Tindak balas awal badan terhadap dehidrasi adalah dahaga untuk meningkatkan pengambilan air, dan mengurangkan pengeluaran air kencing untuk memulihkan semula kehilangan air. Air kencing akan menjadi pekat dan lebih berwarna kuning pekat.
Kerana tahap kehilangan air meningkat, lebih banyak gejala dapat dilihat dengan jelas. Berikut adalah tanda dan gejala dehidrasi:
- Bibir dan mulut kering
- Air mata berkurang
- Peluh boleh berhenti
- Kekejangan otot
- Pening dan muntah
- Rasa berdebar-debar
- Sakit kepala (terutama apabila berdiri)
- Lemah-lemah badan
- Berkurangnya pengeluaran air kencing
Badan cuba untuk mengekalkan output jantung (jumlah darah yang dipam oleh jantung ke badan); dan jika jumlah bendalir dalam ruang intravaskular berkurangan, badan akan cuba mengimbangi pengurangan ini dengan meningkatkan kadar denyutan jantung dan membuatkan saluran darah mengecut untuk cuba mengekalkan tekanan darah dan aliran darah ke organ-organ penting dalam tubuh badan. Tubuh badan cuba untuk menghalakan aliran darah dari kulit ke organ dalaman, misalnya, otak, jantung, paru-paru, buah pinggang, dan usus; menyebabkan kulit berasa sejuk dan lemah. Mekanisme ini akan mula lemah jika tahap dehidrasi semakin teruk.
Dengan dehidrasi yang teruk, kekeliruan dan lemah-lemah badan akan berlaku kerana otak dan organ badan lain menerima aliran darah yang kurang. Akhirnya, koma, kegagalan organ, dan kematian akan berlaku jika dehidrasi tidak dirawat.