Mengapakah anak saya sawan (Seizures) dan bolehkah keadaan ini dikawal atau disembuh?

Anonymous

Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah berusia 28 tahun. Suami saya yang berumur 30 tahun bekerja sebagai seorang anggota polis. Kami mempunyai seorang anak yang berusia 1 tahun 8 bulan. Baru-baru ini, anak saya jatuh demam. Pada mulanya, suhu badannya tidak begitu tinggi tetapi saban hari badan anak saya berasa semakin panas. Dua hari yang lepas dengan tiba-tiba saya perasan semasa saya sedang menukar lampinnya, tangan dan kakinya mula kejang seolah-olah mengalami sawan.

Saya mula panik dan memegang kedua belah tangannya dan saya juga perasan dia terkencing. Pada ketika itu juga, air liurnya mulai meleleh tetapi anak saya tidak menangis dan diam sahaja. Ianya seolah-olah seperti dia tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kejadian ini berlaku selama 2 minit dan perkara ini sangat membimbangkan saya dan suami saya. Tambahan pula, ini anak pertama kami. Bolehkah doktor memberitahu saya apa yang telah terjadi kepada anak saya ini?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah berusia 28 tahun. Suami saya yang berumur 30 tahun bekerja sebagai seor... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, berdasarkan apa yang puan ceritakan saya pasti anak puan telah mendapat sawan (Seizure). Sawan merupakan sebuah kejadian di mana berlakunya renjetan elektrik pada otak tanpa kawalan. Dalam kes anak puan, kemungkinan anak puan mendapat masalah ini kerana suhu badannya yang sangat tinggi. Suhu badan yang terlalu tinggi semasa demam merupakan salah satu punca umum kanak-kanak berisiko tinggi mendapat serangan sawan. Oleh itu, saya nasihatkan puan agar segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan bagi menyelesaikan masalah demam anak puan.

Apabila suhu badan anak puan berkurang, sawan tersebut akan berakhir. Puan dan suami puan tidak perlu bimbang atau terlalu runsing memikirkan hal ini. Puan juga haruslah peka terhadap langkah-langkah yang harus diambil jika serangan sawan berulang sekali lagi pada masa akan datang. Langkah-langkah yang perlu dilakukan adalah memastikan tiada objek berbahaya berhampiran anak puan, tidak meletakkan sebarang object dalam mulut anak dan meletakkan anak anda dalam posisi mengiring di sebelah kiri. Sekiranya sawan berlarutan melebihi 5 minit maka anda harus segera membawa anak ke hospital terdekat.

Terima kasih atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, berdasarkan apa yang puan ceritakan saya pasti anak puan telah... See More

Apakah itu sawan?

Sawan merupakan sebuah keadaan di mana berlaku renjetan elektrik tanpa kawalan pada otak. Fenomena di mana sawan ini berlaku berulang kali tanpa sebarang sebab dikenali sebagai epilepsi.Sawan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Namun demikian, masalah ini lazimnya berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 6 bulan hingga ke 5 tahun. Sawan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

A) Sawan fokal

Sawan jenis fokal bermaksud renjetan elektrik berlaku hanya kepada sebuah bahagian kecil dalam otak.

B) Sawan keseluruhan

Sawan keseluruhan pula didefinisikan sebagai renjetan elektrik yang berlaku kepada keseluruhan struktur otak dan bukan pada satu bahagian sahaja.

Apakah penyebab sawan?

Sawan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Perkara ini haruslah dikenal pasti supaya dapat mengambil langkah berjaga-jaga. Punca utama berlakunya masalah sawan ini ialah demam.Hal ini demikian kerana suhu yang tinggi membawa kepada masalah renjetan elektrik dalam otak.

Selain itu, sawan juga boleh berlaku akibat daripada sebarang trauma pada bahagian kepala. yang mampu mendatangkan gangguan kepada aktiviti elektrikal dalam otak sekali gus tercetusnya sawan.

Di samping itu, sawan juga didapati berlaku apabila tahap gula dalam badan berada dalam kadar lebih rendah daripada normal. Hal ini demikian kerana gula dalam badan memberikan tenaga kepada organ termasuklah otak. Apabila kadar gula dalam badan berkurangan, otak tidak mendapat tenaga yang diperlukan. Implikasinya adalah renjetan elektrik tidak terkawal dalam otak yang mencetuskan fenomena sawan.

Sehubungan dengan itu, sawan juga boleh berlaku apabila seseorang alkoholik dalam proses rawatan berhenti mengambil minuman beralkohol, kesan sampingan daripada keadaan yang dipanggil sebagai ‘alcohol withdrawal’. Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya sawan kerana berlaku pemberhentian alkohol dalam badan secara tiba-tiba.

Sawan juga boleh berlaku kepada individu yang sensitif terhadap lampu yang berkelip-kelip. Lampu yang berkelip-kelip tersebut boleh mengganggu aktiviti elektrik dalam otak yang boleh membawa kepada isu kesihatan ini.

Penyakit sawan ini merupakan sebuah perkara yang boleh diwarisi. Justeru itu, sekiranya ibu bapa mempunyai masalah sawan maka kemungkinan besar anak mereka juga akan mewarisi masalah yang sama seperti mereka.

Apakah gejala sawan?

Setiap individu terutamanya ibu bapa haruslah mengambil inisiatif mengenali gejala sawan ini supaya tahu langkah-langkah penjagaan ketika diserang penyakit sawan. Antara gejala sawan adalah:

  1. Demam terlalu panas
  2. Mulut berbuih
  3. Terkencing
  4. Bahagian tangan dan kaki menjadi kejang
  5. Kaki dan tangan kemungkinan bergerak tanpa kawalan
  6. Biji mata berpaling ke atas
  7. Tertidur atau berasa letih atau tidak sedarkan diri selepas serangan sawan
  8. Sakit kepala atau keliru selepas serangan sawan

Apakah rawatan sawan?

Rawatan sawan bergantung kepada punca serangan berlaku. Faktor serangan sawan seharusnya disiasat dengan segera supaya tidak mendatangkan komplikasi teruk ke atas otak seperti kecacatan yang berkekalan.

Rawatan bagi masalah sawan yang berpunca daripada demam ialah dengan memberikan ubat demam. Apabila suhu badan mula menurun maka kanak-kanak tersebut akan pulih.

Sekiranya sawan disebabkan oleh kadar gula yang rendah daripada normal jalan penyelesainnya ialah dengan memberi makanan yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi ataupun jus buah-buahan yang kaya dengan kadar gula semulajadi supaya gula dalam badan akan bertambah dan masalah sawan ini dapat dielakkan.

Di samping itu, pakar perubatan harus memastikan pesakit tidak pernah mengalami sebarang kecederaan pada bahagian kepala.. Kesan serius daripada sebarang kemalangan boleh dielakkan dengan sentiasa memakai alat keselamatan seperti topi keledar dan sebagainya untuk perlindungan bahagian kepala.

Bagi golongan alkoholik pula, mereka haruslah berhenti alkohol secara berperingkat dan bukan secara mendadak. Oleh itu, orang ramai perlu berjumpa doktor agar untuk menjalankan kaunseling dan mempelajari teknik yang betul malah efektif untuk berhenti mengambil minuman alkoholik berlebihan.

Jika sawan disebabkan epilepsi, terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang perlu diambil untuk mengawal sawan. Perkara ini perlu dirujuk kepada rawatan bawah pakar neurologi.

Apa perlu dibuat jika anak anda sawan?

Ibu bapa seharusnya sentiasa bertenang dan melakukan langkah-langkah di bawah dengan serta merta:

  1. Memastikan tiada objek berbahaya berdekatan anak mereka.
  2. Memastikan tiada sebarang objek dalam mulut anak mereka.
  3. Baringkan anak dalam posisi mengiring ke sebelah kiri.
  4. Jangan tinggalkan anak berseorangan sepanjang serangan.
  5. Sekiranya sawan melebihi 5 minit maka anda dikehendaki menghantar anak ke hospital.

Untuk sebarang persoalan, anda boleh bertanya di laman web kami www.doctoroncall.com.my.Terima kasih.

References