Dikemaskini pada: Jun 9, 2020
Hello doktor. Saya berumur 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat. Saya ingin bertanya mengenai ceragem. Saya ada terbaca di laman sosial mengenai terapi ceragem ini tetapi saya tidak pasti mengenai keberkesanannya. Lapan bulan yang lepas, ayah saya telah menjalani pembedahan untuk tulang belakang disebabkan oleh sebuah kemalangan. Namun begitu, menurut ayah saya kesakitan tersebut masih lagi terasa di bahagian tulang belakang dan keadaan ini merisaukan saya. Oleh itu, dia mencuba perubatan tradisional melibatkan kaedah mengurut di bahagian tulang belakang yang terjejas tetapi rawatan tersebut tidak memberikan sebarang perbezaan untuk tahap kesakitan ayah saya.
Selepas sekian lama, saya telah mengambil keputusan untuk mencuba terapi ceragem selepas disyorkan oleh kawan-kawan yang pernah menggunakannya. Untuk pengetahuan doktor, ayah saya masih boleh bergerak dan berjalan serta melakukan rutin harian tetapi sakit di bahagian tulang belakang itu agak mengganggu terutamanya ketika ayah saya tidur pada waktu malam. Pada pendapat doktor, patutkah ayah saya mencuba rawatan Ceragem yang dicadangkan oleh kawan saya dan adakah rawatan tersebut efektif untuk mengurangkan kesakitan ayah saya?
Terima kasih atas soalan anda. Sejak kebelakangan ini, terapi Ceragem ini sudah mula mendapat respon yang bagus di kalangan orang ramai di Malaysia. Sebelum ayah anda mencuba rawatan ini, anda perlu berjumpa dengan doktor pakar dahulu dan bincangkan selanjutnya mengenai keadaan kesihatan ayah anda. Setiap pengguna mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap rawatan ini. Justeru itu, ubat tersebut berkemungkinan boleh membantu mengurangkan kesakitan tulang belakang ayah anda atau sebaliknya.
Untuk pengetahuan anda, terapi Ceragem berasal daripada Korea. Ceragem ialah nama syarikat peralatan perubatan yang ditubuhkan pada tahun 1998. Ia adalah syarikat pertama yang menghasilkan alat urut termal automatik di dunia.
Syarikat Ceragem juga menghasilkan mesin pemantau glukosa darah, alat penjagaan kulit, produk kosmetik dan produk kesihatan yang lain. Ceragem mempunyai 3000 buah pusat atau kedai di 70 negara di seluruh dunia. Sebagai sebuah syarikat, Ceragem telah mempunyai beberapa pengiktirafan untuk reka bentuk, pembangunan, pengeluaran, dan pengedaran alat ‘acupressure’ termal dan pengurut termo.
Terapi Ceragem mendapat inspirasi dari rawatan tradisional China bagi menghasilkan pengurut termal ceragem atau terapi ceragem. Terapi Ceragem mempunyai empat prinsip utama iaitu: tekanan jari, urutan, ‘moxibustion’ dan terapi haba.
Alat mengurut ini memancarkan sinaran inframerah untuk memberikan haba kepada tubuh manusia. Pancaran sinaran infrared tersebut berasal dari jet padat dan panel karbon epoksi yang dipasang pada alat Ceragem. Suhu kepanasan yang dihasilkan pada mesin tersebut hampir sama dengan haba badan. Berikut adalah 7 manfaat kesihatan terapi ceragem:
Terapi ceragem dibahagikan kepada tiga jenis pengurut termal iaitu jenis automatik, manual, dan lipatan. Oleh kerana harga produk ini agak mahal, Ceragem sering menawarkan percubaan percuma di pusat Ceragem seperti yang tertera di laman web rasmi mereka. Ia mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 minit untuk setiap sesi percubaan.
Hasil keberkesanan rawatan ceragem mengambil masa yang berbeza bagi setiap pengguna bergantung kepada umur, keadaan kesihatan, dan gaya hidup mereka. Walaupun terdapat beberapa kajian mengenai keberkesanan terapi ceragem dalam menyembuhkan penyakit, tetapi masih tiada bukti saintifik yang kukuh. Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor di klinik atau hospital. Jika tiada sebarang kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.
Rujukan
Soalan berkenaan - apa itu ceragem, katil urutan ceragem, rawatan ceragem
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my