Demam Kuning- Virus & Penyakit Yang Menyebabkannnya Pada Bayi & Orang Dewasa

Demam Kuning, Bagaimanakah Ia Berlaku Pada Bayi & Orang Dewasa?- DoctorOncall
Anonymous

Selamat Sejahtera doktor. Saya wanita berumur 28 tahun dan baru sahaja melahirkan bayi lelaki seminggu lepas. Semenjak 2 hari dilahirkan, anak saya disahkan menghidap demam kuning. Jururawat datang ke rumah dan menyedari perubahan fizikal anak saya. Saya melahirkan bayi yang cukup bulan dan setahu saya hanya bayi pra matang mendapat risiko demam kuning ini. Saya menyusu badan anak saya dan dia juga kerap membuang air besar dan air kecil. Saya kerap menukar lampinnya dan dia juga minum susu secukupnya. Walaupun setelah melakukan perkara-perkara ini, anak saya masih lagi demam kuning. Bolehkah doktor jelaskan mengapa anak saya masih menghidap demam kuning?

Anonymous
Selamat Sejahtera doktor. Saya wanita berumur 28 tahun dan baru sahaja melahirkan bayi lelaki seminggu lepas. Semenja... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih kerana mengajukan soalan tersebut kepada pihak kami. Soalan yang anda ajukan merupakan soalan yang sering menjadi tanda tanya ibu-ibu baru atau bakal ibu. Demam kuning merupakan gejala yang sering dihadapi oleh bayi yang baru lahir tanpa mengira cukup bulan atau bayi pra matang. Pihak kami bersetuju dengan pandangan anda tentang bayi pra matang mendapat risiko demam kuning ini. Hal ini kerana organ yang bertanggung jawab memproses bahan yang menyebabkan demam kuning iaitu billirubin masih belum mencapai tahap matang. Namun, tidak bermaksud bayi yang cukup bulan tidak memiliki risiko untuk menghidap demam kuning sama-sekali. Dalam ulasan ini, kami akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang punca yang menyumbang kepada masalah demam kuning ini. 


Terima kasih kerana mengajukan soalan tersebut kepada pihak kami. Soalan yang anda ajukan merupakan soalan yang ... See More

Apakah Itu Demam Kuning?

Demam kuning ialah terma yang merujuk kepada masalah kuning pada badan yang boleh dijangkiti setiap lapisan umur tanpa mengira orang dewasa mahupun bayi baru lahir. Gejala kuning pada badan ini boleh dilihat pada mata putih, bawah lidah dan kulit. Kadangkala, cecair badan juga boleh berubah menjadi warna kuning. 

Perubahan tahap warna kuning ini berubah mengikut tahap bilirubin. Bilirubin ialah bahan yang bertanggungjawab memberi warna kuning tersebut dan ia merupakan bahan kumuh yang dihasilkan dalam darah. Semakin tinggi bilirubin dalam darah, semakin pekat warna kuning tersebut. 

Organ hati merupakan organ yang menapis bahan kumuh daripada darah seperti bilirubin. Apabila bilirubin sampai ke hati, ia akan melekat pada bahan kimia sehingga menghasilkan bilirubin berkonjugat. Pada masa yang sama, ‘bile’ iaitu jus yang mencerna makanan dihasilkan organ hati. Bilirubin berkonjugat bercampur dengan ‘bile’ tersebut dan dikeluarkan badan melalui najis serta berfungsi sebagai pewarna najis tersebut iaitu coklat. 

Apakah Bacaan Bilirubin Yang Menyebabkan Demam Kuning?

Bacaan bilirubin berbeza mengikut usia bayi. Bilirubin kebiasaannya tinggi pada bayi yang baru dilahirkan. Bacaan bilirubin yang normal dalam masa 24 jam ialah 5.2mg/dL. Namun, disebabkan organ yang masih dalam tempoh baru matang, jumlah bilirubin boleh mencapai jumlah tersebut atau melebihi tahap yang normal. 

Apakah Penyebab Demam Kuning Pada Bayi?

Memandangkan demam kuning kerap berlaku kepada bayi dan boleh menyebabkan kesan buruk, ia harus dititikberatkan. Kebiasaannya, penyebab demam kuning pada bayi dibahagi mengikut tempoh gejala ini hadir iaitu dalam masa 24 jam, selepas 24 jam hingga 72 jam dan selepas 72 jam. 

Demam Kuning yang berlaku pada awal kelahiran iaitu dalam masa 24 jam

  • Anemia Hemolisis (Pemecahan Sel darah Merah)

Bilirubin juga merupakan sisa buang yang terhasil daripada pemecahan sel darah merah. Ia akan meningkat apabila berlaku proses yang memecahkan sel darah merah. Penyakit seperti masalah Rhesus yang tidak sama antara ibu dan anak menyebabkan sel darah merah pada bayi akan mengalami pemecahan yang tidak terkawal. Rhesus merupakan bahan yang melekat pada sel darah merah. Sebagai contoh, apabila si ibu yang tidak memiliki faktor Rhesus melahirkan anak yang memiliki faktor Rhesus, ibu akan menghasilkan antibodi yang akan menyerang sel darah merah bayi. Selain itu, penyakit keturunan seperti masalah G6PD yang sedikit turut menyebabkan masalah sel darah merah yang pecah secara berlebihan. 

  • Jangkitan kongenital (Jangkitan yang wujud semasa atau sebelum kelahiran) 

Virus seperti CMV menyebabkan risiko pemecahan sel darah merah. Selain itu, jangkitan kongenital ini mengganggu salah satu proses penghasilan bilirubin berkonjugat di dalam hati. Hal ini menyebabkan bilirubin tidak boleh ditapis daripada badan akibat daripada tidak berlakunya proses ini. 


Demam Kuning yang berlaku selepas 24 jam hingga 72 jam

  • Jaundis Fisiologi

Organ hati bayi baru lahir masih tidak begitu matang untuk menjalankan fungsi memproses bilirubin dengan efektif. 

  • Jaundis Susu Ibu

Masalah jaundis berlaku yang disebabkan susu ibu. Namun, punca sebenar masalah ini berlaku tidak diketahui dengan jelas. Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa protein yang terkandung dalam susu ibu bertindak sebagai penghalang kepada organ hati untuk berfungsi sebagai organ yang memecahkan bilirubin. 

  • Sepsis 

Apabila sepsis berlaku, organ hati berisiko mengalami kegagalan. Bilirubin juga akan terkumpul sehingga menyebabkan demam kuning jika organ hati gagal berfungsi. 

  • Hemolisis

Pemecahan sel darah merah akibat transfusi darah yang tidak sama, rhesus antara ibu dan anak yang tidak sama dan masalah G6PD. 

  • Sindrom Crigler-Najjar (tahap enzim glucuronyl transferase yang rendah)

Sindrom ini merupakan kondisi genetik yang mengakibatkan enzim yang berfungsi untuk menghasilkan bilirubin berkonjugat menjadi rendah. 

  • Polisitemia (Kandungan sel darah merah yang tinggi dan berlebihan)

Apabila sel darah merah dalam darah tinggi, maka, lebih banyak sel darah merah yang akan pecah. Bilirubin sebagai hasil pemecahan sel darah merah yang berlebihan boleh terkumpul akibat kapasiti organ hati yang tidak mampu memproses pemecahan sel darah merah tersebut. 


Demam kuning yang berlaku selepas 72 jam

  • Salur hempedu tersumbat 

Saluran yang mengalirkan cecair hempedu dari pundinya ke dalam duodenum tersumbat menyebabkan bilirubin tidak boleh dibuang daripada badan. Maka, bilirubin terkumpul dan menyebabkan demam kuning berlaku. 

  • Saluran hempedu atresia 

Saluran hempedu yang terhasil secara abnormal iaitu ketiadaan bukaan pada penghujung salur hempedu. Hal ini juga menyebabkan bilirubin terkumpul pada badan sehingga menyebabkan demam kuning berlaku. 

  • Hepatitis yang berlaku pada bayi baru lahir

Apabila berlaku keradangan pada organ hati, hal ini menyebabkan bilirubin tidak boleh dialirkan dengan efektif. Maka, bilirubin juga terkumpul sehingga menyebabkan bayi mengalami jaundis. 

  • Jaundis Fisiologi

Organ hati bayi baru lahir masih tidak begitu matang untuk menjalankan fungsi memproses bilirubin dengan efektif. 

  • Jaundis Susu Ibu

Masalah jaundis berlaku yang disebabkan susu ibu. Namun, punca sebenar masalah ini berlaku tidak diketahui dengan jelas. Terdapat beberapa kajian menunjukkan bahawa protein yang terkandung dalam susu ibu bertindak sebagai penghalang kepada organ hati untuk berfungsi sebagai organ yang memecahkan bilirubin. 

  • Jangkitan kuman pada badan

Jangkitan ini mengganggu salah satu proses penghasilan bilirubin berkonjugat di dalam hati. Hal ini menyebabkan bilirubin tidak boleh ditapis daripada badan akibat daripada tidak berlakunya proses ini. 

  • Hormon Tiroid yang sedikit (Hipotiroidisme)

Penyakit ini mengakibatkan penghasilan bilirubin berkonjugat terhasil dengan lebih perlahan. Maka, terdapat risiko bilirubin terkumpul dan menyebabkan demam kuning. 

Apakah Penyebab Demam Kuning Pada Orang Dewasa?

Jika anda memiliki tanggapan bahawa demam kuning hanya berlaku pada bayi baru lahir, maka tanggapan ini salah. Selagi badan anda menghasilkan darah merah, jus hempedu, anda akan memiliki risiko demam kuning lebih-lebih lagi jika terdapat masalah pada salah satu organ atau langkah memproses bilirubin.

Jaundis yang berlaku dalam kalangan orang dewasa boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai perkara. Sebarang penyakit atau ubat-ubatan yang menjejaskan perkara berikut akan menyumbang kepada masalah demam kuning. 

  • Fungsi Organ hati 

Seperti yang dijelaskan diatas, organ hati berfungsi untuk memproses dan memecahkan bilirubin agar boleh dikeluarkan daripada badan. Jika fungsi organ ini terjejas, bilirubin akan terkumpul. 

  • Aliran jus hempedu terganggu

Saluran biliari/hempedu yang tersumbat akan mengakibatkan bilirubin terkumpul. 

  • Hemolisis

Sel darah merah dihancurkan secara berlebihan menyebabkan hati tidak memiliki kapasiti untuk memproses bahan pecahan tersebut. 

Anda pasti tertanya-tanya tentang penyebab tiga perkara di atas terjejas sehingga menimbulkan masalah demam kuning. 

  • Radang hati (Hepatitis) yang boleh disebabkan jangkitan virus, masalah autoimun, kesan sampingan ubat-ubatan
  • Alkohol kerana ia mengandungi bahan yang toksik kepada hati jika ia diambil pada kadar dan tempoh yang berlebihan. 
  • Kanser Saluran Hempedu atau masalah autoimun seperti Primary Sclerosing Cholangitis, Primary Biliary Cholangitis. Kondisi-kondisi ini menyebabkan saluran hempedu tersumbat dan secara tidak langsung mengakibatkan bilirubin terkumpul. 

Apakah Komplikasi Demam Kuning? 

Mengapakah demam kuning amat digeruni oleh ibu bapa dan doktor? Lebih-lebih lagi bayi baru lahir, golongan ini berisiko untuk mengalami kernikterus dan Acute Bilirubin Encephalopathy. Mendengar perkataan-perkataan bombastik dan terma medikal ini juga boleh menimbulkan ketakutan apatah lagi mendapati bahawa anak menghidap masalah tersebut. 

  • Kernikterus

Apakah itu kernikterus? Paras bilirubin yang terlampau tinggi dalam darah dan terkumpul pada otak iaitu bahagian ganglio basal, nukleus dan korda spina secara kekal. Kondisi ini menyebabkan gejala seperti pergerakan abnormal yang tidak terkawal, kedudukan mata hitam ke atas mata secara kekal (seperti memandang ke siling), hilang pendengaran dan penghasilan enamel yang tidak normal. 

  • Acute Bilirubin Encephalopathy

Jika anak anda mengalami gejala seperti demam, tangisan yang nyaring daripada biasanya, kurang menghisap susu, posisi badan yang menegang dan mengeras, anda harus mendapatkan rawatan ke hospital dengan segera! Kerosakan otak secara kekal akibat bilirubin yang terkumpul dalam otak masih boleh dielakkan jika rawatan yang bersesuaian dan pantas dilaksanakan. 

Apakah Rawatan Demam Kuning Pada Bayi?

Setiap penyakit memiliki rawatan yang tersendiri. Ibu bapa sering mencari cara hilangkan kuning bayi paling berkesan, petua hilangkan kuning bayi secara tradisional dan doa hilangkan kuning bayi. Walaupun sering didengari tentang rawatan alternatif seperti batang wali untuk kuning bayi, rawatan perubatan menjadi rawatan utama bagi menyelesaikan masalah demam kuning ini. 

Demam kuning yang sederhana kebiasaannya akan sembuh secara sendiri. Namun, ibu bapa harus memantau dengan kerap melalui ujian darah bilirubin secara harian bagi mengelakkan komplikasi. 

Jika masalah yang dihadapi pada tahap yang teruk, rawatan yang bersesuaian ialah dengan menjalani fototerapi. Apabila anda melawat sahabat atau ibu hamil yang baru bersalin dan anda melihat segelintir bayi diletakkan dibawah cahaya berwarna biru, terdapat kebarangkalian untuk bayi tersebut mendapat rawatan fototerapi akibat demam kuning. Cahaya tersebut berfungsi untuk membantu enzim di dalam organ hati menjalankan fungsi dengan baik. 

Namun, bagi segelintir bayi yang tidak bertindak balas kepada rawatan fototerapi, rawatan yang diberikan ialah dengan berulang kali menggantikan darah bayi sedikit demi sedikit dengan darah daripada penderma.

Saya berharap penerangan yang telah diberikan boleh menyelesaikan sedikit sebanyak keraguan anda. Jika anda masih mempunyai soalan tentang masalah ini, anda boleh berbincang dengan lebih lanjut dengan doktor kami. www.doctoroncall.com.my . 

References