Glaukoma, Sakit Mata Akibat Tekanan- Anda Boleh Hilang Penglihatan Jika Alaminya

Dijawab oleh: Dr Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar
Dikemaskini pada: Ogos 14, 2020

Soalan:
Salam sejahtera doktor. Saya berusia 55 tahun dan penghidap penyakit kencing manis. Penyakit kronik ini telah pun saya alami sejak 10 tahun yang lalu. Badan saya agak besar dan berat berbanding orang seusia dengan saya. Pada setiap tahun, saya akan menjalani ujian pemeriksaan kesihatan dan baru-baru ini, saya ada mengalami masalah penglihatan. Saya alami gejala seperti sakit pada bebola mata saya, penglihatan menjadi kabur, mata menjadi merah. Itu pertama kalinya saya alami sepanjang hidup saya. Saya juga ada alami sakit kepala dan loya tetapi tidak muntah. Saya kunjungi hospital dan doktor mata memberi diagnosis Glaukoma. Bolehkah doktor jelaskan kepada saya tentang diagnosis ini? Terima Kasih.
Jawapan:
Terima kasih kerana mengajukan soalan ini kepada saya. Seperti yang dinyatakan oleh doktor yang telah memeriksa anda, gejala-gejala yang anda hadapi adalah menjurus kepada Glaukoma Jenis Sudut Tertutup. Pesakit akan alami gejala seperti yang anda hadapi iaitu sakit pada bebola mata, kabur penglihatan, mata menjadi merah, sakit kepala, muntah dan loya serta pelbagai lagi gejala. Saya akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang kondisi mata ini kepada anda agar anda lebih memahami tentang penyakit yang anda hadapi ini.

Jika pada suatu hari, anda berjalan dan sedang menikmati keindahan alam sekeliling, namun, tiba-tiba anda mendapati sekeliling anda menjadi kabur, anda harus terus mengunjungi doktor di hospital. Walau apa pun diagnosis yang diberikan oleh doktor, penglihatan kabur dan gelap adalah suatu perkara yang bahaya tidak kira hanya selama beberapa saat atau berjam-jam. Antara salah satu penyebab hilang penglihatan atau penyebab mata tiba-tiba kabur ialah Glaukoma. 

Glaukoma ialah jenis sakit mata yang didefinisikan sebagai sekumpulan penyakit yang merosakkan saraf mata iaitu saraf optik yang amat penting kepada manusia kerana berfungsi dalam menghasilkan imej penglihatan. Kerosakan saraf ini kebiasaannya disebabkan oleh tekanan pada bebola mata yang tinggi. 

Glaukoma merupakan antara penyumbang terbesar kepada punca hilangnya penglihatan kepada golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas. Namun begitu, ia masih lagi boleh berlaku pada setiap lapisan usia. Kebanyakan pesakit mengalami kondisi ini secara tiba-tiba. Kadang-kala, penglihatan pesakit sebenarnya telah pun terjejas namun pesakit tidak menyedarinya kerana perubahan yang tidak begitu jelas sehinggalah penyakit ini mencapai tahap yang membimbangkan.

Kondisi mata ini boleh menghasilkan pelbagai gejala dan tanda-tanda. Ciri-ciri glaukoma bergantung kepada jenis glaukoma yang dihidapi oleh pesakit. Terdapat dua jenis utama penyakit ini. 

  • Glaukoma Sudut Terbuka 

Jenis ini merupakan jenis yang sering dialami oleh pesakit. Ia dikenali sebagai sudut terbuka kerana cecair mata masih lagi boleh mengalir melalui sudut yang dihasilkan oleh struktur mata iaitu kornea dan iris. Namun begitu, struktur lain mata seperti trabekular separa tersumbat menyebabkan cecair tidak boleh mengalir melalui sudut tersebut. Apabila cecair tidak mengalir, tekanan pada bebola mata akan meningkat dan menyebabkan saraf mata menjadi rosak. Pesakit tidak menyedari bahawa mereka berisiko mengalami hilang penglihatan kerana kondisi mata jenis ini merosakkan saraf secara perlahan-lahan 

Pesakit selalunya tidak menyedari kondisi ini kerana tidak mengalami sakit mata dan penglihatan tidak terjejas secara mendadak. Saringan amat penting bagi mengenalpasti golongan ini. 

  • Glaukoma Sudut Tertutup

Kondisi ini berlaku apabila iris terbonjol kehadapan dan menyempitkan ruang atau menghalang aliran cecair mata melalui sudut kornea dan iris secara mendadak. Akibatnya, cecair yang terkumpul menghasilkan tekanan tinggi pada mata yang merosakkan saraf optik. Segelitir pesakit mempunyai ruang sudut yang sempit secara semula jadi. Maka, mereka lebih berisiko untuk mengalami kondisi ini. 


Apabila ia berlaku, pesakit akan mengalami bola mata terasa sakit secara tiba-tiba, hilang penglihatan, sakit kepala, loya dan muntah, mata menjadi merah dan tekanan bola yang amat tinggi.

Memandangkan penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan saraf, maka, amat penting bagi doktor untuk mengenalpasti golongan yang berisiko tinggi dalam menghidap penyakit mata ini. 

  • Berusia 60 tahun ke atas
  • Golongan Asia, Hispanik dan Afrika
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap Glaukoma
  • Pesakit Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi, Penyakit Jantung, Anemia jenis Sickle
  • Tekanan bebola mata yang melebihi paras normal 
  • Rabun Jauh
  • Migrain
  • Pengguna steroid pada masa panjang

Jika doktor mendapati anda mengalami penyakit ini, doktor akan mempertimbangkan jenis rawatan berikut untuk merawat masalah yang anda hadapi. 

  • Ubat Titis

Terdapat pelbagai jenis ubat titis yang ada dipasaran untuk merawat masalah ini. Begantung kepada sejarah kesihatan anda, terdapat beberapa jenis ubat titis yang boleh digunakan. Antaranya, prostaglandin, penghalang beta, ubat jenis agonis alfa, penghalang enzim “Carbonic Anhydrase” dan bermacam-macam lagi. Kesemuanya berfungsi untuk membuka aliran cecair mata agar tidak lagi tersumbat dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan bebola mata. 

  • Ubat Oral

Jika ubat titis tidak berkesan kepada anda, doktor akan memberi ubat jenis makan. Namun, anda mungkin akan mengalami kesan sampingan yang lebih ketara berbanding ubat titis. 

  • Rawatan Laser

Rawatan ini menggunakan teknologi laser dengan menghasilkan lubang bagi membuka ruang untuk mengalirkan cecair yang memberi tekanan pada bola mata. Ia digunakan untuk kedua-dua jenis glaukoma. 

  • Rawatan Pembedahan

Jika doktor dapati kesemua langkah diatas tidak menghasilkan keputusan yang memberansangkan kepada pesakit, doktor akan memilih rawatan jenis pembedahan. Jenis rawatan ini juga menghasilkan lubang pada struktur mata bagi mengurangkan tekanan akibat cecair yang terkumpul. 

Walaupun serik mendengar nasihat ini, benarlah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Lebih-lebih lagi masalah glaukoma yang menyebabkan kerosakan saraf mata secara kekal ini. 

  • Mengetahui tentang sejarah keluarga dan memaklumkan kepada doktor
  • Mengunjungi doktor mata untuk pemeriksaan berkala sebagai ujian saringan
  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dengan selamat
  • Menggunakan ubat titis pada mata yang diberi oleh doktor
  • Menjaga keselamatan mata dengan menggunakan cermin mata keselamatan

Rujukan

Konsultasi Atas Talian
Dapatkan nasihat doktor dan Pakar Farmasi tentang ubat-ubatan secara online dari mana jua anda berada tanpa perlu menunggu giliran.
Konsultasi Doktor
RM19.99
Konsultasi Pakar
Dari RM80
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA


Perlukan Nasihat Kesihatan?
Jangan Risau! Tanya soalan anda kepada seorang doktor hari ini. Tanya Doktor RM0

Anda sedia untuk lawan jangkitan?
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ketahui jika badan anda cukup kuat untuk melawan sebarang jangkitan Mula Ujian Percuma

Farmasi Atas Talian
Dapatkan ubat anda secara online melalui e-farmasi DoctorOnCall Penghantaran Ubat Ekspres

Soalan berkenaan - beza katarak dan glaukoma, patofisiologi glaukoma, jenis glaukoma, glaukoma kongenital, glaukoma akut

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor Percuma Sambutan Hari Malaysia: Baucar RM20