Dikemaskini pada: Jun 9, 2020
Terima kasih atas soalan anda. Hampir setiap orang pernah mengalami sakit kepala pada suatu ketika dalam kehidupan. Berdasarkan keterangan yang anda berikan, anda mungkin mengalami sakit kepala di dahi yang dinamakan Frontal Headache. Sakit kepala di dahi (Frontal Headache) boleh menyebabkan sakit ringan atau sakit yang kuat di bahagian tengah dahi atau di pelipis. Anda tidak perlu risau kerana ia boleh dirawat dan penyakit tersebut tidak begitu serius.
Sakit kepala di dahi yang juga dikenali sebagai ‘Frontal Headache’ adalah sakit yang dialami di tengah-tengah dahi. Sakit kepala di bahagian dahi adalah gejala yang biasa terjadi. Sakit kepala ini boleh merebak dari bahagian dahi dan biasanya digambarkan sebagai berdenyut atau kesakitan yang tajam. Kebanyakan sakit kepala di dahi adalah disebabkan oleh stres dan berlaku secara berkala dari semasa ke semasa. Namun demikian, kadangkala sakit kepala ini boleh menjadi kronik. Menurut National Institute of Neurological and Disorders and Stroke (NINDS), sakit kepala kronik didefinisikan sebagai sakit kepala melebihi 14 kali setiap bulan.
Terdapat pelbagai jenis sakit kepala yang ada berdasarkan gejala yang anda ada, doktor boleh menentukan penyebab sakit kepala anda dan bagaimana untuk merawatnya. Kebanyakan sakit kepala tidak disebabkan oleh sesuatu yang serius. Berjumpalah dengan doktor jika sakit kepala anda disertai dengan gejala seperti leher kaku, pening atau mual.
Terdapat pelbagai jenis sakit kepala yang melibatkan bahagian dahi yang seperti:
A) Sakit kepala ketegangan / ‘tension headache’
Sakit kepala ketegangan adalah jenis sakit kepala yang paling biasa terjadi. Sesetengah orang menganggap sakit kepala ketegangan akan terasa seperti kepala mereka diikat tali dengan sangat ketat yang berlaku secara berkala.
Wanita adalah dua kali ganda lebih cenderung untuk mengalaminya berbanding lelaki. Terdapat beberapa jenis makanan, aktiviti, dan tekanan yang boleh menyebabkan keadaan ini berlaku. Sesetengah orang mengalami sakit kepala ketegangan selepas menatap skrin komputer untuk masa yang lama, atau selepas memandu untuk tempoh yang lama.
Pencetus atau penyebab lain untuk sakit kepala ketegangan termasuklah:
Alkohol
Mata kering
Keletihan
Merokok
Selsema
Jangkitan sinus
Kafein
Postur badan yang tidak elok
Tekanan emosi
B) Tekanan Pada Otot Mata
Tekanan mata juga boleh menyebabkan sakit kepala di dahi. Sakit kepala yang disebabkan oleh ketegangan mata mungkin serupa dengan sakit kepala ketegangan (Tension Headache). Mereka biasanya disebabkan oleh masalah penglihatan atau astigmatisme yang tidak dikesan dalam satu atau kedua-dua mata.
Tekanan pada bebola mata boleh disebabkan oleh penggunaan yang berpanjangan seperti:
membaca atau menggunakan komputer
tempoh konsentrasi yang panjang
stres
postur yang tidak baik
Anda dinasihati untuk berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian mata jika masalah penglihatan anda bertambah baik dengan penggunaan cermin mata.
Anda juga boleh mengurangkan tekanan pada bebola mata dengan:
Berehat seketika dari tugas yang memerlukan lebih tumpuan
Mengamalkan postur yang baik ketika duduk
Melakukan senaman regangan untuk leher, lengan, dan tulang belakang
C) Sakit Kepala Kluster (Cluster Headaches)
Sakit kepala kluster jarang berlaku tetapi ia sangat menyakitkan. Sakit biasanya dirasai pada satu bahagian kepala, seringkali di sekitar mata, pelipis, atau dahi.
Sakit kepala biasanya bermula tanpa amaran, dan boleh bertahan selama beberapa jam. Seseorang mungkin mengalami lebih dari satu episod sakit kepala sehari.
Antara gejala yang dihadapi oleh seseorang yang mengalami sakit kepala adalah mudah marah, selsema serta mata merah atau berair.
Sekiranya anda menghidapi gejala sebegini, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Rawatan yang biasa diberikan adalah ubat Sumatriptan, ubat steroid dan bergantung pada tahap kesakitan yang dialami.
D) Radang sinus yang menyebabkan sakit kepala di dahi
Sinus boleh menjadi radang disebabkan oleh jangkitan atau alahan yang dikenali sebagai sinusitis. Radang sinus boleh mengakibatkan sakit kepala pada bahagian dahi dan di sekitar pipi dan mata.
Gejala sakit kepala di dahi termasuklah:
Kesakitan kepala yang berlanjutan
Tekanan di sekitar dahi
Sakit apabila ditekan di sekitar dahi dan kulit kepala
Kesakitan biasanya ringan atau sederhana, tetapi ia juga boleh menjadi teruk. Anda mungkin susah untuk membezakan antara sakit kepala ketegangan dengan sakit kepala kluster. Kedua-duanya adalah jenis sakit kepala yang menyebabkan rasa berdenyut pada sebelah atau kedua-dua belah kepala anda.
Terdapat pelbagai cara yang kita boleh gunakan untuk atasi masalah sakit kepala di dahi ini. Anda boleh mengambil ubat tahan sakit, seperti Panadol atau Ibuprofen untuk mengurangkan sakit kepala. Walau bagaimanapun, ubat ini hanya boleh digunakan sekali-sekala.
Menurut kajian, penggunaan ubat tahan sakit terlalu banyak boleh mengakibatkan sakit kepala "berlebihan" atau "rebound". Jenis sakit kepala ini berlaku apabila anda terbiasa dengan ubat tersebut dan ini akan menyebabkan anda mengalami kesakitan apabila kesan ubat itu hilang. Ubat tahan sakit kadang-kadang tidak cukup untuk merawat sakit kepala yang berlaku berulang kali. Dalam kes sedemikian, doktor anda mungkin memberi preskripsi untuk ubat lain bergantung kepada tahap kesakitan yang dialami oleh seseorang.
Selain mengambil ubat-ubatan yang ditetapkan oleh doktor, anda juga boleh mengamalkan terapi santaian dan mengurangkan stres. Tetapkan rutin harian yang merangkumi jadual pemakanan yang terancang dan tidur yang mencukupi. Anda juga boleh mencuba petua seperti yang berikut:
Mandi air panas
Urut
Yoga dan meditasi
Senaman ringan
Akupuntur - Ini adalah terapi alternatif yang boleh mengurangkan tekanan dan ketegangan dengan mencucuk jarum-jarum halus di kawasan tertentu pada badan anda.
Jika terdapat apa-apa kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor yang boleh dijumpai di klinik atau hospital. Jika ia bukan kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor di laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.
Rujukan
Soalan berkenaan - cara mengatasi sakit kepala di dahi, ubat sakit kepala di dahi, penyebab sakit kepala di kening, sakit kepala dahi berdenyut
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my