Bagaimana COVID-19 Boleh Membunuh Golongan Muda Yang Sihat?- DoctorOnCall

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Ogos 6, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera, doktor. Saya seorang pelajar di sebuah Universiti tempatan. Isu coronavirus yang melanda dunia sekarang sangat membimbangkan saya. Saya pernah terbaca sebelum ini bahawa kesan jangkitan coronavirus ini bergantung dengan tahap imuniti seseorang. Sekiranya imuniti seseorang itu lemah, maka kesan jangkitan ini boleh membawa maut. Ketika itu, saya berpendapat golongan muda seperti saya akan lebih kebal dengan jangkitan ini. Akan tetapi, saya mendapat berita bahawa seorang dari pelajar di Universiti saya telah meninggal dunia akibat jangkitan ini. Kalau tidak silap, beliau tidak ada mengalami masalah kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sebagainya. Persoalan saya, ramaikah kematian golongan muda disebabkan jangkitan ini dan bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Jawapan:
Selamat sejahtera. Terima kasih atas soalan yang diajukan. Saya memahami kerisauan anda mengenai isu ini. Tahap imuniti seseorang memainkan peranan dalam kesan selepas dijangkiti virus ini. Akan tetapi, sejujurnya banyak lagi yang belum kita fahami mengenai virus ini. Menurut laporan, kematian disebabkan jangkitan ini adalah rendah berbanding dengan golongan berumur. Kurang daripada 1% kematian berlaku dalam kalangan pesakit berumur 20–54 tahun yang dijangkiti coronavirus. Terdapat beberapa teori bagi menjelaskan kematian yang berlaku di kalangan golongan muda. Untuk mengetahui jawapannya, sila baca penulisan artikel di bawah.

Menurut laporan data awal yang diperolehi oleh pihak CDC United states, 53% daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan oleh jangkitan coronavirus adalah yang berumur lebih daripada 55 tahun. Ini bermaksud setengah daripada pesakit adalah daripada kalangan orang muda. Akan tetapi, kadar kematian di US melalui laporan CDC setakat 16 Mac ini adalah paling tinggi di kalangan pesakit yang berumur ≥85 tahun iaitu antara 10-27%. Manakala 3-11% berlaku dalam kalangan pesakit berumur 65–84 tahun dan 1- 3% dalam kalangan pesakit berumur 55-64 tahun. Kurang daripada 1% kematian berlaku dalam kalangan pesakit berumur 20–54 tahun. Sekiranya anda mengikut perkembangan wabak ini, hal yang sama dapat dilihat berlaku di Malaysia. Kebanyakan kes kematian berlaku di kalangan pesakit yang berumur.

Walaupun peratusan kematian dalam kalangan yang berumur 20-54 tahun tidak tinggi, namun nombor berikut membuktikan bahawa kematian disebabkan coronavirus ini boleh berlaku kepada orang muda. Maka ini menjawab persoalan di atas, coronavirus boleh membunuh orang muda. 

Kematian warga emas disebabkan virus ini tidak menjadi persoalan kerana ia boleh dijelaskan dengan sebab imuniti badan yang lebih lemah dan sejarah penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta kolesterol tinggi yang memburukkan lagi tahap imuniti mereka.

Namun, kenapa adanya segelintir individu muda yang sihat boleh tumpas kepada virus ini? Ini menimbulkan persoalan mengenai sifat virus ini. Setakat ini beberapa teori telah dicadangkan untuk menjelaskan permasalahan ini. 

Salah satu teori mencadangkan ianya berkaitan dengan kerentanan genetik seseorang individu terhadap jangkitan ini. Dengan kata lain, genetik yang membentuk seseorang individu itu menyebabkan mereka menghasilkan reaksi yang berlebihan terhadap jangkitan ini.

Antara contoh jangkitan bagi teori ini adalah jangkitan daripada virus herpes simplex yang menyebabkan ‘cold sore’. Namun sesetengah individu yang mengalami mutasi genetik pada reseptor sel TLR3 yang terdapat di sistem saraf pusat akan mengalami kesan lebih daripada hanya ‘cold sore’. Ianya menyebabkan keradangan otak atau dikenali sebagai ‘herpes simplex encephalitis’.

Teori lain mencadangkan hubungan antara beban virus tersebut dengan kesannya kepada individu yang dijangkiti. Terdapat laporan awal dari China yang berpendapat bahawa beban virus adalah tinggi dalam pesakit yang mengalami gejala yang jauh lebih parah, seperti mana yang dapat dilihat dalam jangkitan SARS. Akan tetapi, teori ini belum dapat dipastikan lagi. 

Sebagai konklusi, risiko kematian adalah rendah dalam kalangan orang muda namun risiko untuk mendapat jangkitan ini masih tinggi. Maka, elakkan diri daripada terdedah kepada jangkitan ini. Tolong tinggal di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak kerajaan. Sekiranya anda bergejala, lakukan kuarantin kendiri dan awasi gejala yang anda alami. Jika ia berterusan dan semakin parah, dapatkan nasihat daripada doktor. Mungkin untuk anda ianya hanya batuk dan demam sedikit dan tidak membunuh. Tetapi, sekiranya anda keluar dengan virus itu dan menjangkiti warga emas, atau individu lain yang malangnya mengalami kesan buruk terhadap virus ini, ia mampu membunuh. Maka, jadilah individu yang bertanggungjawab dan sentiasa amalkan ‘social distancing’. Semoga dengan kerjasama anda semua, pandemic ini reda secepat mungkin.

Rujukan



Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tebus baucar RM15 di e-farmasi