Ketahui Tanda, Ciri-Ciri Dan Cara Untuk Mengesahkan Jika Bayi Menghidapi Autisme

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: April 2, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya merupakan seorang pelajar sekolah menengah dan mempunyai seorang adik berumur 3 tahun. Dia merupakan satu-satunya adik saya dan saya sangat sayang kepadanya. Sejak kecil,saya sentiasa bermain dan bercakap dengannya namun saya perasan dia kurang berkomunikasi serta menjawab sapaan saya. Saya menyangkakan ini adalah perkara biasa namun, kawan-kawan ibu ada menasihati kami agar membawa dia berjumpa doktor kerana ini mungkin disebabkan penyakit autisme. Saya tidak pernah mengetahui tentang penyakit ini dan dia kelihatan normal seperti bayi biasa. Saya sangat risau mengenai perkara ini dan bolehkah doktor terangkan tentang penyakit autisme dengan lebih lanjut.

Jawapan:
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Kami memahami kebimbangan yang anda alami berkenaan dengan situasi adik anda. Untuk pengetahuan anda, penyakit autism tidak menunjukkan sebarang kecacatan fizikal tetapi kepada perkembangan mental. Terdapat banyak blog, laman sesawang serta medium penulisan yang lain menceritakan tentang pengalaman anak autisme dan dari situ, dapat dilihat bahawa sakit ini adalah satu spektrum simptom. Keseriusan penyakit ini boleh dikelaskan kepada beberapa tahap iaitu tahap terkawal (mild autisme), sederhana dan tahap membimbangkan dan ia bergantung kepada kesan simptom terhadap kehidupan harian pesakit. Punca anak autisme ini belum dapat dikenalpasti namun terdapat kajian mengatakan bahawa genetik merupakan salah satu punca terjadinya senario ini. Oleh itu, mari ketahui ciri-ciri autisme teruk dengan membaca penulisan artikel di bawah.

Untuk pengetahuan anda, tiada tempoh tepat untuk mengesan simptom autisme dalam anak anda. Penyakit ini boleh boleh dikesan sejak berusia beberapa bulan sehinggalah dewasa asalkan trend perkembangan minda anak-anak dapat untuk diperhatikan serta dinilai. Terdapat juga situasi dimana bayi tersebut membesar seperti normal sehingga satu tahap, pembesaran bayi terbantut atau berlaku keadaan apabila bayi kehilangan skil yang sebelum ini telah dipelajari.

Jika penyakit ini dapat dikesan dari awal, langkah proaktif dapat diambil bagi mengurangkan impak negatif kepada kanak-kanak tersebut. Berikut merupakan ‘red flag’ atau tanda amaran kepada penyakit autisme yang harus ibu bapa ketahui. Sekiranya anak anda mengalami gejala berikut sila rujuk kepada pakar perubatan untuk siasatan lanjut.

  • Lambat bercakap
  • Mengelak menatap mata ketika berbual dan gemar berseorangan 
  • Suka mengulang sesuatu perkataan atau ayat
  • Memberi jawapan berbeza daripada soalan yang diajukan
  • Tidak memberi reaksi ketika nama dipanggil pada umur 12 bulan 
  • Tidak menunjuk minat (dengan menunjuk terhadap sesuatu objek tersebut) pada umur 14 bulan 
  • Tidak berminat bermain olok-olok pada umur 18 bulan
  • Sukar untuk memahami perasaan orang lain atau meluahkan perasaan sendiri
  • Perubahan terhadap persekitaran akan menyebabkan mereka marah
  • Taksub terhadap sesuatu perkara
  • Menunjukkan reaksi yang tidak sepatutnya terhadap satu ransangan
  • Sering melakukan perbuatan berulang yakni seakan-akan mengepak tangan, mengoncang badan atau berpusing dalam bulatan

Autisme memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan penghidapnya. Simptom yang dialami oleh seorang kanak-kanak mungkin berbeza dengan yang lain. Berikut merupakan domain yang terkesan serta contoh-contoh simptom yang boleh terjadi kepada pesakit autisme.

Kemahiran sosial

Isu sosial adalah masalah lazim yang dialami oleh kanak-kanak autisme. Ini memberi impak besar serta merencatkan kehidupan seharian mereka. 

Berikut merupakan masalah sosial yang mungkin akan dialami oleh kanak-kanak yang menghidapi autisme:

  • Tidak dapat menunggu giliran
  • Tidak suka berkongsi minat
  • Mimik muka yang mendatar atau tidak sesuai dengan situasi semasa
  • Tidak memahami konsep ruang peribadi (personal space)
  • Tidak gemar atau mengelak sentuhan fizikal 
  • Sukar untuk dipujuk 
  • Berkomunikasi hanya untuk mencapai matlamat yang dikehendaki

Kemahiran Komunikasi

Bagi kemahiran komunikasi pula, hal ini amatlah bergantung kepada individu itu sendiri kerana ada antara kanak-kanak autisme yang mampu berkomunikasi seperti normal dan ada yang tidak dapat berkomunikasi secara langsung. Selain genetik, faktor yang memberi kesan kepada isu ini ialah cara mereka dibesarkan, keadaan persekitaran dan pendedahan awal.

Antara contoh masalah komunikasi yang dialami oleh kanak-kanak autisme ialah:

  • Lambat bercakap
  • Menggunakan perkataan yang bertentangan dengan maksud sebenar (menggunakan dia untuk merujuk saya)
  • Gemar mengulang perkataan atau ayat yang sama
  • Tidak menjawab soalan yang diajukan
  • Tiada isyarat badan
  • Tidak menunjuk kepada objek yang diingini atau tidak merespon apabila seseorang menunjuk pada sesuatu
  • Bercakap dalam tona yang rata, seperti robot atau menyanyi
  • Tidak memahami gurauan atau sindiran 
  • Tidak bermain olok-olok seperti kanak-kanak lain

Minat dan kelakuan yang aneh

Kebiasaanya, kanak-kanak autisme juga didapati mempunyai minat dan kelakuan yang aneh. Antara yang dapat diperhatikan ialah:

  • Suka menyusun mainan dan objek dalam satu barisan
  • Sering bermain dengan mainan yang sama dengan cara yang sama
  • Minat yang khusus pada satu bahagian objek (minat dengan tayar pada kereta mainan)
  • Harus melalui rutin yang sama
  • Mudah merasa sedih dengan perubahan yang kecil
  • Taksub kepada satu minat atau hobi
  • Sangat tersusun
  • Berulang-ulang kali mengepak tangan, mengoncang badan dan bepusing dalam bulatan

Simptom lain yang boleh dialami oleh kanak-kanak autisme

  • Sering mengamuk
  • Tabiat makan dan tidur yang aneh
  • Terlebih aktif (Hyperactivity)
  • Panas baran
  • Bertindak melulu
  • Sukar untuk fokus
  • Cenderung untuk mncederakan diri sendiri
  • Mood yang tidak normal dan sering kali tidak stabil
  • Terlalu takut atau tidak mempunyai perasaan takut
  • Reaksi yang keterlaluan atau tidak sesuai 

Melalui penerangan di atas, terdapat senarai panjang simptom autisme. Namun, kanak-kanak tersebut tidak semestinya mempunyai semua semua gejala untuk disahkan menghidap sakit ini. Terdapat dignosis lain juga yang perlu untuk dipertimbankan.

Terdapat banyak ujian autisme di internet dan sebagainya, namun ia tidak mencukupi untuk mengesahkan diagnosis autisme. Ujian lain yang harus dilakukan termasuklah, ujian pendengaran bagi memastikan kanak-kanak tersebut lambat bercakap bukan kerana masalah pendengaran. Seterusnya,pakar psikiatri akan melakukan ujian khas dan yang lebih khusus sebelum diagnosis autisme diberikan. Oleh itu, amat disarankan jika anak yang disyaki menghidap autisme ini dibawa berjumpa doktor agar pemeriksaan lanjut dapat dilaksanakan. 

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy