Apakah penyebab dan langkah-langkah pencegahan untuk gastrik kronik (Chronic Gastritis)?

Anonymous

Salam, doktor. Saya merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai seorang peniaga. Saya telah mengalami masalah sakit perut untuk masa yang agak lama, sekurang-kurangnya tiga tahun. Saya berasa bahawa perut saya selalu berasa kembung dan akan berasa pedih di bahagian dada. Kadang-kadang, saya boleh merasakan seperti ada cecair masam akan naik dari perut ke dalam mulut menyebabkan saya berasa loya. Seringkali, hal ini menjadi lebih teruk apabila saya tidak makan atau meminum arak. Namun demikian, memang susah untuk saya makan pada waktu yang tetap atau elakkan arak kerana saya terpaksa bersosial dengan pelanggan bisnes saya sepanjang hari. Bolehkah doktor berikan nasihat tentang masalah sakit perut saya ini? Terima kasih.

Anonymous
Salam, doktor. Saya merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai seorang peniaga. Saya telah mengal... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Apakah itu gastrik kronik?

  • Organ perut mempunyai kelenjar-kelenjar yang menghasilkan asid dan enzim untuk mencerna makanan. Asid yang dihasilkan oleh perut mampu melukakan perut, tetapi dinding perut dilindungi daripada hakisan asid tersebut oleh sebuah lapisan lendir yang bersifat melindungi.
  • Penyakit gastrik berlaku apabila berlaku keradangan lapisan dalam perut akibat hakisan asid. Fenomena tersebut mungkin kerana lapisan lendir yang kurang atau penghasilan asid perut berlebihan disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Penyakit gastrik boleh berlaku secara tiba-tiba (gastrik akut) atau secara progresif (gastrik kronik).
  • Dalam penyakit gastrik kronik, keradangan ini berlaku dalam jangka masa yang panjang dan boleh menyebabkan sel-sel perut bertukar menjadi sel yang tidak normal ataupun lebih dikenali sebagai “dysplasia” dalam kamus perubatan.

Apalah penyebab gastrik kronik?

Gastrik kronik boleh dikelaskan kepada tiga jenis berdasarkan puncanya, iaitu:

  • Jenis A yang disebabkan oleh kecelaruan sistem pertahanan badan yang menghasilkan antibodi terhadap sel-sel perut, digelar sebagai “pernicious anemia.” Jenis gastrik kronik ini boleh mengakibatkan berlakunya kekurangan vitamin B12, zat besi, kurang darah, serta kanser.
  • Jenis B mmerupakan jenis paling biasa berlaku. Gastrik kronik jenis B disebabkan oleh bakteria Helicobacter pylori yang berupaya untuk merosakkan lapisan dalam perut. Gastrik kronik akibat H.pylori boleh menyebabkan ulser perut, ulser usus malahan kanser juga.
  • Jenis C pula berlaku akibat perengsa kimia seperti ubat tahan sakit yang digelar NSAIDs (“non-steroidal anti-inflammatory drugs”), ataupun pengambilan alkohol yang berlebihan. Bahan-bahan tersebut mampu menghakis lapisan dalam perut dan mengakibatkan pendarahan dalam perut serta ulser.

Faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan atau memudaratkan penyakit gastrik kronik ini adalah seperti:

  • Merokok
  • Usia yang lanjut
  • Stres yang berlebihan
  • Keturunan keluarga
  • Sering mengambil makanan yang pedas
  • Pengambilan kopi dan teh yang berlebihan
  • Masalah kesihatan lain seperti penyakit Crohn,jangkitan parasit HIV serta jangkitan parasit

Apakah tanda gastrik kronik?

Tanda penyakit gastrik kronik adalah seperti berikut:Penyakit gastrik kronik

  • Pedih pada ulu hati (“heartburn”)
  • Kadang kala sakitnya menjadi teruk sehingga naik ke bahagian kiri dada, menyerupai serangan sakit jantung
  • Perut rasa penuh dan kembung (“bloated”)
  • Muntah-muntah ataupun rasa loya
  • Selalu sendawa
  • Jika teruk, asid boleh naik ke esophagus (refluks asid) menyebabkan pesakit sesak nafas
  • Jika gastrik terlalu teruk,  ulser yang terhasil di dalam perut boleh menyebabkan pendarahan
  • Pesakit datang ke hospital dengan masalah muntah darah
  • Najis berwarna hitam (“melena”) akibat dari proses oksidasi pendarahan yang mengalir melalui sistem pencernaan
  • Masalah kekurangan zat besi dan vitamin disebabkan oleh ketidakseimbangan asid dalam perut yang diperlukan untuk proses pencernaan makanan
  • Kekurangan sel darah merah (anemia) yang menyebabkan rasa lesu dan sesak nafas
  • Berat badan semakin menurun
  • Rasa kenyang walaupun hanya makan sedikit sahaja (“early satiety”)
  • Rasa kebas akibat kekurangan vitamin B12

Masalah gastrik kronik merupakan faktor risiko paling bahaya untuk menghidap penyakit kanser perut. Hal ini disebabkan oleh keradangan perut yang mengakibatkan sel-sel perut bertukar kepada sel kurang normal. Penyakit kanser perut merupakan sejenis kanser yang mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi. Dalam sesetengah kes, masalah refluks asid juga boleh menyebabkan kanser esophagus berlaku.

Apakah rawatan gastrik kronik?

Penyakit gastrik kronik merupakan sesuatu penyakit yang mudah dirawat untuk mengurangkan gejala serta komplikasi ulser perut atau kanser.Terdapat langkah-langkah yang dapat diamalkan untuk mengawal penyakit ini. Rawatan boleh dibahagikan kepada rawatan bukan ubatan serta rawatan ubatan.

Rawatan bukan ubatan termaksud:

  • Berhenti merokok kerana merokok akan meningkatkan penghasilan asid dalam perut
  • Kurangkan pengambilan alkohol kerana alkohol mengakibatkan keradangan dinding perut
  • Mengurangkan pengambilan makanan pedas dan berasid kerana mampu menyebabkan hakisan pada dinding perut
  • Menasihati pesakit untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap supaya asid yang dihasilkan setiap kali makan adalah pada tahap optimum
  • Kawalan stress yang baik

Rawatan ubatan pula terdiri daripada:

  • Ubat antasid. Ubat ini bersifat alkali dan berfungsi untuk meneutralkan asid dalam perut. Contohnya ubat seperti Magnesium Trisilicate serta Aluminium Hydroxide yang dikunyah selepas makan.
  • Ubat “H2 blocker”. Ubat ini berfungsi untuk menyekat reseptor H2 pada perut supaya dapat mengurangkan penghasilan asid. Contohnya, ubat ranitidine.
  • Ubat “proton pump inhibitor”. Ubat ini berfungsi untuk menghalang sel perut yang berfungsi untuk menghasilkan asid. Contohnya, ubat Pantoprazole dan Omeprazole.
  • Ubat antibiotik. Ubat ini berfungsi untuk membasmi kuman H.pylori dalam perut sekiranya dikesan bahawa pesakit dijangkit kuman tersebut.

Selain itu, jangkitan kuman H.pylori merupakan sesuatu yang boleh dicegah melalui amalan seperti membasuh tangan sebelum makan dan tidak berkongsi perkakas makanan dengan orang yang menghidapi penyakit gastrik.

Masalah gastrik kronik merupakan panyakit boleh menjejaskan kualiti kehidupan serta mendatangkan komplikasi berat pada masa depan. Kesihatan fizikal dan mental tidak harus dipandang remeh dan sebarang simptom yang wujud memerlukan nasihat dan perhatian pihak perubatan.

Sekiranya encik mempunyai sebarang persoalan, encik boleh merujuk kepada laman web www.doctoroncall.com.my .

Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

References