Ketahui Cara Menurunkan Berat Badan Tanpa Tinggal Makan Dengan Mudah

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Jun 29, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera doktor. Saya Bob berumur 38 tahun. Pagi tadi saya ada terbaca mengenai statistik yang merisaukan di negara kita iaitu berkaitan obesiti dan berat badan berlebihan. Statistik tersebut menyatakan bahawa Malaysia merupakan negara yang paling tinggi peratusan kadar obesiti dan berat badan berlebihan di Asia Tenggara. Dukacita dimaklumkan yang sebenarnya saya juga menyumbang kepada jumlah tersebut kerana saya merupakan seorang yang obes. Persoalan saya di sini ialah, apakah ada cara yang mudah, sihat dan sesuai untuk saya menurunkan berat badan tanpa perlu risaukan perkara yang membahagiakan saya iaitu makan? Saya sangat suka makan dan tidak boleh kalau tak makan. Di samping itu, boleh kah doktor cerita sedikit tentang apakah bahaya kalau terlalu gemuk? Terima kasih ya doktor.
Jawapan:
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Ya, memang benar negara Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai peratusan penduduk yang mempunyai masalah obesiti yang tinggi di Asia Tenggara. Seperti yang semua maklum, hakikatnya tiada apa yang perlu dibanggakan apabila mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti kerana ianya sering berkait dengan pelbagai masalah kesihatan terutamanya masalah kardiovaskular atau masalah jantung. Dahulunya, masalah obesiti hanya diklasifikasikan sebagai satu faktor risiko kepada penyakit kronik lain, namun ianya telah berubah menjadi satu masalah yang menyumbang besar terhadap penyakit kronik lain seperti penyakit jantung dan kencing manis. Walaubagaimanapun, masih terdapat cara untuk pesakit obesiti mendapatkan berat badan yang ideal yang boleh membantu pesakit untuk mengelakkan daripada mendapatkan penyakit yang tidak diingini berkaitan dengan obesiti. Lupakan cara tradisional menurunkan berat badan dan baca dengan lebih lanjut mengenai cara menurunkan berat badan dengan berkesan pada artikel di bawah.

Pernahkah anda terlihat dimana terdapat beberapa individu yang kuat makan tetapi badannya masih seperti biasa dan tiada peningkatan terhadap berat badannya. Ataupun, pernahkah anda mengalami peningkatan berat badan tanpa perbezaan pada jumlah pemakanan yang diambil? Apakah kemusykilan dan rahsia terhadap peningkatan dan penurunan berat badan yang sebenarnya? Untuk maklumat anda, sebenarnya berat badan dipengaruhi oleh beberapa faktor yang penting iaitu jumlah kalori yang diambil dan kadar metabolisma badan. Dengan kata mudah, semakin banyak kalori yang diambil, semakin tinggi peluang anda untuk menaikkan berat badan dan semakin tinggi metabolisma badan, semakin tinggi kadar pembakaran lemak dan tenaga yang berlaku di dalam badan seterusnya akan mengakibatkan peningkatan kepada penurunan berat badan.

Daripada hipotesis di atas, kita dapat lihat dimana peningkatan berat badan bermain dengan jumlah kalori yang diambil. Dalam erti kata lain, semakin tinggi kalori yang diambil, semakin tinggi peningkatan berat badan. Sesetengah makanan mempunyai kalori yang tinggi dan sesetengah yang lain mempunyai kalori yang rendah. Anda perlu ingat bahawa kalori tidak mempengaruhi untuk anda kenyang ataupun tidak. Kata mudahnya ialah, jika kalori makanan itu tinggi ia tidak bermaksud yang anda akan kenyang. Sebagai contoh, 1 mangkuk nasi putih mempunyai lebih kurang 130 kilo kalori dimana 1 mangkuk salad hanya mempunyai 13 kilo kalori. Jika anda lihat, kedua-dua jenis makanan ini memberikan tahap kekenyangan yang sama jika ia dimakan dalam jumlah 1 mangkuk. Namun, 1 mangkuk salad memberikan jumlah kalori yang jauh lebih rendah seterusnya menjadikan ia makanan yang lebih baik untuk dimakan untuk anda mengurangkan berat badan berbanding nasi. Jadi, anda tidak perlu risau untuk berlapar kerana tahap kekenyangan dan kelaparan sesuatu makanan adalah bergantung kepada jumlah makanan yang anda ambil dan tidak dipengaruhi oleh jumlah kalori makanan tersebut. Apa yang penting ialah anda perlu sentiasa makan pada waktunya pada jumlah yang normal dan memilih makanan yang mempunyai kalori yang rendah.

Kadar metabolisma badan juga penting dalam konteks penurunan berat badan. Metabolisma badan merujuk kepada proses penghasilan tenaga dan sisa badan. Semakin tinggi kadar metabolisma badan, semakin tinggi kadar pembakaran tenaga simpanan untuk penghasilan tenaga dan semakin tinggi peluang anda untuk menurunkan berat badan. Antara tenaga simpanan yang penting dalam badan ialah glikogen (glycogen) dan lemak (fat). Kadar metabolisma dipengaruhi oleh aktiviti seharian kita dimana individu yang aktif akan mempunyai kadar metabolisma yang lebih tinggi berbanding individu yang pasif. Selain itu, ia juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti jumlah air dalam badan, berat badan, jumlah waktu kita tidur, pemakanan dan banyak lagi. Apabila anda melakukan sesuatu aktiviti, kadar metabolisma akan meningkat dimana ianya akan mengakibatkan proses penukaran glikogen kepada gula untuk menghasilkan tenaga. Anda perlu dingingatkan bahawa pembakaran glikogen akan berlaku sebelum pembakaran lemak dimulakan. Apabila jumlah gula dalam badan berkurang dan jumlah simpanan gula (glikogen) juga berkurang, proses pembakaran lemak akan mula berlangsung. Dengan cara ini, jumlah kalori yang hilang akan meningkat hasil daripada proses metabolisma badan dan dalam jangka masa panjang, jumlah lemak dalam badan juga akan berkurangan.

Seperi yang kita tahu, masalah obesiti dan berat badan berlebihan adalah tidak bagus untuk kesihatan badan dan ianya banyak berkait dengan pelbagai penyakit kronik termasuklah penyakit kardiovaskular dan kencing manis. Selain itu, ialah juga boleh menyumbang kepada masalah:

  • Sindrom metabolik
  • Dislipidemia (masalah kolesterol dan lemak jahat (LDL) berlebihan atau lemak baik (HDL) berkurangan)
  • Penyakit jantung koronari
  • Penyakit kencing manis
  • Penyakit hati berlemak (Fatty liver disease)
  • Kegagalan jantung
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Masalah strok
  • Masalah “sleep apnea” (tidur yang tidak efektif akibat daripada penyumbatan saluran pernafasan)
  • Masalah tulang dan sendi (osteoarthritis)
  • Gout

Anda boleh mengesan masalah berat badan berlebihan dan obesiti sejak awal dengan mengambil berat terhadap berat badan semasa dan mengira BMI anda. Berat badan berlebihan apabila BMI anda melebihi 25 kg/m2 dan obesiti pula adalah apabila BMI anda melebihi 30 kg/m2. Mengikut jumlah BMI anda, risiko kepada penyakit-penyakit yang disebutkan juga berbeza. Semakin tinggi jumlah BMI anda, semakin tinggi risiko anda untuk mendapatkan penyakit yang disebutkan.

Secara kesimpulannya, adalah penting untuk kita mengambil berat tentang berat badan semasa agar masalah berat badan berlebihan dan obesiti dapat dielakkan supaya risiko untuk mendapatkan pelbagai penyakit kronik dapat dielakkan. Saranan jumlah kalori yang perlu diambil bagi lelaki ialah 2500 kilo kalori dan bagi perempuan ialah 2000 kilo kalori. Jika anda berhajat untuk menurunkan berat badan, anda perlu mengurangkan pengambilan kalori daripada yang jumlah yang disarankan dan bakar kalori berlebihan dengan meningkatkan kadar metabolisma dan melakukan aktiviti yang boleh membakar kalori (bersukan, bersenam, mengangkat berat di gim, berjoging dan pelbagai aktiviti lain). Jangan lupa untuk minum air yang mencukupi dan tidur secukupnya. Elakkan stress dan pilih makanan yang mempunyai kalori yang rendah seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran dan sebagainya.

Rujukan

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >