Tolong jelaskan apa itu penyakit Rubella, gejalanya dan cara merawat.

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Februari 6, 2020

Soalan:

Hello, doktor. Saya seorang ibu berusia 30 tahun dan pada 6 bulan yang lepas, saya selamat melahirkan bayi perempuan dengan berat sebanyak 3.75 kg tanpa sebarang komplikasi. Bayi tersebut juga tidak mengalami sebarang komplikasi selepas dilahirkan seperti jaundis. Baru-baru ini, saya membawa bayi ke klinik untuk menjalani suntikan vaksinasi. Menurut doktor, penting untuk bayi menjalani suntikan vaksinasi untuk mengelakkan daripada penyakit yang tidak diingini termasuklah penyakit rubella. Disebabkan doktor tersebut agak sibuk, saya tidak sempat untuk bertanya lebih lanjut mengenai perkara itu. Jadi, saya ingin bertanya kepada doktor, apakah itu penyakit rubella dan bagaimana cara ia merebak? Apakah punca dan gejala yang akan dihadapi oleh bayi jika dijangkiti dengan penyakit ini? Saya harap doktor dapat menjawab soalan saya beserta dengan gambar yang berkaitan.

Soalan berkenaan - penyakit rubella pada orang dewasa, pengubatan rubella, penyebab penyakit rubella

Jawapan:

Penyakit Rubella adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus. Individu yang mendapat rubella biasanya mengalami gejala yang tidak begitu teruk misalnya demam bersuhu rendah, sakit tekak, dan ruam yang bermula di muka dan merebak ke seluruh badan. Rubella boleh menyebabkan keguguran atau kecacatan kelahiran yang serius pada bayi yang sedang membesar jika seseorang wanita dijangkiti semasa mengandung. Perlindungan terbaik bagi rubella adalah vaksin MMR (measles-mumps-rubella).

Apakah itu penyakit rubella

Penyakit rubella atau demam campak Jermanadalah jangkitan virus yang menyebabkan ruam merah di seluruh badan. Selain daripada ruam, mereka yang dijangkiti rubella biasanya mempunyai demam dan bengkak kelenjar.. Jangkitan ini boleh merebak melalui sentuhan dengan titisan cecair semasa bersin atau batuk daripada orang yang dijangkiti.. Ini bermakna bahawa anda boleh mendapat rubella jika menyentuh mulut, hidung, atau mata anda selepas menyentuh sesuatu seperti titisan dari orang yang dijangkiti . Anda juga mungkin mendapat rubella dengan berkongsi makanan atau minuman dengan seseorang yang dijangkiti.

Rubella selalunya akan sembuh dalam masa satu minggu walaupun tanpa rawatan. Akan tetapi penyakit ini menjadi lebih serius kepada wanita hamil kerana ia boleh menyebabkan sindrom rubella kongenital pada bayi dalam kandungan. Sindrom ini mengganggu perkembangan bayi dan menyebabkan kecacatan yang serius seperti jantung berlubang, hilang pendengaran dan masalah intelektual. Wanita hamil harus mendapatkan rawatan segera jika disyaki mengidap rubella.

Apakah penyebab penyakit rubella

Punca bagi penyakit ini ialah virus rubella. Ia adalah virus yang boleh merebak melalui sentuhan atau melalui udara dengan titisan kecil cecair dari hidung dan tekak apabila bersin dan batuk. Penyakit rubella juga boleh tersebar dari wanita hamil kepada bayi dalam kandungan melalui saluran darah placenta.

Rubella boleh menjangkiti orang lain antara seminggu sebelum ruam muncul sehingga kira-kira dua minggu selepas ruam hilang.

Apakah gejala penyakit rubella

Gejala rubella yang tidak serius menyebabkan penyakit rubella sukar untuk dikenal pasti dengan lebih awal. Gejala berkembang dalam masa dua hingga tiga minggu selepas terdedah kepada virus dan berlanjutan sekitar tiga hingga tujuh hari. Antara gejala tersebut ialah:

  • Ruam merah atau pink yang bermula di bahagian muka dan kemudian merebak ke bahagian badan yang lain
  • Demam ringan, biasanya di bawah 38.9 degree Celsius
  • Bengkak dan sakit kelenjar
  • Hidung berair atau tersumbat
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Mata merah

Walaupun gejala ini tidak begitu serius, anda masih perlu segera menghubungi doktor jika mengesyaki dijangkiti rubella terutamanya jika anda sedang mengandung.

Dalam kes yang jarang berlaku, rubella boleh menyebabkan komplikasi kepada telinga dan bengkak otak. Hubungi doktor anda dengan segera jika gejala berikut berlaku semasa atau selepas jangkitan rubella:

  1. Sakit kepala yang berpanjangan
  2. Sakit telinga
  3. Leher yang terasa tegang

Apakah rawatan penyakit rubella

Doktor akan menasihati pesakit Rubella untuk banyakkan berehat dan mengambil acetaminophen (Tylenol) untuk membantu melegakan rasa tidak selesa daripada simptom demam dan sakit badan. Mereka juga sarankan pesakit untuk dikuarantinkan di dalam rumah untuk mencegah penyebaran virus kepada orang lain.

Wanita hamil akan diberi antibodi yang dikenali sebagai “hyperimmune globulin” yang berfungsi melawan virus sekali gus mengurangkan gejala. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan bayi masih berisiko untuk mengalami “congenital rubella syndrome”. Bayi yang dilahirkan dengan sindrom ini memerlukan rawatan pakar kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengelak dijangkiti penyakit rubella

Berdasarkan penguatkuasaan dari WHO, vaksinasi adalah cara yang selamat dan paling berkesan untuk mencegah rubella. Vaksin rubella biasanya digabungkan dengan vaksin untuk “measles” dan “mumps” serta varicella iaitu virus yang menyebabkan demam campak.

Vaksin ini biasanya diberikan kepada kanak-kanak berusia antara 9 hingga 12 bulan dan suntikan booster akan diberikan sekali lagi kepada kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Disebabkan vaksin tersebut diperbuat daripada antigen virus dalam dos yang kecil, demam ringan dan ruam yang tidak membahayakan nyawa mungkin boleh berlaku.

Jika anda tidak pasti tentang status vaksin rubella anda, anda perlu menjalankan pemeriksaan badan untuk menguji imunisasi anda terutamanya jika anda:

  • Adalah wanita dan tidak hamil lagi.
  • Menghadiri pusat pendidikan seperti pusat tadika.
  • Bekerja di institut perubatan seperti hospital.
  • Merancang percutian ke luar negara.

Walaupun vaksin rubella tidak berbahaya, terdapat segelintir individu yang mempunyai kesan sampingan terhadap virus dalam suntikan rubella. Anda sama sekali tidak boleh menerima vaksinasi jika mempunyai sistem imun yang lemah, hamil, atau merancang untuk hamil dalam masa terdekat.

Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila rujuk nasihat doktor di klinik atau hospital. Jika tiada kecemasan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.


Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy