Kenali Penyakit Mata Ikan (Ulser) Dan Cara Menghilangkannya Dengan Ubat

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 12, 2020

Soalan:

Salam sejahtera. Doktor, kenalkan saya Kamilah. Izinkan bertanya doktor. Sejak kebelakangan ni saya ada masalah kulit berupa mata ikan di tangan dan kaki. Masalah tu sampai sekarang sakit disebabkan kulit yang bermata ikan tu bergesel dengan kulit lain. Ada kawan cakap mata ikan yang bahasa inggris dia wart tu, ada cakap callus, ada cakap corn doktor, yang mana satu ni? Tapi menurut hasil Google, saya yakin ni adalah mata ikan. 

Saya dah beli ubat krim mata ikan untuk hilangkan tapi macam lama sangat masih tak hilang-hilang ni. Saya rasa bentuk akar mata ikan masih boleh teraba pakai tangan. Ada cara lain ke untuk buang seperti pembedahan mata ikan? Kalau ya boleh jelaskan lanjut tak tentang pembedahan tu sebab saya nak membuat persiapan. 

Selain itu, saya nak tanya juga tentang penyebab mata ikan ni. Saya hairan macam mana boleh kena. Saya nak tahu juga doktor, bahaya penyakit mata ikan ni seperti adakah boleh merebak dan macam mana nak elakkan daripada terkena lagi ya doktor. Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Terima kasih atas soalan yang diajukan. Sekiranya masalah yang dihadapi adalah mata ikan, ia mempunyai beberapa perbezaan dengan “corn” dan “callus” yang mana keduanya biasanya terbentuk akibat pengerasan dan mempunyai kesan keras dan kulit yang berlapis-lapis. 

Untuk ketiga-tiga penyakit ini, rawatannya adalah hampir sama. Untuk mata ikan, rawatan yang sesuai adalah dengan menggunakan cairan salicylic acid yang akan melembutkan kulit yang mana kemudiannya anda boleh memotong bahagian yang telah lembut dengan menggunakan pemotong kuku. Sekiranya masih tidak tertanggal, terdapat pilihan pembedahan kecil yang boleh dilakukan di klinik bagi membuang mata ikan tersebut.

Apakah Itu Mata Ikan?

Mata ikan ialah ketulan kecil yang biasanya muncul dikaki yang timbul berakar dan boleh menjadi sakit. Mata ikan biasanya merujuk kepada plantar warts yang merupakan salah satu daripada beberapa jenis ketuat. Selain itu, ketuat juga dikenali sebagai kutil atau bahasa Inggerisnya veruca. Pertumbuhan kecil ini muncul apabila kulit anda dijangkiti dengan salah satu daripada banyak virus dari keluarga human papillomavirus (HPV). Virus ini mencetuskan pertumbuhan sel secara berlebihan sehingga ia menjadikan lapisan luar kulit tebal dan keras di tempat itu.

Apakah Yang Menyebabkan Timbulnya Mata Ikan?

Mata ikan adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang bernama Human papilloma virus (HPV) yang mana virus ini dapat merebak dari kulit penghidap kepada kulit orang normal sehingga lama-kelamaan menimbulkan masalah kulit berupa mata ikan. Biasanya seseorang akan mendapat mata ikan di kaki apabila ia memijak permukaan yang dipijak oleh orang yang mempunyai mata ikan sebelumnya kerana virus yang melekat. Selain itu, ia juga lebih mudah tersebar melalui sentuhan langsung daripada kulit si penghidap kepada kulit sihat.

Dimana Sahaja Tumbuhnya Mata Ikan?

Mata ikan adalah paling sering ditemukan di kaki ataupun tapak kaki. Memandangkan ia adalah jangkitan virus pada lapisan epidermis (lapisan kulit yang paling luar) kulit, justeru ia boleh juga ditemukan pada bahagian epidermis kulit yang lain seperti:

  • Tangan
  • Mulut
  • Hidung

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Banyaknya Tumbuh Mata Ikan?

Faktor risiko untuk mendapatkan mata ikan bergantung kepada imuniti dan sifat virus itu sendiri. Oleh kerana virus boleh hinggap pada sebarang permukaan, maka faktor risiko kejadian mata ikan adalah seperti berikut:

  • Seseorang dengan sistem imun yang rendah contohnya kanak-kanak, warga emas, pesakit HIV-positif
  • Pesakit kulit kronik seperti penderita ekzema yang mana lapisan kulit luar telah rentan dan mudah luka
  • Berkongsi tuala, kain baju, stokin atau kasut dengan penghidap
  • Kebiasaan menggigit kuku atau menghisap jari 
  • Berjalan kaki tanpa alas kaki di tempat awam jika anda mempunyai verruca
  • Mengopek atau mengupil ketuat

Bagaimana Mata Ikan Dapat Ditularkan Kepada Saya?

  • Kontak/ sentuhan secara langsung

Memandangkan penyebab jangkitan ini adalah virus, maka harus diketahui bahawa ia merebak melalui sentuhan langsung antara kulit yang sihat dengan permukaan kulit yang mempunyai ketuat atau mata ikan. Contohnya, ia boleh merebak apabila tangan yang sihat memegang mata ikan di kaki yang mana virus dari kaki tadi akan berpindah ke tangan. Apabila tidak segera mencuci tangan, virus akan hinggap di tangan dan virus ini kemudiannya akan mulai menginfiltrasi kulit di tangan selama beberapa minggu sehingga akhirnya akan muncul mata ikan di tangan. 

  • Kontak/ sentuhan secara tidak langsung 

Sentuhan tidak langsung di sini bermaksud anda boleh terkena mata ikan apabila memijak permukaan yang sebelumnya dipijak oleh orang yang mempunyai mata ikan. Hal ini dapat terjadi apabila anda berkaki ayam ataupun tidak memakai stokin. Apabila seseorang dengan mata ikan memijak lantai dengan berkaki ayam tanpa stokin, virus dari kakinya akan hinggap ke lantai. Seterusnya apabila seseorang lain yang juga berkaki ayam tanpa stokin memijak lantai yang sama, virus dari lantai akan berpindah ke kaki tersebut. Tanpa mencuci kaki, virus ini akan terus hinggap dan mulai menggali masuk ke dalam lapisan kulit seterusnya menimbulkan penyakit mata ikan.

Apakah Gejala Penyakit Mata Ikan?

  • Sakit

Sebenarnya jangkitan virus ini tidak menimbulkan gejala memandangkan ia hanya menjangkiti lapisan kulit yang paling luar. Namun bagi sesetengah pesakit dan lokasi ketuat, ia dapat menyebabkan rasa sakit akibat tekanan yang berterusan pada bahagian kulit tersebut. Untuk mata ikan yang berada di tapak kaki dan celah jari kaki, ia dapat menyebabkan penekanan apabila memakai kasut, saat beraktiviti seperti berjalan mahupun berlari ia akan semakin hebat dan menyebabkan rasa sakit.

  • Kosmetik

Memandangkan ketuat menyebabkan kulit bertumbuh secara berlebihan, ia akan menyebabkan nilai kosmetik kulit menurun memandangkan permukaan kulit sudah tidak rata. Selain itu, sesetengah ketuat mempunyai sifat seperti mencacak, seperti jejari dan malah ada yang berbintik hitam (seperti mata ikan). Hal ini semua menyebabkan penghidap berasa tidak selesa dengan masalah ini.

Apakah Jenis Penyakit Mata Ikan? 

Memandangkan mata ikan dan penyakit lain adalah disebabkan oleh virus yang sama, maka ia dibahaskan dibawah judul ketuat. Namun secara umum, terdapat lima kategori utama jenis ketuat yang mana ia biasanya mempunyai rupa yang berbeza bergantung kepada lokasi kejadian. Antara jenis utama ketuat ialah:

  • Ketuat biasa (common warts)
  • Plane warts
  • Ketuat filiform (bersifat memanjang dan halus seperti duri)
  • Ketuat digit (digitate warts) adalah mirip jari jemari dan biasanya timbul di kulit kepala
  • Ketuat kelamin 
  • Ketuat plantar (dikenali sebagai mata ikan kerana rupanya yang mirip mata ikan dengan bintik hitam di tengah)

Apakah Rawatan Untuk Mata Ikan?

Rawatan topikal

  • Biasanya adalah dengan menggunakan ubat sapu atau krim yang mempunyai kandungan bahan aktif berupa salicylic acid, lactic acid, formaldehyde, dan cantharadin. Ia boleh ditemukan di farmasi yang berdekatan. 
  • Cara penggunaan adalah dengan menyapukan sekali hingga dua kali sehari, balut dengan plaster. Aplikasikan secara berulang sehingga menjadi lembut dan tercabut sendiri. Bagi mata ikan yang agak besar, boleh dilakukan proses mengasah dengan alatan pedicure seperti batu pumis (pumice stone). 

Rawatan cryo (cryotherapy)

  • Cryotherapy adalah rawatan yang menggunakan karbon dioksida atau cecair nitrogen (liquid nitrogen) yang mempunyai suhu sejuk yang ekstrem. Ini bertujuan untuk memusnahkan sel kulit yang menjadi tempat hinggap virus dan menstimulasi reaksi imun tubuh untuk melawan virus. 
  • Rawatan ini akan dilakukan selang seminggu sekiranya hasil kurang bagus
  • Namun, rawatan ini adalah mahal dan hasil rawatan biasanya kurang berjaya berbanding dengan cara topikal diatas

Rawatan pembedahan 

  • Biasanya boleh dilakukan oleh doktor, atau di negara barat terdapat doktor kaki yang juga dikenali sebagai podiatrist
  • Melalui rawatan ini, bahagian mata ikan akan dipotong dengan pisau bedah (scalpel) ataupun dengan currettage (disenduk keluar dengan sejenis sudu tajam)
  • Pembedahan adalah rawatan yang cepat dan mempunyai tahap keberhasilan yang tinggi
Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan anda. Jika anda masih mempunyai soalan tentang masalah ini, anda boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 


Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >