Terima kasih atas soalan anda. Untuk menjawab soalan anda, bacaan sel darah putih yang meningkat boleh disebabkan pelbagai perkara. Sel darah putih adalah salah satu sel imuniti dalam badan manusia. Sel ini berfungsi melawan dan menghapuskan objek asing yang masuk ke dalam tubuh seperti virus dan bakteria, maka jumlah sel ini akan meningkat apabila keadaan ini berlaku. Namun begitu, ia juga boleh meningkat akibat faktor lain seperti tekanan, radang, kecederaan, alergi dan penyakit-penyakit lain.
Dalam kes anda, ubat yang digunakan untuk merawat asma anda mungkin adalah sejenis steroid dan ubatan jenis ini boleh meningkatkan sel darah putih. Selain itu, anda juga menghidap demam panas dan peningkatan sel darah putih tersebut boleh disebabkan oleh sebarang jangkitan atau keradangan yang menjadi penyebab demam tersebut. Keputusan ujian darah perlu dilihat dan dinilai secara menyeluruh dari aspek keadaan dan pemeriksaan ke atas pesakit dan bukannya bergantung kepada nilai bacaan ujian tersebut sahaja.
Senarai di bawah adalah antara penyebab utama terjadinya peningkatan jumlah sel darah putih:
Jangkitan kuman: Sel darah putih boleh meningkat akibat jangkitan virus atau bakteria. Dalam sistem imunisasi badan yang normal, sumsum tulang akan mengeluarkan lebih banyak sel darah putih apabila serangan virus atau bakteria dikesan.
Keradangan: Terdapat banyak jenis penyakit yang menyebabkan keradangan termasuk alahan dan jangkitan. Antara penyakit ini adalah asma, ‘rheumatoid arthritis’, Crohn’s dan sebagainya.
Melecur atau terbakar: Bahagian tubuh yang melecur atau terbakar juga boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan.
Pembedahan: Selepas seseorang melalui pembedahan, jumlah darah putih akan meningkat. Doktor akan memantau tanda-tanda lain untuk memastikan perkara ini bukan berlaku akibat jangkitan pada luka pembedahan.
Ubat-ubatan: Pengambilan ubat - ubatan seperti steroid boleh menyebabkan sel darah putih meningkat.
Stres/tekanan: Tekanan emosi atau fizikal boleh meningkatkan jumlah sel darah putih.
Penyakit sumsum tulang: Sumsum tulang adalah tempat penghasilan sel darah putih dan merah. Sebarang masalah di bahagian ini boleh menyebabkan penghasilan sel darah putih terlalu tinggi atau terlalu rendah.
Dua kumpulan utama kanser darah adalah leukemia dan lymphoma. Berikut adalah senarai gejala yang berkaitan dengan kanser darah.
Anemia - paras darah merah yang rendah
Lesu, cepat berasa penat, sesak nafas, pening kepala, jantung berdebar
Sering demam
Badan terasa lemah
Berpeluh dengan banyak pada waktu malam
Mudah lebam
Pendarahan pada hidung dan gusi
Masalah haid yang terlalu banyak
Lebih sering diserang jangkitan kuman dan jangkitan lebih serius
Kelenjar limfa bengkak
Turun berat badan tanpa sebab
Oleh sebab darah putih tinggi berlaku akibat masalah kesihatan lain tiada rawatan yang khusus untuk merendahkan jumlah sel darah putih tinggi. Dengan merawat punca masalah yang berkaitan, dapat mengembalikan paras normal sel darah ini di dalam tubuh.
Jika terdapat seberang kemusykilan, sila berjumpa dengan doktor. Anda juga boleh bertanya dengan doktor di www.doctoroncall.com.my.
Rujukan
Soalan berkenaan - sel darah putih tinggi pada anak, ubat tradisional kelebihan darah putih, cara menurunkan sel darah putih, infeksi sel darah putih, cara mengatasi kelebihan sel darah putih
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my