Hipotermia, Suhu Tubuh Rendah & Ketahui Simptomnya

Dijawab oleh: Dr Sri Viknarajan
Dikemaskini pada: Mei 14, 2020

Soalan:
Selamat sejahtera doktor. Saya Mustafa bekerja sebagai jurutera di Kuala Lumpur. Saya ada terbaca di media sosial tentang hipotermia. Saya sebenarnya ada berniat untuk menyertai kumpulan mendaki gunung Everest di Nepal. Namun, kebanyakan kes kematian semasa pendakian adalah disebabkan masalah hipotermia. Bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut tentang kondisi ini dan bagaimana cara untuk mengatasinya atau merawatnya. Saya amat memerlukan pencerahan bagi mempertimbangkan keputusan saya untuk mendaki gunung ini dan membuat persiapan untuk menghadapinya. Terima Kasih doktor. Segala maklumat yang disampaikan amat saya hargai.
Jawapan:
Terima Kasih kerana mengajukan soalan kepada saya. Saya fahami tentang kebimbangan anda mengenai risiko kondisi hipotermia semasa pendakian anda di Gunung Everest. Untuk makluman anda, gunung tersebut merupakan gunung yang tertinggi di dunia. Apabila semakin tinggi sesuatu gunung daripada paras laut, suhu persekitaran akan menurun dan kandungan oksigen juga semakin rendah. Oleh itu, bukan sekadar risiko kondisi hipotermia yang akan anda hadapi, namun anda juga harus bersedia dengan persekitaran yang kurang oksigen sehingga anda memerlukan bantuan pernafasan tambahan dalam perjalanan pendakian anda. Saya akan menerangkan lebih lanjut tentang hipotermia melalui artikel dibawah.

Hipotermia berasal daripada perkataan bahasa latin. ‘Hipo’ bermaksud rendah dan ‘termia’ merujuk kepada haba. Dalam erti kata yang mudah, ia adalah kondisi dimana suhu/haba badan yang rendah. Hipotermia ialah kondisi yang amat membahayakan kesihatan kerana suhu badan yang terlalu rendah kerana terdedah kepada cuaca yang terlalu sejuk. Risiko kondisi hipotermia ini kebiasaannya lebih cenderung apabila musim sejuk tiba. Namun, aktiviti lain seperti pendakian gunung, atau cuaca sejuk pada musim bunga juga menyebabkan risiko hipotermia. 


Badan masih boleh mengawal suhu sekitar 37 darjah selsius di persekitaran yang tidak begitu sejuk. Namun, jika cuaca terlalu dingin, badan tidak boleh menghasilkan haba yang mencukupi sehingga menyebabkan suhu badan jatuh di bawah 35 darjah selsius sehingga menyebabkan hipotermia.

Apabila cuaca sejuk, badan akan bertindak untuk menghasilkan haba. Pernahkan anda perasan dimana badan anda menggeletar atau menggigil ketika sejuk? Proses ini menghasilkan haba apabila aktiviti otot badan meningkat. Selain itu, anda akan kelihatan lebih pucat daripada biasa. Anda pasti berasa hairan mengapa hal ini berlaku. Hal ini kerana, salur darah akan dialirkan jauh daripada kulit untuk mengelakkan daripada haba hilang melalui permukaan badan.

Ke manakah darah ini dialirkan? Darah ini dialirkan kearah organ penting badan seperti jantung, buah pinggang, paru-paru dan otak. Organ seperti jantung dan otak amat sensitif terhadap penurunan suhu badan yang mendadak. Aktiviti elektrikal kedua-dua organ tersebut akan menurun sewaktu suhu badan menurun. 

Maka, sekiranya badan mempunyai tindak balas yang berupaya mengelakkan kehilangan haba ini, apa yang perlu dirisaukan lagi? Organ penting ini akan gagal untuk berfungsi jika suhu badan semakin menurun.

Jika anda tertanya-tanya tentang apakah gejala yang dialami oleh seseorang yang mengalami hipotermia ini, saya akan menerangkan dengan lebih lanjut. Cuaca yang sejuk ini akan menyebabkan seseorang sukar untuk berfikir, bergerak dan apatah lagi mengambil langkah mengatasi perubahan cuaca sejuk ini. Hal ini amat berbahaya kerana mangsa tersebut tidak boleh berfikir untuk mencari langkah menghangatkan badan. 

Apa yang lebih bahaya apabila badan mangsa tersebut berhenti menggigil, ini menunjukkan badan telah hilang kebolehan untuk menghasilkan tindak balas mengekalkan haba pada badan. Apabila keadaan menjadi teruk, mangsa akan terlentang, tidak bermaya dan hilang akal sehingga bertindak membuka baju sendiri sehingga menyebabkan mereka lebih terdedah kepada komplikasi hipotermia seperti kematian dan sebagainya. 

Apakah komplikasi yang bakal dihadapi oleh seseorang yang mengalami kondisi ini? Ingat, lebih lama anda terdedah kepada suhu sejuk melampau ini, lebih berisiko tinggi bagi anda untuk mengalami komplikasi ini. 

  • “Frostbite” iaitu sel tisu mati akibat cuaca yang terlampau sejuk. Anggota badan yang terlibat menjadi biru dan kehitaman sehingga berisiko untuk menyebabkan anggota badan seperti kaki atau tangan tidak lagi berfungsi. 
  • Degupan jantung yang tidak teratur sehingga menyebabkan kematian
  • Kesukaran bernafas kerana paru-paru dipenuhi air
  • Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi boleh dilihat melalui air kencing yang sedikit atau tiada sama sekali
  • Kematian

Maka, bagaimana anda ingin mengelakkannya daripada berlaku? Jawapannya ialah pemilihan pakaian yang bersesuaian dan tebal. Sesuai dengan lokasi yang anda ingin kunjungi, anda harus memilih pakaian yang bertepatan. Pakai topi, sarung tangan, baju tebal mengikut musim, skaf leher dan sebarang pakaian yang akan mengekalkan suhu badan anda. 

Selain itu, jangan lakukan aktiviti yang mendedahkan anda kepada kelembapan dan air. Pastikan anda kekal kering sepanjang tempoh pendakian anda. Bukan sekadar tebal, pakaian yang digunakan perlulah kalis air agar anda tidak terdedah kepada suhu sejuk tersebut. Jika anda terperangkap di dalam bot dan dikelilingi air yang sejuk atau berais, jangan cuba berenang ke daratan. Tunggu bantuan yang terdekat. 

Apakah bantuan yang akan diberikan untuk mengelakkan suhu anda terus jatuh dan memulihkan suhu badan anda seperti sedia kala? Anda akan diberi bantuan dalam bentuk berikut:

  • Anda akan dijaga dengan baik dan berhati-hati kerana sebarang urutan atau hentakan kasar akan menyebabkan anda berisiko tinggi mendapat komplikasi seperti jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba. 
  • Pakaian anda yang basah dan lembap akan ditukar. Mereka akan menggunting pakaian anda dan membalut seluruh tubuh badan anda dengan selimut termasuk muka kecuali mulut anda. Jika tiada selimut, mereka akan menggunakan haba daripada badan mereka dengan memeluk anda. Jika anda masih sedar, air suam akan diberikan untuk menghangatkan badan anda. 
  • Anda akan dituam dengan botol panas atau suam pada dada, leher dan pangkal peha untuk memastikan darah mengalir ke otak, paru-paru dan jantung. 
  • Jika anda tidak sedar, anda akan diberi CPR iaitu tekanan pada dada bagi mengembalikan fungsi jantung anda. 
  • Apabila anda sampai di hospital anda akan diberi rawatan yang melibatkan cecair atau udara panas. Cecair panas atau darah anda akan dipanaskan untuk memastikan darah yang mengalir menghangatkan badan anda.

Tentang DoctorOnCall

Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my

Tanya Doktor RM0
Hadiah Tunai RM30 eFarmasi
Tuntut RM300 Ujian COVID-19 >