Saya Inginkan Kulit Yang Cerah Dan Sekata. Apakah Cara Yang Selamat, Doktor?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 29, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya wanita berumur 24 tahun, dan bercadang untuk melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Yang membimbangkan saya sekarang adalah, kulit gelap saya akibat daripada banyak berjemur di bawah matahari. Saya tidak mahu bersanding dengan keadaan kulit saya sebegini. Saya ingin mengambil rawatan skin bleaching tetapi, namun saya takut akan kesan sampingannya. Saya juga ada membaca bahawa cara tradisional lain seperti menggunakan tepung beras. Boleh saya dapatkan nasihat daripada doktor? Terima kasih.
Jawapan:
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Pihak kami memahami kebimbangan anda mengenai masalah yang dihadapi. Namun, saya harus memuji keputusan anda dalam mengajukan pemasalahan ini sebelum mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan tersebut. Untuk makluman pihak anda, skin bleaching bertindak dengan mengurangkan kepekatan atau pengeluaran melanin pada kulit. Hal ini boleh menyebabkan kulit lebih cerah dan penampilan kulit yang lebih sekata. Namun, rawatan ini terbukti memberi banyak kesan negatif. Jadi saya sarankan untuk anda tidak melakukan rawatan ini. Saya juga sedar ada yang mencadangkan cara memutihkan kulit dengan tepung beras. Sukar untuk saya mengulas kerana belum ada kajian yang membuktikan keberkesanan tepung beras ini. Untuk memahami lebih lanjut mengenai warna kulit anda serta rawatan yang boleh diambil untuk mencerahkan kulit, sila baca penulisan artikel di bawah.

Terdapat hubungan antara sinaran ultraviolet (UVR) dan melanin yang dihasilkan oleh sel melanosit di dalam kulit. Teori menyatakan penghasilan melanin ini bertindak balas dengan sinaran ultraviolet daripada cahaya matahari. Individu, yang terdedah kepada cahaya UV, seperti matahari, akan menghasilkan lebih banyak melanin dan pigmen melanin inilah yang menentukan warna kulit. Hal ini bagi tujuan memberikan pelindungan terhadap sinaran ultraviolet yang mampu merosakkan dan menyebabkan mutasi dalam DNA sel kulit. Oleh itu, kawasan yang menerima jumlah sinaran UV yang lebih tinggi, cenderung mempunyai populasi berkulit gelap. 

Manakala, kawasan yang jauh daripada kawasan tropika dan lebih dekat dengan kutub mempunyai populasi yang berkulit cerah disebabkan intensiti UVR yang lebih rendah. Warna kulit mereka kebiasaanya ditentukan oleh tisu penghubung yang berwarna putih-kebiruan serta hemoglobin yang mengalir di dalam saluran darah di bawah dermis. 

Kesimpulannya, warna kulit adalah proses adaptasi dalam evolusi manusia, yang berkembang melalui proses pemilihan semula jadi terutamanya untuk mengatur jumlah sinaran ultraviolet yang menembusi kulit bagi mengawal kesan biokimia. Sekiranya anda mencari cara memutihkan kulit wajah, ingin saya ingatkanproses ini berlaku sebenarnya untuk kebaikan dan perlindungan anda sendiri. Namun, sering sekali warna kulit dijadikan simbol status, definasi kecantikan serta diskriminasi oleh segelintir golongan masyarakat hari ini.

Seperti yang diterangkan di atas, warna kulit ini ditentukan oleh pigmen melanin. Melihat daripada perspektif genetik, setiap individu di bumi mempunyai bilangan melanosit yang hampir sama. Perbezaannya adalah penghasilan melanin yang dipengaruhi oleh:

  • Pendedahan kepada sinaran UV
  • Pembentukan genetik: Etnik yang berbeza secara genetik menghasilkan jumlah melanin yang tertentu dan kemudiannya menentukan warna kulit mereka. Oleh kerana genetik ini diwarisi, beberapa etnik lebih cenderung untuk memiliki warna kulit yang tertentu. Pada dasarnya, ini adalah salah satu petunjuk utama yang digunakan dalam menentukan bangsa dalam populasi manusia. Akan tetapi ini merupakan bentuk pengenalan manusia yang kontroversial dan tidak lagi diguna pakai.
  • Saiz melanosit: Ukuran melanosit berbeza pada individu yang berbeza dan boleh menyebabkan perbezaan jumlah melanin yang dihasilkan setiap sel.
  • Penyakit: Beberapa penyakit boleh mempengaruhi pengeluaran melanin, termasuk albinisme (ketidakupayaan genetik untuk menghasilkan melanin) dan vitiligo (kehilangan sel melanosit yang progresif).

Sekiranya anda mencari cara memutihkan kulit secara alami dan cepat untuk wanita ataupun cara memutihkan kulit lelaki, caranya adalah sama tidak kira jantina. Berikut merupakan antara langkah yang boleh dilakukan:

  1. SPF- mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, lindungi kulit anda daripada sinaran UV dengan menggunakan pelindung matahari yang mengandungi SPF 30 ke atas. Pelindung matahari ini disarankan untuk disapu setiap 2 jam sekiranya anda berada di bawah matahari.
  2. Exfoliation- kaedah mengelupas lapisan kulit mati di permukaan dengan lembut menggunakan produk scrub buatan sendiri atau yang dibeli di kedai dapat membantu mencerahkan warna kulit. Sel-sel kulit mati ini membantu melindungi daripada sinar matahari. Oleh itu, setelah sel mati ini dibuang, elakkan matahari kerana kulit lebih mudah terkena selaran matahari dan menyebabkan kerosakan kulit.
  3. Teh hitam- satu kajian kecilmendapati bahawa ekstrak teh hitam dapat mencerahkan warna pada haiwan, tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan, untuk mengetahui kesan ekstrak teh hitam ini kepada manusia.
  4. Lidah buaya- berfungsi menyejukan kulit dan juga sebagai anti-radang. Selian itu, ia juga boleh mengurangkan pigmentasi
  5. Kunyit- Setakat ini tiada bukti bahawa kunyit dapat mencerahkan kulit namun ia dapat membantu melindungi daripada kerosakan akibat sinar matahari sekiranya bahan ini digunakan dalam pembuatan krim wajah. Selain itu, kunyit juga dapat meningkatkan penghidratan kulit dan penghasilan minyak pelindung semula jadi. Walau bagaimanapun, kunyit meninggalkan kesan berwarna kuning. Oleh iti, gunakan pencuci muka atau pencuci alat solek setelah menggunakan produk yang mengandungi kunyit untuk membantu menghilangkan sisa.
  6. Produk pencerah kulit topikal yang mengandungi bahan seperti
  • vitamin C
  • asid glikolik
  • retinoid seperti retinol, tretinoin, gel adapalene, atau tazarotene
  • asid kojik
  • asid azelaic

        Bahan aktif seperti di atas dapat membantu mencerahkan bintik hitam dengan mengelupaskan kulit dan mendorong pertumbuhan sel baru. Sebilangan daripadanya juga dapat membantu melambatkan pengeluaran melanin untuk membantu mencegah atau mengurangkan bintik-bintik gelap. Namun, disarankan untuk mengambil satu bahan aktif dalam satu masa bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini. Selain itu, amat digalakkan juga untuk anda mendapatkan rawatan di bawah pengawasan pakar dermatologi ketika menggunakan bahan aktif di atas. 

Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >