi untuk mendapatkan kebarangkalian persenyawaan. Sebagai contoh, jika ovulasi pada hari ke 14, pasangan disarankan bersama pada hari ke 12, 14, 16 dan selanjutnya. Untuk makluman anda, jangka hayat ovum ialah selama 24 jam. Oleh itu, tidak mengapa jika bersama sebelum ovulasi, berbanding selepas ovulasi berlaku.

Kebiasaannya pasangan yang sihat dan muda seperti anda tidak mempunyai sebarang masalah dalam mendapatkan zuriat kerana majoritinya menghadapi masalah tidak dapat mengenal pasti waktu yang tepat untuk bersama. Bilakah anda perlu risau? Adakah selepas 6 bulan mencuba masih tidak mendapat anak harus menyebabkan anda terdetik untuk berjumpa dengan doktor? Siapakah yang harus anda berjumpa untuk mendapatkan rawatan? Soalan-soalan ini akan terngiang-ngiang dalam fikiran setiap pasangan yang masih belum mendapat zuriat walaupun setelah beberapa tempoh. 

  • Jika anda telah bersama 3 kali seminggu dalam tempoh satu tahun tanpa menggunakan sebarang alat mencegah kehamilan, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor
  • Jika anda 35 tahun keatas dan melakukan hubungan intim 3 kali seminggu selama 6 bulan namun masih belum mendapat zuriat, anda perlu mendapatkan rawatan lanjut. 

Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >