Bolehkah doktor menjelaskan gejala penyakit cacar (Chickenpox), jenis-jenis cacar dan cara rawatannya?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran. Saya berusia 25 tahun. Saya telah berkahwin dan suami saya berniaga dengan sendiri dan berusia 27 tahun. Kami mempunyai seorang anak yang berusia 3 tahun. Setiap hari, sebelum ke kerja saya akan menghantar anak saya ke nurseri. Hal ini kerana tiada orang di rumah untuk menjaganya.

Sejak kebelakangan ini, saya mendapati anak saya mempunyai ruam merah pada bahagian belakang badannya. Pada mulanya, saya ingat ada serangga yang menggigitnya lalu menyapukan ubat sahaja. Selepas itu, saya perasan ruam merah itu bertambah banyak dan anak saya sering kali menangis kerana ruam itu. Dia juga mengatakan bahawa ruam itu gatal dan selalu menggarunya. Selain itu, anak saya juga mempunyai suhu badan yang sangat tinggi serta tidak lalu makan. Apa makanan yang diberikan pun tiada gunanya kerana dia tidak mahu menelan lalu meludahnya keluar sahaja. Orang yang menjaganya juga mempunyai masalah untuk menjaganya kerana dia sering menangis dan selalunya tidak sebegini.

Saya melayari internet untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak saya ini. Saya berasa seperti anak saya ini mempunyai penyakit cacar. Namun saya kurang celik mengenai penyakit ini. Bolehkah doktor menerangkan kepada saya apa itu penyakit cacar? Apakah rawatan yang boleh diberikan kepada anak saya?

Soalan berkenaan - penyakit cacar api, pantangan penyakit cacar air, penyebab cacar air, jenis cacar

Jawapan:
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, anak puan menghidap penyakit cacar (Chickenpox). Penyakit ini merupakan sebuah jangkitan virus yang dikenali sebagai ‘varicella zoster’. Penyakit cacar juga mempunyai nama lain iaitu ‘chickenpox’. Puan tidak perlu risau kerana masalah ini boleh diselesaikan sekiranya puan segera mendapatkan rawatan.

Puan harus memastikan anak puan tidak menggaru ruam yang gatal tersebut kerana sekiranya ruam tersebut pecah dan cecair terkeluar maka ia akan meninggalkan parut dan ini akan menjadi sesuatu yang kurang selesa. Puan juga harus memastikan anak puan meminum air yang banyak kerana penyakit ini akan menjadikan badan kekurangan air. Di samping itu, puan juga boleh memberikan ubat demam untuk menurunkan suhu badan anak puan yang tinggi itu. Oleh itu, puan tidak perlu risau kerana masalah ini boleh diselesaikan jika puan mengikuti langkah yang dinyatakan.

Apakah itu penyakit cacar

Pada zaman sekarang, penyakit cacar sememangnya sangat umum menjangkiti masyarakat kita kerana jangkitan ini mudah merebak.

  1. Penyakit cacar ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu penyakit cacar air dan penyakit cacar api.
  2. Penyakit cacar air atau lebih dikenali sebagai ‘chickenpox’ ini merupakan satu penyakit di mana individu terbabit mempunyai jangkitan virus. Virus tersebut bernama ‘varicella zoster’. Virus ini selalunya menjangkiti golongan muda seperti bayi, kanak-kanak serta remaja. Namun ia juga boleh menjangkiti golongan dewasa.
  3. Penyakit cacar yang melibatkan golongan dewasa merupakan penyakit cacar api dan ini dikenali sebagai ‘herpes zoster’ atau ‘shingles’.

Penyebab penyakit cacar

  • Seperti yang dinyatakan, punca penyakit cacar datang dari sejenis virus yang dikenali sebagai ‘varicella’. Virus ini selalunya menjadikan golongan muda sebagai sasaran utama. Itulah sebabnya kebanyakan golongan muda mudah terjebak ke dalam fenomena penyakit cacar ini.
  • Walaupun demikian, golongan dewasa juga boleh terlibat. Golongan dewasa apabila dijangkiti virus ini dikenali sebagai ‘herpes zoster’ atau ‘shingles’.
  • Seseorang itu boleh dijangkiti virus ini dengan begitu mudah apabila berada berhampiran dengan orang yang mempunyai jangkitan ini. Sekiranya seseorang yang dijangkiti virus ini bersin, batuk ataupun ludah maka kemungkinan besar virus ini akan merebak kepada orang yang berada berhampiran dengan mereka dan menjadi penyebab berlakunya penyakit cacar air ini. Hal ini terjadi bagi mereka yang mendapat penyakit cacar ‘varicella’.
  • Bagi mereka yang mempunyai masalah ‘shingles’, virus ini akan kekal dalam sistem saraf mereka untuk masa yang lama sehingga bertahun-tahun sehingga ia menjadi aktif semula. Apabila ia menjadi aktif, maka individu yang terlibat akan mempunyai penyakit cacar api.

Gejala penyakit cacar

Penyakit cacar ini haruslah di kenal pasti dengan segera supaya dapat mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi memastikan masalah ini tidak berulang atau menjadi lebih teruk. Oleh itu, para ibu bapa haruslah mengawasi anak kecil mereka sekiranya mereka menghidapi sebarang ciri-ciri yang menandakan jangkitan virus ini.

Gejala penyakit cacar ini ialah seperti:

  • Demam
  • Ruam merah. Ruam ini boleh muncul pada mana-mana bahagian badan terutamanya bahagian dada, bahagian belakang badan serta punggung
  • Ruam akan berasa sangat gatal
  • Ruam mempunyai cecair di dalam dan sekiranya digaru akan pecah dan meninggalkan paru
  • Ruam akan hilang dalam masa seminggu dan akan hilang dengan sendiri sekiranya tidak dikacau
  • Rasa tidak bermaya dan lesu
  • Tiada nafsu makan
  • Sakit kepala
  • Otot akan berasa sangat sakit
  • Jika dibandingkan dengan cacar api, ruamnya akan berbentuk kecil sedikit dan mengandungi cecair serta individu terbabit akan berasa sakit yang melampau
Walaupun gejala yang berikutan penyakit ini merupakan perkara yang kelihatan tidak serius namun kita tidak harus mengabaikannya kerana ianya sangat kritikal dan harus dirawat dengan segera supaya dapat memastikan individu yang terlibat kembali cergas dan sihat serta tidak mendapat sebarang komplikasi yang membahayakan.

Rawatan penyakit cacar

Peyakit cacar mahupun cacar air atau api sememangnya mempunyai ubat yang tersendiri untuk memastikan penyakit ini dapat disembuhkan. Oleh itu, kita tidak perlu risau. Ianya cukup memadai sekiranya kita dapat mengenal pasti ciri-ciri penyakit ini serta gejala yang berikutan untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan.

  • Rawatan yang dapat diberikan ialah vaksin bagi penyakit cacar air. Vaksin ini diberi sebagai langkah pencegahan supaya tidak mudah mendapat jangkitan ini serta juga memastikan ianya tidak menular kepada orang lain.Ini terutamanya terjadi kepada kanak-kanak kecil yang lebih mudah terjebak.
  • Selain itu, bagi penyakit cacar api pula, rawatan yang boleh diberikan hanyalah satu iaitu ubat acyclovir. Ubat ini terdapat dalam pelbagai bentuk iaitu ubat sapu atau pun ubat makan. Ubat ini perlu diambil atau digunakan setiap hari atas arahan doktor dan seperti yang dinasihatkan oleh doktor
  • Sekiranya individu yang terlibat mempunyai demam maka doktor akan memberikan ubat untuk menurunkan suhu badan yang tinggi.
  • Kita juga boleh mengambil langkah-langkah mudah untuk memastikan penyakit cacar ini akan sembuh dengan cepat seperti meminum air yang banyak. Hal ini kerana penyakit cacar akan menyebabkan badan kita kekurangan air dan boleh membawa sehingga ke tahap dehidrasi.
  • Seterusnya, kita juga haruslah memastikan pakaian individu yang mempunyai penyakit cacar ini diasingkan apabila dibasuh. Hal ini kerana ini juga boleh menjadi sebuah medium untuk virus ini merebak ke individu lain. Berserta dengan itu, kita juga harus membasuh tangan dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun untuk membasmi segala kotoran di tangan dan memastikan kebersihan diri sentiasa terjaga.
Kesimpulannya, kita haruslah peka dan prihatin mengenai penyakit cacar ini kerana ianya merupakan sebuah penyakit yang biasa terjadi dan sering melanda masyarakat kita terutamanya anak kecil. Oleh itu, ianya sangat baik jika kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai gejala yang berikutan dan rawatan yang harus diambil bagi mencegah penyakit cacar ini dan memastikan kesihatan sentiasa terjamin.

Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Diskaun Hingga RM12 untuk Perubatan