Adakah gastrik (Gastritis) dan sakit dada (Chest Pain) berkaitan dan cara mengubatinya?

Anonymous

Selamat pagi doktor. Saya Encik A berusia 32 tahun, seorang pengurus restoran yang tiada masalah kesihatan. Cuma, sejak sebulan yang lalu saya kerap mengalami rasa pedih dan sakit di bahagian dada. Ianya menjadi lebih teruk jika saya tidak menjamah sebarang makanan. Kadang-kala, saya turut berasa loya selain mengalami perut kembung dan berangin.Rakan-rakan mengatakan bahawa simptom yang saya alami ini merujuk kepada pedih ulu hati dan mereka menyebut tentang penyakit gastrik. Tetapi, saya kurang jelas tentang perkaitan diantara gastrik dan sakit dada yang muncul. Adakah saya turut mempunyai masalah lain di bahagian dada seperti masalah jantung? Mohon pencerahan doktor.

Anonymous
Selamat pagi doktor. Saya Encik A berusia 32 tahun, seorang pengurus restoran yang tiada masalah kesihatan. Cuma, sej... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang dialami, saya bersetuju dengan rakan anda, bahawa anda sedang menghidapi penyakit gastrik (Gastritis), iaitu keradangan pada perut. Gastrik dan sakit dada adalah berkait oleh sebab kedudukan perut yang dekat dengan bahagian dada. Penyakit ini boleh didiagnos melalui sejarah ianya berlaku, disamping mendapat bukti sokongan daripada ujian makmal dan pengimejan sekiranya perlu. Sesetengah doktor juga turut menjalankan prosedur endoskopi, iaitu memasukkan kamera berwayar ke dalam saluran pemakanan melalui mulut. Tindakan ini adalah bagi melihat sekiranya terdapat komplikasi daripada penyakit gastrik seperti pembentukan ulser, selain untuk menyisihkan diagnosis lain. Rawatan yang sering diberi adalah ubatan berupa cecair minuman, yang mampu membantu mengurangkan rasa sakit perut. Ubatan ini boleh ditemui di farmasi berdekatan.

Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan gejala yang dialami, saya bersetuju dengan rakan anda, bahawa anda sedang men... See More

Apakah itu gastrik

Gastrik (gastritis) adalah keradangan yang berlaku pada lapisan dalam perut. Buat pengetahuan umum, istilah ‘gastrik’ yang digunakan bagi merujuk kepada sakit perut ini sebenarnya adalah kurang tepat. Hal ini kerana ‘gastrik’ bermaksud ‘perut’ dalam bahasa perubatan. Istilah yang betul ialah ‘gastritis. Namun begitu, disebabkan penggunaannya yang meluas di Malaysia, para doktor juga turut menggunakan istilah ini bagi memudahkan pemahaman pesakit.

Adakah gastrik merbahaya

Gastrik adalah penyakit yang ringan dan mampu sembuh dengan sendiri, kecuali didalam sesetengah kes dimana komplikasi daripada gastrik boleh berlaku seperti pembentukan ulser.

Bagaimanakah gastrik boleh berlaku

  • Gastrik atau gastritis terjadi apabila berlakunya penurunan pada tahap perlindungan lapisan dalam perut.
  • Perlu diketahui umum bahawa, fungsi normal perut adalah mengeluarkan asid (gastric juice) bagi mencerna makanan serta membunuh kuman yang masuk melalui mulut. Oleh sebab itu, tahap keasidan di dalam perut amat tinggi berbanding bahagian lain dalam saluran pemakanan.
  • Bagi melindungi dinding perut itu sendiri daripada terhakis, suatu mekanisma telah terbentuk (protective mechanism), dimana tisu perut sendiri menghasilkan sejenis lapisan cecair atau mukus, yang mampu menjadi penghalang (protective layer) kepada asid daripada terkena dinding perut.
  • Oleh itu, apa-apa yang mengganggu penghasilan lapisan ini boleh menyebabkan gastrik berlaku.

Apakah penyebab gastrik

Terdapat beberapa penyebab atau punca yang boleh mengganggu penghasilan mukus di dalam perut, sehingga mendatangkan keradangan. Antaranya ialah:

  • Jangkitan bakteria ‘Helicobacter pylori’
  • Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs
  • Tahap stress yang tinggi pada badan
  • Pengambilan alkohol berlebihan
  • Tindak balas dengan makanan atau ubat
  • Tindak balas dengan bahan kimia
  • Merokok
Jangkitan bakteria ‘Helicobacter pylori’

  • 8 dalam 10 kes gastrik berpunca daripada jangkitan bakteria ini. Nama singkatannya yang sering digunakan juga ialah ‘H.pylori’.
  • Bakteria ini boleh menjangkiti manusia melalui pengambilan makanan yang telah tercemar. Setelah berada di dalam perut, bakteria ini akan bergerak masuk ke dalam lapisan mukus yang memberi perlindungan tadi.
  • Dari sini, bakteria H.pylori akan bersarang dan menghasilkan bahan kimia yang mampu mengakis lapisan mukus yang memberi perlindungan tersebut. Tanpa lapisan ini, asid perut akan terkena pada dinding lalu menyebabkan rasa sakit dan pedih.
Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs

  • NSAIDs adalah singkatan kepada ‘Non-steroidal Anti-inflammatory Drugs’, iaitu sejenis ubat penahan sakit yang sering diberi oleh doktor. Ubat ini digunakan antaranya oleh mereka yang mempunyai sakit sendi (keradangan) atau sakit otot (myalgia).
  • NSAIDs bertindak menghalang pembentukan sejenis bahan kimia yang menyebabkan rasa sakit dalam tubuh manusia, iaitu ‘prostaglandin’. Namun begitu, pada masa yang sama prostaglandin juga diperlukan untuk menghasilkan lapisan mukus di dalam perut. Sekiranya NSAIDs diberi, penghasilan mukus ini akan turut menurun kerana berkurangnya jumlah prostaglandin yang diperlukan dalam proses penghasilan.
  • Apabila situasi ini berlaku, asid perut boleh menghakis sebahagian dinding perut kerana ketiadaan lapisan mukus protektif ini.

Apakah tanda gastrik

Gejala yang hadir dalam penyakit gastrik selalunya adalah ringan dan boleh menghilang sekiranya langkah yang betul diambil oleh pesakit. Antara gejala yang boleh berlaku ialah:

  • Senak perut (ketidakhadaman)
  • Sakit di bahagian ulu hati
  • Hilang selera makan
  • Perut kembung
  • Loya
  • Muntah

Apakah penyakit lain yang boleh menyerupai gastrik

Walaupun gastrik merupakan penyakit yang biasa dan banyak berlaku dalam masyarakat, tetapi penyakit-penyakit yang boleh menyerupai simptom gastrik juga tidak boleh diabaikan. Antara penyakit tersebut ialah:

  • Ulser perut (gastric ulcer)
  • Ulser duodenum (duodenal ulcer)
  • Sindrom Rengsa Usus (Irritable Bowel Sydrome)
  • Serangan jantung atipikal (atypical acute myocardial infarction)
Selain itu, terdapat juga beberapa penyakit lain dibawah kumpulan surgikal yang boleh datang dengan sakit di bahagian dada seperti:

  • Radang hempedu (Acute cholecystitis)
  • Radang pancreas (Acute pancreatitis)

Apakah ujian untuk penyakit gastrik

Penyakit gastrik boleh didiagnos secara klinikal setelah doktor mengambil sejarah penyakit yang lengkap berserta dengan pemeriksaan di bahagian abdomen. Sekiranya doktor mengesyaki penyakit lain, ujian yang bersesuaian boleh diambil. Salah satu ujian atau prosedur yang memerlukan pesakit berpuasa di rumah sebelum menjalaninya ataupun ditahan di dalam wad ialah prosedur endoskopi (endoscopy).

Ujian Endoskopi (Endoscopy)

  • Prosedur ini dilakukan sekiranya doktor mengesyaki terdapat penyakit lain kepada masalah sakit perut seseorang.
  • Selain itu, prosedur ini juga boleh dilakukan untuk mengetahui punca penyakit gastrik seperti H.pylori. doktor akan memasukkan kamera berwayar ke dalam perut melalui mulut, dan melihat sekiranya terdapat bahagian dalam perut yang terhakis.
  • Doktor juga boleh mengambil sampel tisu daripada dinding perut untuk dilihat dibawah mikroskop. Penemuan bakteria H.pylori adalah berkemungkinan.

Apakah rawatan gastrik

Sekiranya anda mengalami penyakit ini, rawatan boleh dilakukan dengan sendiri. Antara langkah yang boleh diambil ialah:

  • Mengelakkan makanan berasid, bergoreng, pedas, dan tinggi lemak
  • Mengambil makanan dengan kerap dan dalam kuantiti yang kecil
  • Memberhentikan ubat NSAIDs sekiranya menjadi punca
  • Menjauhi minuman beralkohol
  • Mengurangkan stress
  • Berhenti merokok
Selain itu, ubat yang biasa diberikan bagi penyakit ini ialah:

  • Antasid (Antacid)
  • H2-blocker (contoh: ranitidine)
  • Proton pump inhibitor (PPI, contoh: lansoprazole, pantoprazole)
Antasid (Antacid)

Ubat ini boleh dibeli daripada mana-mana farmasi dan preskripsi daripada doktor tidak diperlukan. Antasid merupakan campuran beberapa bahan kimia yang boleh membantu mengurangkan tahap keasidan dalam perut. Ianya boleh didapati dalam dua bentuk, iaitu cecair dan tablet, serta diambil sebelum makan. Ubat ini akan bertindak dalam masa 10 hingga 15 minit selepas diambil.

References