Minta cara mudah untuk menghilangkan ketumbit (Stye) di mata.

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:

Selamat pagi, doktor. Saya seorang wanita berusia 23 tahun yang tidak pernah mempunyai masalah kesihatan. Untuk pertama kalinya semalam saya berasa pelik dan pedih di bahagian tepi mata kiri saya. Apabila saya mengerakkan mata ke belah kiri saya berasa seperti ada sesuatu dalam mata saya. Hari ini semasa saya sedang bersolek, saya ternampak ada suatu ketumbuhan kecil dan merah pada kelopak mata kiri saya. Saya amat risau mengenai ketumbuhan ini. Ibu saya memberitahu bahawa biji yang terbentuk ini dipanggil ketumbit dan disebabkan oleh kepercayaan bahawa terlihat benda yang tidak sepatutnya dilihat. Adakah ketumbit ini akan merosakkan mata saya? Saya juga ingin bertanya kepada doktor sama ada saya masih boleh memakai alat solek pada bahagian mata? Saya bekerja sebagai seorang pramugari dan bersolek merupakan salah satu keperluan dalam bidang pekerjaan saya.

Soalan berkenaan - ketumbit mata kiri, ketumbit tak hilang, ketumbit in english, punca ketumbit kat mata

Jawapan:

Terima kasih atas soalan cik. Pada pendapat saya, simptom yang digambarkan oleh cik berkait rapat dengan penyakit ketumbit (Stye) seperti yang dinyatakan oleh ibu anda. Dalam masyarakat kita ketumbit sering dikaitkan dengan perbuatan mengintai tetapi perkara ini adalah kepercayaan karut sahaja. Ketumbit biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman pada kawasan bulu mata (“stye”) ataupun disebabkan oleh penakungan minyak pada kelenjar (“chalazion”). Cik tidak perlulah terlalu bimbang dengan ketumbit ini kerana merupakan sesuatu yang biasa berlaku dalam kalangan orang ramai. Hampir setiap orang pernah mengalami masalah ketumbit sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka.

Untuk menjawab soalan cik, biasanya ketumbit ini akan pulih sendiri dalam masa beberapa hari. Cik tidak perlulah bimbang jika ketumbit ini akan merosakkan mata cik kerana ketumbit hanya melibatkan struktur di luar bola mata.

Namun begitu, saya masih menasihati cik untuk tidak memakai alat solek pada kawasan mata sehingga masalah ini pulih kerana ianya mungkin boleh merumitkan lagi masalah ketumbit ataupun menyebabkan pertumbuhan ketumbit yang baru. Hal ini demikian kerana alat solek mata seperti “mascara” dan “eyeliner” mungkin mengandungi bakteria yang akan menggalakkan pembiakan kuman pada mata.

Apakah itu ketumbit?

Ketumbit merupakan ketumbuhan pada kelopak mata sama ada melibatkan satu mata sahaja atau kedua-dua belah mata.

Untuk memahami apakah itu ketumbit, kita haruslah mengetahui serba sedikit mengenai struktur yang berada pada mata. Biasanya, ketumbit ini melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata. Ketumbit boleh dibahagikan kepada dua jenis berdasarkan bahagian mata yang terlibat.

Hordeolum:

  • Hordeolum ini merujuk kepada ketumbuhan akut pada kelopak mata akibat jangkitan kuman dan boleh dibahagikan kepada hordeolum luaran dan hordeolum dalaman.
  • Hordeolum luaran berlaku apabila jangkitan kuman berlaku pada folikel bulu mata. Keadaan ini merupakan kes yang lazim berlaku kepada orang ramai.
  • Manakala, hordeolum dalaman pula jarang berlaku dan merupakan jangkitan kuman kelenjar meibomian yang terletak pada permukaan kelopak mata yang menghadap bebola mata.

Chalazion:

  • Chalazion merujuk kepada halangan kelenjar meibomian. Kelenjar meibomian ini berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata supaya dapat mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering.
  • Apabila kelenjar ini tersumbat, kandungan minyak dalam kelenjar ini akan bertakung dan mengakibatkan kawasan kelopak mata menjadi bengkak. Keadaan ini bleh diibaratkan sebagai pertumbuhan jerawat pada kelopak mata kerana jerawat berlaku disebabkan oleh halangan pada kelenjar lemak.

Kedua-dua jenis ketumbit ini boleh berubah kepada satu sama lain. Contohnya, chalazion boleh dijangkiti kuman lalu menjadi hordeolum. Hordeolum dalaman juga boleh menjadi chalazion sekiranya nanah dalam kelenjar tersumbat dan tidak dikeluarkan untuk jangka waktu yang panjang.

Apakah penyebab ketumbit?

Seperti yang diterangkan, ketumbit merupakan fenomena yang dialami oleh hampir setiap orang sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup tidak kira usia atau jantina.

Hordeolum disebabkan oleh jangkitan kuman pada folikel bulu mata terutamanya bakteria Staphylococcus. Kuman ini merupakan kuman yang normal pada kulit manusia. Walaupun ketumbit ini jarang berjangkit kepada orang lain namun orang ramai dinasihatkan untuk tidak berkongsi alat solek seperti berus, pembayang mata dan lain-lain dengan pesakit ketumbit. Kelompok orang yang lebih kerap mengalami hordeolum ialah:

  • Pesakit kencing manis yang mempunyai sistem imun lebih rendah.
  • Pesakit seborrhea iaitu sesuatu penyakit kulit yang mengakibatkan kulit kasar dan bersisik.
  • Pesakit yang mengalami blepharitis kronik iaitu sejenis jangkitan kelopak mata yang telah berlarutan untuk tempoh masa yang lama.
  • Individu yang tidak menjaga kebersihan kelopak mata contohnya mereka yang tidak mempunyai tabiat membersihkan solekan mata sebelum tidur.

Chalazion pula berpunca daripada masalah kelenjar meibomian. Faktor utama berlakunya chalazion adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan. Contohnya, golongan yang mempunyai masalah “acne rosacea”.

Apakah gejala ketumbit?

Ketumbit biasanya akan muncul secara tiba-tiba manakala chalazion mengambil masa beberapa minggu hingga bulan untuk muncul. Ketumbit sama ada chalazion atau hordeolum akan menyebabkan gejala seperti:

  • Sakit pada kelopak mata.
  • Merah atau bengkak pada kelopak mata.

Hordeolum juga mempunyai gejala tambahan seperti:

  • Lokasi ketumbit yang lebih dekat dengan sempadan mata dan kulit.
  • Perasaan ada sesuatu dalam mata.
  • Mata berair
  • Mata berair
  • Benjolan seperti jerawat dan mengandungi nanah
  • Benjolan tersebut biasanya akan mengeluarkan nanah dalam masa 2 hingga 4 hari lalu pulih.

Chalazion pula:

  • Berlaku lebih jauh dari sempadan mata dengan kulit.
  • Akan menekan pada bola mata dan mengakibatkan penglihatan kabur jika terlalu besar.
  • Mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Apakah rawatan ketumbit?

Biasanya, masalah ketumbit ini akan pulih sendiri. Kebanyakan ketumbit ini adalah kecil dan tidaklah terlalu menganggu pesakit. Ketumbit ini boleh dirawat di rumah dengan mudah. Rawatan untuk kedua-dua jenis ketumbit ini adalah lebih kurang sama.

Terdapat beberapa cara untuk menghilangkan ketumbit ini:

  • Menuam ketumbit dengan menggunakan sapu tangan yang direndam dalam air panas untuk 10 minit dan ulang 2 hingga 3 kali sehari.
  • Membersihkan kelopak mata dengan menggunakan putik kapas yang direndam sabun bayi untuk mengesat bulu mata dengan lembut.
  • Mengurut secara lembut chalazion yang bengkak untuk mengeluarkan lemak yang tersumbat.

Sekiranya ketumbit ini menjadi semakin besar, sakit atau mengambil masa yang panjang untuk pulih, pesakit perlu berjumpa doktor untuk:

  • Menggunakan titisan atau ubat makan antibiotik.
  • Mengeluarkan nanah atau kandungan kelenjar dengan kaedah surgikal minor.

Walaubagaimanapun, masalah ketumbit jarang sekali memerlukan rawatan doktor kerana biasanya akan beransur pulih dengan sendiri. Oleh itu, individu yang mengalami masalah ini tidak perlulah terlalu risau. Sekiranya sering mengalami ketumbit, anda haruslah sentiasa menjaga kebersihan kelopak mata dan tidak berkongsi alat solek mata untuk mencegah pertumbuhan ketumbit. Untuk info lanjut, anda boleh menghubungi doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my.


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy