Apakah itu pil perancang Mercilon (Combined Oral Contraceptive Pill) dan faedah pengambilannya?

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 7, 2020

Soalan:

Selamat petang, doktor. Saya adalah seorang wanita berusia 29 tahun yang baru berkahwin selama 3 bulan. Saya bekerja sebagai seorang penjual insurans. Saya amat bahagia bersama suami tersayang tetapi kami masih belum bersedia untuk mempunyai anak kerana kami masih ingin menumpukan perhatian dalam kerjaya masing-masing. Namun, saya dengan suami tidak suka menggunakan kondom semasa menjalinkan hubungan. Setakat ini, saya bernasib baik kerana masih mendapat haid setiap bulan. Rakan sekerja saya telah mencadangkan supaya mengambil pil perancang Mercilon untuk mencegah kehamilan. Adakah pil perancang ini berkesan untuk mencegah kehamilan ataupun suami masih perlu menggunakan kondom? Saya berasa sedikit bimbang untuk makan pil ini kerana sebelum ini saya jarang makan ubat. Bolehkah doktor terangkan serba sedikit mengenai pil ini?

Soalan berkenaan - pil perancang mercilon, kesan pil perancang mercilon, faedah pil perancang mercilon, cara untuk makan pil perancang mercilon

Jawapan:
Terima kasih atas soalan anda, puan. Pertama kali saya ingin mengucapkan tahniah atas perkahwinan anda. Soalan puan memang baik sekali kerana perancangan keluarga merupakan salah satu aspek yang penting untuk dipertimbangkan selepas berkahwin. Untuk menjawab soalan puan, pil perancang Mercilon ini merupakan salah satu jenis teknik pencegahan hamil yang popular dan amat berkesan. Suami puan tidak perlu menggunakan kondom apabila menjalinkan hubungan dengan suami, dengan syarat kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang penyakit kelamin, kerana statistik kegagalan fungsi pil adalah pada 5% hingga 8% akibat daripada tidak mengambil pil tepat pada waktu atau berhenti pengambilan pil untuk terlalu lama. Pil ini biasanya adalah efektif jika diambil secara berdisiplin. Namun begitu masih ada kemungkinan untuk hamil dalam kes-kes terpencil. Pil ini biasanya adalah selamat untuk digunakan, namun puan perlulah mengetahui beberapa kesan sampingan yang boleh terjadi. Rujuk pek bagi mengetahui cara pengambilan dan patuhi arahan yang diberikan.

Apakah itu pil perancang mercilon

  • Pil perancang Mercilon ini merupakan sejenis pil perancang gabungan (combined oral contraceptive pill). Setiap biji pil ini mengandungi sejumlah kecil dua jenis hormon wanita, iaitu ethinyestradiol (estrogen) serta desogestrel (progesteron). Setiap pil mengandungi dos hormon yang sama. Justeru itu, pil perancang ini juga dikenali sebagai pil monofasik.
  • Pil ini bertujuan untuk mencegah kehamilan, tetapi sesetengah wanita menggunakan pil Mercilon untuk membetulkan kitaran haid yang tidak menentu, mengurangkan pendarahan berlebihan(menorrhagia) serta mengurangkan senggugut. Sekiranya pil ini diambil mengikut arahan, ia 99% berkesan dalam mencegah kehamilan. Pil ini boleh dibeli di mana-mana farmasi terdekat dan tidak memerlukan preskripsi doktor.
  • Dalam kitaran haid yang normal, tahap hormon wanita akan menyebabkan ovum matang setiap bulan dan menjalankan fungsinya pada rahim. Pil ini mampu mencegah kehamilan kerana dos hormon di dalam pil bertindak menghalang pelepasan telur dari ovari. Sekiranya tiada telur yang dilepaskan maka anda tidak boleh hamil.
  • Selain itu, pil ini juga menyebabkan lendir pada pangkal rahim menjadi lebih pekat supaya pergerakan sperma ke dalam rahim lebih susah.

Apakah kesan pil perancang mercilon

Sama seperti ubat-ubatan lain, pil perancang Mercilon juga boleh menyebabkan kesan sampingan kepada sesetengah pengguna.

Kesan sampingan yang lazim berlaku:

  •  Sakit kepala
  •  Rasa loya
  •  Sakit pada payudara
  •  Naik berat badan
  •  Rasa murung

Kesan sampingan yang jarang sekali berlaku:

  •  Pengurangan libido
  •  Muntah-muntah
  •  Cirit-birit
  •  Ruam
  •  Alahan yang teruk
  •  Bekuan darah(thrombus) dalam salur darah
  •  Migrain
  •  Discaj dari payudara atau faraj
  •  Ketumbuhan pada organ hati

Sekiranya seseorang mengalami kesan sampingan yang tidak disenaraikan atau serius, mereka haruslah berjumpa doktor dengan segera.

Apakah faedah pil perancang mercilon?

Selain daripada untuk mencegah kehamilan, pil Mercilon ini juga memberi faedah lain kepada wanita. Antaranya ialah:

  • Mengurangkan senggugut haid
  • Mengurangkan kuantiti pendarahan haid
  • Mengurangkan tempoh haid
  • Membantu masalah jerawat
  • Mengurangkan simptom pra-haid (“premenstrual syndrome”)
  • Melindungi dari barah ovari dan endometrium

Bagaimana cara untuk mengambil pil perancang mercilon?

  • Satu papan pil ini mengandungi 21 biji tablet dan terdapat tanda hari pada setiap tablet, iaitu hari tablet harus dimakan. Tablet ini haruslah dimakan setiap hari pada waktu yang sama mengikut arah anak panah yang tertera pada papan Mercilon.
  • Selepas habis makan semua 21 biji tablet, janganlah membuka pek yang baru terdahulu selama 7 hari. Dalam masa 7 hari tiada pengambilan pil ini, anda mungkin mengalami haid atau pendarahan. Walaupun tiada pengambilan Mercilon dalam 7 hari ini, anda masih dilindungi daripada kehamilan. Meskipun haid masih berterusan, anda haruslah memulakan pengambilan pek Mercilon yang baru pada hari ke-8.
  • Biasanya, lebih baik untuk mula mengambil pil Mercilon pada hari pertama datang haid kerana anda akan dilindungi daripada kehamilan serta-merta. Sekiranya anda mula mengambil pil Mercilon pada masa yang lain dalam kitaran haid anda, untuk 7 hari pertama makan pil ini anda masih perlu menggunakan kontrasepsi yang lain seperti kondom sementara menunggu pil ini bertindak.

Siapakah yang dilarang mengambil pil perancang mercilon

Pil perancang Mercilon ini biasanya tidak mendatangkan kesan-kesan sampingan yang serius. Namun, terdapat segelintir orang yang tidak harus mengambil pil perancang ini kerana risiko kesan sampingan yang serius lebih tinggi dalam kalangan mereka.

Individu di bawah dinasihatkan untuk tidak mengambil pil ini sekiranya:

  • Pernah mengalami bekuan darah dalam salur darah dan organ lain.Hal ini disebabkan pil ini akan meningkatkan tahap kepekatan darah dalam badan.
  • Pernah mengalami serangan sakit jantung atau strok.
  • Merokok.
  • Menghidap penyakit migrain.
  • Mengalami pendarahan dari faraj yang puncanya masih tidak ketahui.
  • Kemungkinan sudah hamil.
  • Menghidap masalah hati.
  • Menghidap barah payudara atau organ reproduktif.Pengambilan pil hormon boleh menyebabkan pembesaran barah sekiranya anda mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap barah.

Apa yang harus saya lakukan jika terlupa makan pil?

Sekiranya anda terlupa mengambil pil, langkah-langkah berikut harus dipatuhi:

  • Jika lewat 12 jam memakan pil, pil masih berkesan untuk mencegah hamil. Makan pil tersebut sebaik sahaja ingat dan pil seterusnya harus dimakan pada waktu yang biasa.
  • Jika lewat melebihi 12 jam,keberkesanan pil mungkin berkurang. Sekiranya tablet lupa diambil secara berturut-turut, risiko hamil menjadi semakin tinggi.
  • Jika lebih dari satu pil,lupa dimakan, anda dinasihati supaya berjumpa dengan doktor.
  • Jika satu pil pada minggu 1 lupa dimakan,makan pil yang dilupakan sebaik sahaja teringat dan jika perlu, makan 2 tablet sekali gus. Untuk 7 hari selepas itu gunakanlah kondom atau kaedah tambahan untuk mencegah kehamilan.
  • Jika satu pil pada minggu 2 lupa dimakan,makan pil yang dilupakan tersebut sebaik sahaja teringat. Anda tidak perlu menggunakan kaedah tambahan kerana keberkesana pil masih sama.
  • Jika satu pil pada minggu 3 lupa dimakan,anda boleh makan pil yang dilupakan tersebut segera. Selepas habis papan pil ini, janganlah mengambil 7 hari rehat tetapi sebaliknya mulakan papan Mercilon yang baru. Hal ini bermaksud anda tidak akan mengalami haid pada bulan tersebut. Selain itu, anda juga boleh terus berhenti makan pil dari papan tersebut dan berehat 7 hari, kemudian mulakan papan yang baru.
  • Sekiranya anda mengalami sakit muntah-muntah atau cirit-birit yang teruk dalam masa 3-4 jam selepas makan pil perancang ini, anda haruslah menggunakan kaedah pencegahan kehamilan tambahan ataupun ikuti nasihat di atas.

    Sekiranya anda mengambil ubat lain, contohnya ubat antibiotik, rawatan herba, ubat rawatan HIV dan sebagainya, ubat tersebut mungkin akan menghalang keberkesanan pil Mercilon. Oleh itu, sebarang ubatan lain termasuklah ubat tradisional yang sedang diambil haruslah diberitahu kepada doktor atau ahli farmasi supaya mereka boleh menilai sama ada anda memerlukan kaedah pencegahan hamil tambahan.

    Saya berharap segala persoalan puan telah terjawab. Jika puan mempunyai sebarang keraguan, puan bolehlah merujuk kepada doktor kami di laman webwww.doctoroncall.com.my 

    Terima kasih.


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Diskaun Hingga RM12 untuk Perubatan